Ads Powered By ClixSense


Mazlan Nordin menulis

ARKIB : 13/06/2010

Hakikat sebuah perpaduan

SEJARAH bukan ditulis oleh para sejarawan atau sarjana sahaja tetapi juga oleh tokoh-tokoh politik yang mengisahkan pelbagai peristiwa gembira atau sedih yang mereka alami. Seperti Memoir Politik Asri Meniti Arus (UKM 1993).
Lalu dicatat antara lainnya betapa seorang semasa muda pernah menjadi penoreh getah dan kemudian menjadi Menteri Besar diundang berkongsi kuasa oleh seorang yang berkaki ayam ke sekolah ketika mula belajar di sekolah rendah dan akhirnya menjadi Perdana Menteri.
Segalanya berlaku dalam arena politik yang tidak terperi luasnya dalam Malaysia merdeka dan selepas tragedi 13 Mei. Kerana, pelbagai kaum, agama dan budaya terlibat.
Dengan persetujuan yang dicapai antara Perikatan dengan Pas pada 28 Disember 1972, maka Datuk Asri Haji Muda menjadi Menteri Tanah dan Galian dan tugas-tugas khas dalam Kabinet Tun Razak.
Lain hal berlaku kemudiannya dalam muktamar Pas ke-28 di Balai Seminar Dewan Bahasa dan Pustaka pada 23 Oktober 1982 yang membawa kepada saat akhir Asri dalam Pas. Ucapan dasar beliau sebagai Yang Dipetua Pas tidak diterima oleh muktamar.
Lalu disebut mengenai suasana muktamar dipenuhi dengan gambar-gambar tokoh Revolusi Iran serta pekikan dan laungan. Kisah beliau bersambung: “Malah pekikan Marakbar Asri berselang-seli dengan kalimah suci Allahhuakbar. Ketika itu banyak orang yang tahu makna “marakbar Asri” yang bererti “mampuslah Asri” dan saya mencatatkan peristiwa ini hanyalah sekadar untuk kenangan sejarah bagi generasi akan datang”.
Menyumbang
Kata pengantar bagi memoir Asri ditulis oleh Wan Hashim Wan Teh, dahulu pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM. Antara lain dicatat: “Semasa berada di Padang Rengas buat kali ketiganya pada 1950, iaitu setelah mendirikan rumahtangga dengan Sakinah Haji Junid, Mohd Asri berkesempatan menyumbangkan bakatnya dalam bidang persuratan terutama menulis cerita pendek.
“Semasa tinggal di Padang Rengas, Mohd. Asri hidup cara orang kampung membuat pelbagai pekerjaan seperti menoreh getah, membuat kain batik, bersawah serta menjual ikan”.
Dalam penglibatan awal politiknya Asri berdamping dengan Dr. Burhanuddin, ketua Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Ahmad Boestaman, Ketua Angkatan Pemuda Insaf (API) dan beliau kemudian menyertai Pas hingga menjadi penolong kepada Setiausaha Agung Pas.
“Namun, kerjanya adalah pelbagai termasuk menyapu sampah, membersihkan pejabat, menulis surat serta minit mesyuarat dan sebagainya”.
Selanjutnya beliau kembali ke Kelantan untuk bergiat di kawasan Pantai Timur hingga Pas mencapai kemajuan pesat.
Asri menyebut mengenai kerjasama Pas dengan UMNO (Perikatan) mulai 1 Januari 1973 “ untuk menukar ragam politik yang penuh dengan onak dan duri, namun demikian masih ada lowongan yang boleh ditembusi”.
Usaha ke arah perpaduan bermula daripada pertemuan dengan Tun Razak di bangunan Parlimen selepas Peristiwa 13 Mei. Darurat telah diisytiharkan, Perlembagaan Negara digantung dan Dewan Parlimen serta Dewan Negeri dibekukan. Negara diperintah oleh MAGERAN (Majlis Gerakan Negara).
Asri menambah, “Dalam suasana yang sedemikianlah saya tiba-tiba dijemput oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak untuk bertemu di Kuala Lumpur, saya datang ke Kuala Lumpur dengan menaiki kapal terbang tentera, kira-kira tiga hari selepas berlakunya peristiwa hitam 13 Mei 1969”.
Menurut beliau kerajaan campuran Pas-Perikatan (UMNO) memberi sumbangan “amat tinggi nilainya dari segi hakikat perpaduan dan keharmonian umat. Simpang-siur pertarungan politik di kalangan bangsa Melayu telah reda”.
Keadaan berubah dalam Pilihan Raya Umum 1974 yang “menyaksikan suatu pertarungan yang hebat dan luar biasa apabila banyak anggota Pas yang tidak senang dengan kerjasama dalam Barisan Nasional”.
Bagi Asri selanjutnya “cuaca tidak selamanya kekal, ada kalanya panas terik dan ada kalanya hujan lebat hingga banjir”.
Beliau juga menulis mengenai isu kafir-mengkafir dan Revolusi Iran. “Di beberapa tempat di Terengganu dan Kelantan khususnya, telah muncul beraneka kejadian yang dimulai dengan kafir-mengkafir sesama sendiri yang mengakibatkan perpecahan masyarakat, bahkan perpaduan keluarga.
“Anak berpecah dengan bapa, suami isteri berkelahi dan jadilah masyarakat yang dibahagi-bahagikan oleh perbezaan politik yang menyebabkan berlakunya sembahyang dua imam dan lahirnya dua masjid semukim dan kubur yang berasingan”.
Asri akhirnya meletakkan jawatan Yang Dipetua Agung Pas dengan kandungan surat, antara lain berbunyi: “Maka saya telah mengambil keputusan menyerahkan kembali mandat dan kepercayaan muktamar Pas ke-27 yang lalu yang telah memilih saya menjadi Yang Dipertua Agung Pas bagi tempoh 1981-1983”.
Beliau meninggal dunia pada 28 Ogos 1992. Semoga Tuhan mencucuri rahmat baginya. Al-Fatihah.

ARKIB : 06/06/2010

Perjuangan bahasa Melayu di nusantara

FENOMENA Melayu, demikian tajuk siri rencana oleh Dr. H. Tabrani Rab yang disiarkan dalam beberapa akhbar Indonesia dan kemudian diterbitkan dalam buku oleh Lembaga Studi Sosial Budaya Riau pada tahun 1990.
Lalu beliau menulis antara lainnya: “Melakalah yang sebenarnya telah meletakkan asas transformasi bahasa Melayu daripada suatu bahasa kecil menjadi bahasa komunikasi perdagangan, ilmu dan diplomatik yang besar dan dengan itu memberikan tiang-tiang besar untuk perkembangannya menjadi bahasa Melayu seperti yang kita kenal hari ini.”
Terbit kini ialah buku yang mengisahkan pelbagai aspek sejarah Singapura, termasuk mengenai perkembangan bahasa Melayu, berjudul Paths Not Taken (terbitan National University of Singapore). Antara makalah ialah Malay Cosmopolitan Activism in Post-War Singapore.
Pada peringkat awal dicatat: Tidak lama selepas wujudnya koloni Singapura pada tahun 1819, orang Melayu menjadi golongan minoriti di pelabuhan yang dikuasai oleh Inggeris. Walaupun pada peringkat minoriti, peratus Melayu kekal pada peringkat global 15 peratus sejak abad ke-19, Singapura melaksanakan peranan penting dalam perkembangan intelek Melayu dan kecergasannya.
Menurut kedua penulis makalah berkenaan, keduanya sarjana bukan Melayu Timothy P. Barnard dan Jan van der Putten - punca kecergasan masyarakat Melayu itu ialah kewartawanan. Pelbagai kedai sepanjang jalan-jalan di Kampung Glam berupa tempat-
tempat percetakan akhbar-akhbar dan majalah sejak 1870-an, demikian disebut.
Isu Bahasa Melayu menjadi alat dalam perjuangan terhadap feudalisme golongan elit, pihak-pihak penjajah dan majoriti golongan asing dalam masyarakat serta berkaitan dengan rakyat di Semenanjung Tanah Melayu dan Indonesia, kerana, bahasa Melayu bakal menjadi bahasa utama Malaya yang merdeka.
Para wartawan dan pelbagai golongan dari bidang-bidang lain sepakat dalam keyakinan mereka kepada bahasa dan kesenian Melayu bagi mengisi kemerdekaan. Walau pun ramai pihak membicarakan isu-isu pokok di Singapura dan Malaysia, tumpuan utama mereka ialah bahasa dan budaya.
Diwarisi dari pelbagai debat di antara para wartawan Indonesia, Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura ialah kedudukan bahasa Melayu yang begitu penting sekali “seperti kesan halilintar yang menyedarkan orang Melayu selama-lamanya.”
Menurut kedua penulis, gerakan sastera dan nasionalisme Melayu muncul di Singapura pada tahun 1950-an yang berasal dari pelbagai perkembangan di Indonesia dan politik Melayu sebelum Perang Dunia Kedua dan selamanya.
Di Indonesia gerakan anti-penjajahan mempunyai talian dengan hala tuju sastera pada tahun 1930-an. Lalu muncul gerakan Pujangga Baru oleh para penulis muda seperti Sutan Takdir Al Syahbana, Armin Pane dan Amir Hamzah. Karya dan ideologi para penulis Pujangga Baru itu mempengaruhi para penulis di Semenanjung Tanah Melayu, termasuk para guru pelatih Sultan Idris Training College (STTC).
Aktivis
Ramai guru-guru menjadi aktivis politik budaya di Singapura dari 1930-an hingga 1950-an. Kegiatan-kegiatan sastera dari Indonesia itu menyeberangi Selat Melaka. Antara yang aktif ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Muhammad dan Burhanuddin al-Helmy. Mereka menganggap Tenggara Asia sebagai Melayu Raya yang telah dibelah bagi oleh penjajah Inggeris dan Belanda.
Ibrahim Yaakob kemudian menguasai akhbar Warta Melayu dan apabila Jepun menyerang, maka antara yang mengalukan mereka ialah Ibrahim. Bersama Dr. Burhanuddin adanya, beliau mengharapkan penyatuan antara Indonesia dan Malaya.
Dunia kewartawanan di Singapura selepas tamat perang menyaksikan penerbitan pelbagai akhbar. Yang utama ialah kumpulan Utusan Melayu yang juga menerbitkan majalah Mastika dan Utusan Zaman. Antara penulis-penulisnya ialah Abdul Rahim Kajai, Samad Ismail, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad dan Keris Mas.
Satu lagi kumpulan diketuai oleh Harun Aminurrashid dari STTC yang dibuang ke Brunei kerana kegiatan nasionalisnya. Kumpulan ketiga diketuai oleh Syed Abdullah bin Abdul Hamid al-Edrus yang sebelumnya wartawan Utusan Melayu.
Menjelang 1950, menurut kedua penulis lagi, para penulis muda kian meningkat keinginan mereka untuk melakukan modernisasi dari segi bahasa dan kandungannya. Antara mereka ialah Asraf, Rohaizad, Roomai Noor dan Jamil Sulong. Mereka berpendapat bahasa pihak penjajah telah menganiayai dan menindas orang Melayu. Maka lahir kemudiannya ialah ASAS 50.
Pada Kongres Pertama Bahasa dan Sastera Melayu tahun 1952, tumpuan perbincangan ialah penulisan yang mencerminkan keinginan untuk menggunakan politik, masyarakat dan budaya bagi memupuk keyakinan pada diri sendiri dan semangat kebangsaan.
Antara cara untuk mencapai matlamat ialah mengutamakan tulisan rumi, iaitu cadangan para penulis muda ASAS 50. Menurut yang empunya cerita Samad Ismail diperintah oleh ayahnya supaya membaca akhbar-akhbar Melayu, bukan buku-buku cerita detektif yang dibeli olehnya setiap minggu. Kajai pula dikatakan lebih senang bercakap dalam bahasa Inggeris.
Turut disebut dalam makalah ialah nama-
nama Jamil Sulong, Omar Rojik, Abdullah Hussain dan P. Ramlee dengan filemnya Penarik Becha. Populariti filem-filem Melayu dianggap meningkatkan bilangan penulis-
penulis skrip dan pengarah-pengarah Melayu menggantikan pengarah-pengarah dari Calcutta dan Bombay.
Kongres Bahasa Melayu ketiga pada tahun 1956 memperteguh cita-cita dan aspirasi para aktivis Melayu. Antara para peserta ialah Zubir Said yang kemudian menggubah lagu kebangsaan, Majulah Singapura. Ia diperdengarkan secara rasmi pada 3 Disember 1959 ketika pertabalan Yusof Ishak sebagai Yang Di Pertua Negara.
Ia dinyanyikan oleh kumpulan dari pelbagai bangsa. Bahawa mereka menyanyi lagu Melayu untuk menyambut pengasas akhbar Utusan Melayu menjadi ketua negara dianggap sebagai sesuatu yang simbolik kerana memenuhi matlamat penting para wartawan Melayu dari tahun 1950-an.
Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan yang rasmi, dan rakyat mempelajarinya di sekolah-sekolah serta menyanyikannya sebagai lagu kebangsaan demikian dicatat. Sebagaimana disebut oleh Profesor Ismail Hussein: “Bahasa Melayu selepas perang menjadi bahawa kebangsaan Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei.”

ARKIB : 16/05/2010

Penyata Razak dan era baru Bahasa Melayu

SEORANG pegawai Inggeris bernama Arthur Noel Kenion berucap dalam sidang Federal Council Federated Malay States dalam masa penjajahan pada tahun 1915 lalu memberi nasihat mengenai cara-cara yang terbaik sekali untuk mengajar dan mendidik orang Melayu.
Beliau berkata “Kita boleh ajar orang Melayu supaya terus ke sawah padi dan tidak kehilangan kebolehan dan kecekapan mereka sebagai nelayan serta bekerja di hutan. Ajar mereka kelebihan bekerja sebagai buruh kasar dan bukan menjadi kerani dan dengan itu saya yakin kita tidak akan menghadapi kerumitan seperti telah timbul di India iaitu akibat persekolahan yang berlebih-lebihan.”
Kenyataannya dalam bahasa Inggeris dicatat dalam sebuah makalah berjudul Perkembangan Bahasa Melayu oleh Haji Hamdan bin Sheikh Tahir, seorang pegawai kanan Kementerian Pelajaran yang kemudian menjadi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.
Beliau antara lain menyentuh laporan Razak tahun 1956 yang dianggap sebagai perolehan penting kerana menjadi asas dasar pelajaran yang meningkatkan taraf dan pekerjaan dalam bahasa Melayu.
Berbeza sekali dasar pelajaran itu daripada anjuran Kenion yang merendahkan bahasa Melayu dan sikap pihak penjajah umumnya terhadap pendidikan bagi orang Melayu. Malah, sikap sama berlaku di sekolah-sekolah bahasa Inggeris dulu yang “tujuan hanya untuk mengajar anak-anak muda kita belajar membaca dan menulis dengan baik supaya boleh menjadi kerani pejabat.”
Makalah Hamdan (Kemudian dikurnia kehormatan Tun) dikenang kembali bagi yang menghadiri Majlis Penyerahan buku Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia kepada Perpustakaan Tun Abdul Razak pada hari Isnin lalu.
Ia disampaikan oleh Naib Canselor UKM Profesor Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah kepada Ketua Arkib Negara, Dato’ Haji Sidek.
Nasional
Seperti disebut oleh Tun Hamdan lagi, sejumlah 20 cadangan penting diajukan dalam penyata Razak itu yang mewujudkan sistem pendidikan yang bersifat nasional kerana berdasarkan bahasa kebangsaan dan di samping itu mengekalkan pelbagai bahasa dan budaya lain.
Juga kembali dalam ingatan ialah karya Prof. Asmah Haji Omar berjudul The Teaching of Bahasa Malaysia in the Context of National Language Planning (Dewan Bahasa dan Pustaka 1976).
Lalu disebut autobiografi Hikayat Abdullah oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munshi (1796-1854), sahabat karib Sir Stamford Raffles. Menurutnya tidak perlu mengajar bahasa Melayu bagi orang Melaka kerana ia bahasa mereka sendiri.
Abdullah menulis “.... pada fikiran orang-orang sekalian, tidak patut dipelajari akan bahasa Melayu itu, sebab ia itu bahasa kita sendiri. Dan lagi pula, daripada zaman nenek moyang pun tiada pernah pula orang menaruh tempat belajar bahasa Melayu, melainkan tempat mengaji Quran sahaja. Dan patut dibelajarkan bahasa Arab kerana iaitu berguna kepada agama dan lagi dalam akhirat dan lagi bahawa itu sahaja yang terlebih mulia di antara orang Islam.
Profesor Asmah menegaskan betapa jawatankuasa Razak memberi nilai ekonomi kepada bahasa Melayu kerana beberapa faktor, antaranya:
l Pengetahuan bahasa Melayu menjadi syarat yang diperlukan bila memohon kerja dalam perkhidmatan kerajaan.
l Kelulusan dalam bahasa Melayu menjadi syarat bagi para pelajar ke sekolah menengah dan juga wajib dalam kesemua peperiksaan kerajaan.
l Pengetahuan bahasa Melayu menjadi syarat bagi seseorang yang memohon bantuan kewangan pelajaran.
l Bahasa Melayu juga menjadi mata pelajaran yang penting dalam latihan para guru.
Disebut selanjutnya betapa bahasa Melayu tidak begitu lama menjadi lingua franca di Malaysia dan di seluruh nusantara Indonesia. Bahasa Melayu juga telah menjadi bahasa kebangsaan Indonesia dengan nama lain. Lalu bahasa Indonesia berjaya menjadi bahasa kebangsaan Republik Indonesia. Maka dengan itu Penyata Razak 1956 berupa “permulaan era baru bagi Bahasa Malaysia.”
Bagi kesemua ialah sesuatu yang ditegaskan pada ayat akhir laporan Education Committee 1956: “Our recommendations are unanimous and are supported without reservations by all of us.”
Ahli-ahlinya terdiri daripada Dato’ Abdul Razak, Menteri Pelajaran sebagai pengerusi. V.T. Sambanthan (Menteri Buruh), Suleiman bin Dato’ Abdul Rahman (Menteri Kerajaan Tempatan), Abdul Aziz bin Haji Abdul Majid (Menteri Besar Selangor), Shamsudin bin Nain (Menteri Besar Negeri Sembilan), Too Joon Hing (Timbalan Menteri Pelajaran).
Abdul Rahman bin Haji Talib (Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan), Zainul Abidin bin Sultan Mydin, Dr. Lim Chong Eu (kemudian Ketua Menteri Pulau Pinang), Encik Abdul Hamid Khan (kemudin Menteri Pelajaran) Goh Chon Yan, Mohamad Ghazali Jawi (kemudian Menteri Besar Perak), Lee Thean Hin, Mohamad Idris bin Mat Sil, Leung Cheung Ling.

ARKIB : 09/05/2010

Kisah bahasa Melayu di Jepun


GAMBAR kulit buku Maiai -go yon shu-kan.


SEBILANGAN orang Jepun mula belajar bahasa Melayu 100 tahun lalu, demikian menurut Moriyama dalam sebuah esei. Buku pertama terbit pada awal 1900-an dan kini jumlah pelbagai buku dan kamus Melayu lebih dari 200 buah.
Beliau mencatat hal tersebut ketika mengisahkan perjalanan Marquis Yoshichika Tokugawa (1886-1976), seorang pembesar Jepun yang disebut sebagai pelopor pelajaran bahasa Melayu di negeri Jepun setelah menjelajah Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Jawa. Beliau kemudian menjadi ketua Muzium Singapura dan Botanical Gardens semasa Perang Pasifik.
Essei tersebut terbit dalam buku berjudul Lost Times and Untold Tales from the Malay World (NUS Press Singapore 2009). Lalu disiarkan gambar salah sebuah buku pertama bahasa Melayu itu yang terbit pada tahun 1912, berjudul Marai-go Dokusyu, lengkap dengan tulisan Jawi.
Moriyama mulanya bercerita mengenai sebilangan kecil warga Jepun merantau ke negeri-negeri sebelah selatan kepulauan Jepun. Antara mereka ialah peniaga-peniaga kecil dan juga pelacur.
Sebilangan dari mereka berjaya memiliki ladang-ladang getah dan ada juga yang melabur dalam industri bijih timah. Kerana itu pengetahuan bahasa Melayu digalakkan.
Seperti dicatat oleh Moriyama: "Bahasa Melayu menjadi bahasa terpenting kerana digunakan secara meluas di negeri-negeri yang dijajah oleh Inggeris dan Belanda."
Lalu, antara yang mula terbit ialah kamus dwibahasa Melayu dan Jepun. Pada peringkat permulaan disiarkan seruan: "Marilah kita pergi ke Selatan". Pada peringkat persekolahan pula bahasa Melayu diajar bagi kali pertama pada tahun 1908 di dua buah sekolah di Tokyo.
Moriyama menambah: "Oleh kerana tiada guru Jepun boleh mengajar bahasa Melayu di sekolah maka guru-guru Melayu dipelawa datang ke negara Jepun untuk mengajar bahasa Melayu. Mereka mungkin menggunakan bahasa Inggeris ketika menyampaikan pelajaran. Sekurang-kurangnya lima guru Melayu datang dari Semenanjung Tanah Melayu untuk mengajar para pelajar Jepun di Tokyo."
Lantas disebut nama salah seorang dari mereka. Bachee bin Wan Chik (atau Bachik bin Wan Chik) yang kemudian menyusun sebuah kamus dwibahasa Melayu-Jepun. Beliau mengajar selama 19 tahun dan kemudian dikurnia bintang kehormatan kerana sumbangannya itu.
Antara buku pelajaran Melayu yang paling laris ialah Marai-go yon shu-kan (bahasa Melayu dalam Ampat Minggu) yang terbit pada tahun 1937. Ia kemudian diulang cetak hingga 30 kali.
Turut menyusun buku tersebut ialah Marquis Yoshichika Tokugawa bersama gurunya Sumitake Asakuri, seorang professor bahasa Melayu di Universiti Tokyo.
Pelajaran bagi dua hari pertama ialah bunyi sesuatu perkataan dan perbezaan antara sebutan bahasa Melayu dan bahasa di negeri-negeri yang dijajah oleh Belanda.
Diperturunkan
Pelajaran bagi hari ke-24 ialah bagaimana mahu menggunakan perkataan-perkataan seperti alkisah, arakian, sa-bermula.
Pelajaran bagi hari ke-27 dan 28 mengandungi cerita-cerita dari Hikayat Pelandok, Dari Hal Tuan Raffles Hendak Pulang dan Pantun Melayu.
Pada satu peringkat lain diperturunkan kata-kata mengenai harimau: "Untung sekali sahaya sudah lihat harimau lebih dulu dia lihat sama sahaya dan dengan satu peluru boleh sahaya matikan dia."
Kata-kata tersebut ialah dari Marquis Tokugawa yang gemar memburu beruang dan harimau. Menurut yang empunya cerita beliau akhirnya memilih Tanah Melayu dan Pulau Jawa kerana kegemarannya itu.
Juga diceritakan betapa beliau menjalin hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim Negeri Johor setelah bersama-sama memburu. Dalam surat menyurat kedua menggunakan tulisan Jawi.
Pada 7 Februari 1929, dalam surat Sultan Ibrahim dari Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru. Baginda menulis: "Sahabat saya Marquis Tokugawa." Selanjutnya pujian dari Baginda pada Tokugawa kerana menggunakan bahasa Melayu yang baik.
Tokugawa memang menyedari pentingnya bahasa Melayu ketika perantauannya di Tanah Melayu dan Jawa. Hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim mendorongnya mempelajari bahasa Melayu yang baik dan tulisan Jawi kerana dalam surat Sultan Ibrahim disebut mengenai warga kulit putih juga belajar bahasa Melayu, tetapi mereka lebih gemar menulis rumi.
Seperti diketahui semasa pemerintahan tentera Jepun di Malaysia setelah tewas tentera Inggeris dan Belanda, bahasa Jepun (Nippon-go) diajar di sekolah-sekolah yang dulu mengajar bahasa Inggeris.

ARKIB : 02/05/2010

Catatan Usman Awang penuh pesanan

JARANG ada buku dalam bahasa Melayu dengan terjemahan serentak pelbagai bahasa. Demikian Sahabatku buku khas memaparkan 12 buah puisi Usman Awang yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Cina, Tamil dan bahasa Iban.
Lalu dalam kata pengantar oleh anaknya, Lyna Usman, dicatat pengalamannya semasa masih muda: "Hidupnya susah, kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang".
Oleh kerana itu, ayah hanya dapat bersekolah hingga darjah enam sahaja. Apabila Perang Dunia II meletus, dia menjadi petani, kemudian diambil pihak komunis untuk menjadi buruh paksa. Setelah tamat perang, dia mohon kerja sebagai seorang polis.
Beliau mendapat banyak bahan bacaan ketika menjadi polis apabila berkenalan dengan ramai guru sekolah di Melaka, ketika itu. Mereka dengan senang hatinya meminjamkan buku-buku sastera kepada ayah. Bagi seorang yang dahagakan bahan penulisan yang baik, ini adalah satu peluang emas. Dari sini penghayatan dan bakat penulisannya diasah dan digilap sehingga beliau mula membuahkan perasaannya di atas kertas dengan penanya.
Beliau memilih puisi untuk meluahkan kandungan isi hati dan mindanya. Demikian antara catatan Lyna. Pada tahun 1954 Usman Awang menulis puisi berjudul Bahasa Bonda:
Tersusun indah menjadi madah
jauh mengimbau menjangkau pulau
ayun beralun lembut membuai
jauh meresap mendakap damai.
Ada ketika marak menyala
memercik api semangat bangsa
meletus gemuruh menyadap segala
menjadi alat perjuangan merdeka.
Seribu tingkah membawa lagu
mainan gadis diusik rindu
senjata teruna menawan cinta
pusaka rakyat pendukung budaya.
Seribu bahasa kita bicara,
manakan sama bahasa bonda.
Beliau kemudian berkhidmat dengan Utusan Melayu di Singapura bersama Keris Mas dan Asraf. Menjadi ketua ialah Samad Ismail dan kesemuanya berperanan dalam penubuhan ASAS 50. Lantas berlaku debat mengenai "Seni untuk seni dan seni untuk masyarakat".
Selanjutnya beliau berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahun 1955 beliau menulis puisi berjudul Tanah Melayu (Malaya dalam bahasa Inggeris). Antara lain disebut:
Kita rakyat di bumi jantung ini
tiada beza dalam segala apa jua
penanam padi atau buruh memberi tenaga
terkepung dalam semboyan muluk "demokrasi".
Ketika penekanan jauh sampai ke tulang
dengarlah jeritan keras tani di ladang
dengarlah teriakan gemuruh buruh di kilang
sama bersatu sederap barisan bangun berjuang!
Puisinya memupuk perhubungan akrab antara kaum seperti dalam puisi Anak Jiran Tionghua. Antara yang ditulis:
Begitu kecil ia berdiri di tepi pagar
kilat matanya memanggil Iskandar
siapa lalu siapa berkaca
melihat keduanya bergurau senda.
Anak Tionghua kelahirannya di sini
di bumi hijau ladang-ladang getah dan padi
ia bisa bercerita untuk siapa saja
di sini tanahnya dan ibunya bersemadi.
Bumi tercinta resapkan wahyumu
jantung mereka adalah langitmu
darah mereka adalah sungaimu
nafas mereka adalah udaramu.
Juga menarik ialah Surat Dari Masyarakat Burung Kepada Datuk Bandar. Antaranya:
Tuan Datuk Bandar
kami masyarakat burung telah mengadakan mesyuarat agung
pada suatu pagi yang manis dan ranum
di atas bangunan Parlimen yang kosong.
Seluruh kaum burung telah diwakili
oleh para cerdik pandainya, kecuali
perwakilan burung gagak yang sibuk dengan urusan kematian
penembakan, bangkai hanyut di Sungai Klang.
Puisi Mereka Telah Bangkit ditulis pada tahun 1967:
Mereka telah bangkit
dari buku yang dibacanya
dan tembok yang melindunginya
dengan bendera dan lilit kepala.
Mereka telah bersuara
dari bumi tanah air yang subur
demi Islam yang mengajar hidup berani
demi janji yang kini telah dimungkiri.
Mereka sekarang telah bangkit
di tengah-tengah gelombang zaman
dari keperibadian yang telah ditindas
untuk masa depan warisan keturunan.
Dari bahasa lidah zaman hidup kita
kebangkitan ini dipancang detik batu-tanda
untuk pelaksanaan: Satu Bahasa
yang berdaulat menyinar mutiara.
Pada kulit buku pula diulangi:
Bilakah semua warganegara mendapat hak layanan dan keadilan yang sama dikenal dengan satu rupa nama: Bahasa Malaysia?
Ertinya beliau dari dulu lagi "prescient", iaitu mengetahui lebih dahulu akan hal-hal yang akan terjadi pada masa akan datang. Sahabatku dalam bahasa Iban ialah Bakihku.
Setelah menjadi anggota polis beliau memakai nama samaran Tongkat Warrant. Selain daripada anugerah Sasterawan Negara (1983) beliau juga menerima SEA Write Award (1982) dan Doktor Kehormat (Persuratan) Universiti Malaya (1983). Beliau meninggal dunia pada 29 November 2001.
Al-Fatihah.

ARKIB : 25/04/2010

Pelbagai kisah dari medan perang

SEPERTI diakui laporan demi laporan dari medan perang bukan hanya mengenai tembakan bertalu-talu, serangan hendap di lembah gunung atau serangan dari kapal terbang yang membunuh orang-orang awam tidak berdosa. Dan pemandu pesawat yang menggugurkan bom dianggap sebagai wira oleh kaum kerabatnya.
Di samping itu pemberita yang dalam bahasa Inggeris disebut embedded dalam pasukan tentera. Lalu timbul pertanyaan - apakah ia boleh menulis berita yang tidak berat sebelah?
Juga berita pelbagai kekejaman dan tidak berperikemanusiaan bila pertempuran berlaku di kawasan bandar, bukan di padang pasir atau hutan rimba sahaja.
Kerana itu ada pemberita medan perang kini menulis buku yang menyingkap hal-hal lain hingga menjadi bestseller, seperti buku berjudul The Forever War oleh Dexter Filkins dari akhbar New York Times.
Buku itu ditujukan kepada Khalid Hassan dan Fakber Haider yang mati "ketika mencari kebenaran".
Antara pertanyaan bagi seseorang yang telah berkunjung ke Baghdad: Apakah masih ada lagi patung Sheharazad, wanita pelbagai cerita yang tiap malam mesti menyampaikan kisah kepada raja yang menaunginya. Jika tidak, nyawanya dicabut.
Maka dalam bukunya Filkins melaporkan nasib malang ramai anak yatim setelah bapa mereka gugur dalam peperangan. Lalu dicatat suasana sunyi sepi di pusat kota Kabul lewat waktu tengah hari. Tiada kereta yang lalu lintas dan hanya kelihatan beberapa wanita berselubung. Kelihatan di warung pasar daging tergantung. Di serata kawasan pelbagai bangunan telah runtuh.
Kota Kabul penuh dengan anak-anak yatim yang menjaja aneka barangan. Ada yang menceritakan nasib sedih mereka. Ada kala seramai 50 anak yatim berkumpul dan pada ketika lain meningkat hingga lebih 100 orang. Wajah mereka muram kerana berpakaian buruk dan kasut kotor.
Cerita bersambung: "Maka pada suatu hari saya berjumpa tujuh kanak-kanak yang bertindak selaku askar di puncak sebuah bukit bernama Bangi. Mereka tidak berpakaian sejenis dan memakai kasut getah saja, bersongkok sambil membawa senapang lama buatan Russia.''
Menurut Filkins, memang ramai laskar Taliban kaum Pashtun yang sanggup bertempur terus menerus hingga mati. Seorang lelaki memberitahu: "Saya pernah melihat mereka berlari-lari menuju satu kawasan periuk api."
Lagu
Kisah beralih ke tempat lain mengenai seorang penyanyi Afghan bernama Ahmad Zahir yang dikatakan mirip wajahnya seperti Elvis Presley. Lagu yang dinyayi berbunyi demikian:
Laili Laili laili, kekasihku
Kau telah menghancurkan hatiku
kerana kau tidak lagi kembali ke pangkuan ku
Lalu diriku menderita kerana rindukan kau
Kau telah musnahkan hati ku.
Lanjutan cerita adalah Masjid Mohsin di Baghdad di kawasan rakyat kaum Syiah yang umumnya miskin iaitu Sadr City. Seramai kira-kira 10,000 orang bersembahyang di situ walaupun panas terik.
Di pinggir makmum yang ramai itu kelihatan sebilangan pemuda bersenapang. Masing-masing membawa tikar sembahyang. Setelah selesai solat seorang jemaah berteriak sesuatu lalu diikuti oleh seluruh hadirin. Teriakan mereka berbunyi:
We ajal faraj'Lou
Semoga Tuhan mempercepat kedatangannya
Wa'ala'an adouwahou
Semoga Tuhan mengutuk musuh-musuhnya
Wa'ansur waladahau
Semoga ia berjaya
Muqtada! Muqtada! Muqtada
Yang diceritakan itu diberi tajuk Mahdi. Berperanan ialah Muqtada al-Sadr yang memakai serban hitam, berjanggut hitam. Demikian cerita Filkins selanjutnya setelah berkali-kali ke Masjid Mohsin.
Laskar pimpinannya yang diberi nama Tentera Mahdi pernah mengawasi makam Imam Ali. Kata sepakat tercapai manakala askar-askar Amerika tidak memasuki makam. Tidak ada polis Iraq, tidak ada askar Iraq. Laskar Mahdi dibenarkan bersurai.
Antara cerita adalah pengalaman di pejabat pemberita akhbar New York Times di Jalan Abu Nawas, Baghdad. Filkins keluar untuk larian waktu malam, kerana cuaca pada waktu siang panas sekali.
Pada suatu hari seorang gadis berusia sembilan tahun bernama Fatima mengiringinya di hadapan sebuah restoran. Seorang lelaki menepuk bahu Fatimah, sambil memberitahu: "Ibu, bapa sudah habis..'' Dia menunjuk jari ke arah langit bagi menjelaskan bahawa mereka mati akibat letupan bom.
Tiba-tiba seorang lelaki lain hampir mencium bibir Fatimah dengan penuh nafsu. Ia kemudian ketawa dan berjalan terus. Filkins meneruskan cerita: "Fatima memandang ke arah saya dengan wajah sedih dan saya mengesyorkan supaya ia pulang saja. Kami pun beredar dan kemudiannya Fatima tiba-tiba berhenti.
"Bye-bye. Esok ok? Fatima bertanya, terus berpusing dan berjalan. Tapi saya tidak menemuinya lagi selepas itu".
Kisah tersebut diberi tajuk The Kiss. Demikian antara pelbagai cerita dari medan perang di Iraq. Dan dari Bangi di Afghanistan. Bukan cerita tembakan demi tembakan sahaja.

ARKIB : 18/04/2010

Tanpa Islam Eropah tidak akan wujud

TANPA Islam, Eropah tidak akan wujud. Demikian salah sebuah makalah dalam buku berjudul Eropah: 50 fakta yang perlu diketahui. Lalu disebut betapa Islam pada masa lampau memerintah negara Sepanyol selama 800 tahun.
Buku ditulis oleh Emma Hartley. wartawan dan penulis yang telah bertugas dengan empat buah akhbar bahasa Inggeris - Daily Telegraph, Evening Standard, The Independent dan Times, London.
Sorotan mengenainya bermula dengan kisah Abu Abdullah, Raja Islam yang terakhir di Sepanyol manakala menunggang kuda dan berhenti di puncak sebuah bukit lalu memandang dari jauh bumbung Istana Alhamra. Ia berlaku pada abad ke-15 setelah tenteranya ditewaskan oleh laskar Raja Ferdinand dan Permaisuri Isabella.
Wajahnya begitu sedih dan ia menangis ketika memandang ke arah tempat tinggal nenek moyang yang dulu memerintah Andalusia sebegitu lama.
Ibu yang mengiring memarahinya: “Menangis, menangislah kau seperti betina kerana kau tak dapat mempertahannya seperti anak jantan.’’
Dalam pelbagai buku dunia Barat nama yang disebut ialah Boabdil. Para penulis tidak menyebut nama Abu Abdullah. Hal tersebut berupa satu penghinaan.
Menurut Emma Hartley, pemerintahan Islam selama 800 tahun itu sesuatu yang “terbaik sekali”. Kerana waktu itu Eropah mengalami Dark Ages manakala dunia Islam telahpun memiliki pelbagai perpustakaan yang menyimpan karya-karya sastera, mempraktik ilmu-ilmu kejuruteraan, perubatan dan lain-lain jurusan sains.
Seperti ditulis oleh Hartley: In many ways Europe is a product of Islam.
Lantas dicatat pendapat Dr. Tim Winter dari Universiti Cambridge: “Eropah yang kita kenali tidak mungkin lahir tanpa Islam. Bentuk rupa pelbagai bangunan berasal dari tenaga tukang-tukang bina mereka. Pelbagai teknik termasuk pemasangan cermin-cermin jendela yang cantik berasal dari mereka juga.
Begitu juga pelbagai jenis kain, permaidani, pembikinan kertas tulis, pembinaan hospital-hospital serta buku-buku teks perubatan dalam bahasa Arab.’’
Dr. Winter juga menyebut peranan Thomas Aquinas yang mengembangkan falsafah Barat: “Beliau menyebut pengarah tokoh yang dipanggil The Philosopher, iaitu Aristotle dan pengarah The Commentator iaitu Ibni Rushd yang menulis pelbagai pendapat Aristotle.
Tingkah-laku
Lihat saja tingkah-laku pembesar Inggeris bila bangun pagi lalu minum kopi yang berasal dari Turki. Kakinya melangkah permaidani Turki atau Parsi.
Beberapa ekor kuda kepunyaannya dibawa sejak abad ke-18 dari negara Arab. Jika sembahyang di gereja ia melakukannya dalam bangunan besar ciptaan idea dunia Islam”.
Seperti telah dicatat dalam buku sejarah, Sepanyol ditawan semula oleh golongan Kristian pada tahun 1492. Warga Yahudi dan Islam kemudian dipaksa menukar agama mereka. Kerana itu ramai membawa diri ke negara-negara lain termasuk di Afrika Utara, Mesir dan Turki.
Berlaku kemudiannya adalah Spanish Inquisition. Yang dicurigai keteguhan agama, mereka disiksa dan jika sabit kesalahannya maka dibakar hidup-hidup.
Abu Abdullah (Boabdil) mati di Afrika Utara dalam satu perjuangan lain. Mengenai nasib malangnya dikatakan: “Ia menjadi korban dalam satu perjuangan lain sedangkan dulunya ia mengelak maut dalam perjuangannya sendiri.’’
Pemberontakan berlaku di kalangan rakyatnya kerana ia berunding menyerah-kalah kepada Ferdinand dan Isabella.
Juga menjadi bahan cerita adalah catatan seorang sejarawan Barat bertajuk: Naik dan jatuhnya syurga dunia: Manakala Arab dan Yahudi bersama membina negara di Sepanyol. Lalu diceritakan: “Manakala Tuhan mengisi tempat-tempat kosong di alam semesta, Al-Andalus memohon lima kurniaan - langit biru, lautan cantik penuh dengan ikan, pohon-pohon buahan, wanita-wanita cantik dan sebuah kerajaan yang adil. Kesemuanya dikurniai kecuali yang terakhir. Sebabnya, jika yang lain-lain dikurnai beserta sebuah kerajaan adil, maka Andalusia akan menyaingi syurga’’.
Disebut antara lainnya adalah pengaruh Arab dalam muzik flamenco Sepanyol. Lalu muncul muzik Hispano-Arab. Tidak ada paksaan dalam pemerintahan Islam bersabit agama.
Menurut laporan Ayan Bayaumi, seorang penulis Mesir dalam sebuah akhbar Amerika, warga Islam di Britain telah meningkat hingga 1.6 juta, di Itali satu juta dan di negara Perancis antara 4 hingga 5 juta.
Lain negara, lain kisah, dugaan dan cabaran. Namun, ada kalanya penulis bukan Islam membela mereka.

ARKIB : 11/04/2010

Apabila sejarah silam tidak jadi pengajaran

PELBAGAI dugaan dihadapi oleh warga Islam di beberapa negara Eropah dewasa ini. Berlaku di Warsaw, ibu negara Poland pada minggu lalu adalah demonstrasi membantah pembinaan sebuah masjid di pinggir kota itu.
Walhal bilangan warga Islam di negara itu tidak sampai 30,000 orang dan 90 peratus daripada 38 juta penduduknya penganut Katholik. Menurut laporan agensi berita luar negara seorang penunjuk perasaan membawa sepanduk yang menggambarkan menara masjid sebagai peluru berpandu.
Sebelum itu sebuah jawatankuasa Parlimen Belgium sebulat suara mengundi mengharamkan pemakaian burqa dan niqab di khalayak ramai. Di Switzerland rakyat disaran mengundi mengharamkan pembinaan menara masjid.
Sebelum itu pula harian akhbar Jyllands-Posten menyiarkan 12 kartun yang mengejek Nabi Muhammad SAW. Bantahan daripada beberapa negara dan golongan Islam ditolak atas alasan mahu menegakkan kebebasan berbicara seperti dinyatakan oleh ketua jabatan pengarang akhbar itu: ''Kami hidup dalam negara demokrasi dan karya jolokan dibolehkan.''
Bilangan warga Islam di Denmark kira-kira 150,000 saja, iaitu 2.8 peratus dari jumlah penduduk. Majalah Gatra di Jakarta melaporkan kenyataan Ahmad Furqan Noor, Ketua Perhimpunan Masyarakat Islam Indonesia di Denmark mengenai perubahan sikap pihak berkuasa. Contohnya, seorang warga Islam dan orang asing mesti punyai 50,000 krone jika mahu menikahi warga Denmark.
Lain hal berlaku di Serbia minggu lalu apabila Parlimennya meluluskan usul mengutuk pembunuhan seramai 8,000 warga Islam di Srebenica pada tahun 1995 semasa meletusnya Perang Bosnia.
Bertugas di situ waktu itu ialah 400 askar Belanda sebagai tentera pendamai Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Menurut sebuah laporan akhbar Times, London kemudiannya: ''Pembunuhan beramai-ramai itu meninggalkan kesan mendalam pada rakyat Belanda hingga menyebabkan kerajaan Belanda waktu itu meletakkan jawatan setelah terbit laporan yang menegur kerajaan kerana menempatkan askar-askar Belanda dalam keadaan paling sukar.
Bantuan
"Kerana tiadanya bantuan tentera udara, maka mereka tidak dapat bertindak manakala askar-askar Serbia mengasingkan lelaki dewasa dan budak lelaki daripada isteri dan ibu mereka. Mereka dipaksa menaiki lori dan kesemuanya dibawa ke tempat pembunuhan.
"Kerajaan Belanda kemudian menyekat permohonan Serbia untuk menyertai Kesatuan Eropah. Dalam pada itu Jeneral Retko Mladic yang mengetuai laskar Serbia masih bebas.'' Demikian laporan akhbar Timur pada 19 Jun 2008.
Laporan itu mengulas tuntutan para isteri dan ibu kepada 8,000 mangsa korban pembunuhan itu supaya PBB memberi bantuan wang. Mereka menuntut ganti rugi sejumlah 2 bilion pound.
Pembunuhan 8,000 orang itu pun dicop sebagai Srebenica Genocide. Ia diakui sebagai pembunuhan beramai-ramai paling kejam selepas tamat Perang Dunia Kedua.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa bersidang pada 2007 di The Hague, Belanda. Keputusannya berbunyi: ''Mahkamah memutuskan bahawa tindakan-tindakan di Srebenica telah dilakukan khusus untuk membinasakan orang Islam dan dengan itu berlaku pembunuhan beramai-ramai.''
Mahkamah Antarabangsa itu juga memutuskan bahawa pihak berkuasa Serbia gagal menyekat pembunuhan beramai-ramai itu. Lalu dicatit seterusnya: ''Juga menjadi korban ialah kanak-kanak, para wanita dan orang-orang tua.'' Suruhanjaya yang mengira jumlah orang menjadi korban mencatat 8,373 nama.
Keputusan Parlimen Serbia yang mengutuk pembunuhan itu tidak menyebut perkataan genocide. Usul yang diluluskan itu dianggap sebagai usaha baru pihak berkuasa Serbia supaya diterima menjadi anggota Kesatuan Eropah.
Seperti diketahui, seorang lagi ketua pihak Serbia, Radovan Karadzic, telah ditangkap dan sedang dibicarakan di The Hague. Masih bebas ialah General Ratko Mladic yang mengepalai laskar Serbia.
Setelah 15 tahun berlalu sejak pembunuhan beramai-ramai itu maka kini berlaku pula demonstrasi anti-pembinaan masjid, larangan bertudung di khalayak ramai, larangan membina menara masjid dan pelbagai kartun mengejek nabi.
Timbul pertanyaan, apakah ini caranya manusia belajar dari sejarah silam?

ARKIB : 04/04/2010

Lidah penyambung bangsa Melayu

"ADA akhbar Inggeris yang jauh lebih tua dari Utusan Melayu dan ada akhbar Cina yang juga tua darinya, tetapi akhbar Utusan Melayu yang menjadi peniup semangat kebangsaan dan pejuang kemerdekaan. Kalau kita membelek naskhah-naskhah akhbar Inggeris dulu ternyata kepada kita bahawa ia tidak menggambarkan keadaan sosial, ekonomi, budaya, masyarakat dan sebagainya. Yang ada ialah ucapan atau kenyataan Gabenor British atau lain-lain tokoh pemerintahan kolonial di waktu itu.
Kalau kita lihat pula akhbar Cina masa dulu akan kita baca berita mengenai perjalanan syarikat itu dan syarikat ini. Sebaliknya akhbar Utusan Melayu dari mula lahirnya menyiarkan berita dan rencana yang menggambarkan keadaan sebenar masyarakat di masa itu, termasuk cita-cita dan semangat nasionalisme dan menyalahkan semangat untuk merdeka." Demikian komen dari seorang ketua editor akbar bahasa Inggeris.
Kenyataan tersebut kembali dalam ingatan tukang catat ini ketika menyertai majlis pelancaran wajah baru akhbar jawi Utusan Melayu Mingguan yang disempurnakan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim baru-baru ini.
Antara yang menggembirakan ialah manakala seorang pelajar India, Shaamalah Thannimalan, dari Sekolah Kebangsaan Hulu Langat membaca di hadapan Datuk Rais sebuah berita dari Utusan Melayu Mingguan selepas dua pelajar Melayu melakukannya.
Turut dikenangi ialah pengalaman ketika bertugas di toko buku Yahya Arif di Kuala Kangar sebagai penjual akhbar-akhbar Melayu. Ada kalanya ramai sekali berbaris panjang kerana mahu membeli akhbar Utusan Melayu dari Singapura. Satu contoh ialah ketika berlaku kemelut di istana sebuah negeri di pantai Timur.
Lain-lain berita hangat mendorong para pembaca berbaris panjang. Yang ditunggu ialah akhbar tulisan jawi. Demikian halnya pada zaman lampau.
Antara catatan selanjutnya ialah terbitan khas 40 Tahun Utusan Melayu pada 29 Mei 1979 terbitan Badan Keluarga yang waktu itu baru berumur setahun jagung. Lalu disebut kejayaan Utusan Melayu menewaskan akhbar Warta Malaya, kepunyaan tokoh-tokoh Arab yang kaya, dan akhirnya juga Mingguan Malaysia menewaskan Sunday Times dengan terbitan sejumlah 288,000 dan selanjutnya meningkat hingga 430,000 naskhah.
Seterusnya dicatat peranan Keris Mas, Tongkat Waran, Asraf, Awam Sarkam dan lain-lain dalam medan bahasa dan sastera. Kerana itu Utusan Melayu Jawi terus menjadi "Penyambung Lidah Melayu".
Tidak kurang, berperanan ialah Melan Abdullah, Aziz Ishak, Tajuddin Kahar, Osman Abadi, Zabha, Harun Hassan, Abdullah Hassan, Ali Salim (Jiro), Ahmad Idris, Bahyah, Samad Ahmad, Said Zahari, Azizah Ali, Maimunah Yusof, Azah Aziz dan ramai lagi.
mencapai
Seperti juga dicatat adanya: Bagi sesebuah akhbar yang mencapai umur itu bererti ia lebih "tua" dari manusia biasa, dan lebih tua dari sesiapa juga yang bertugas dengannya. Kerana akhbar bukan saja mengalami peristiwa individu tetapi juga pengalaman satu bangsa, apatah lagi di Malaysia bangsa Malaysia terdiri dari pelbagai kaum, pelbagai agama atau kepercayaan dan pelbagai budaya. Para petugas bukan hanya tukang catat instans history tetapi juga mengambil peranan aktif dalam edaran sejarah bangsa dan negara yang meliputi bidang politik, agama, bahasa dan budaya, ekonomi dan sosial.
Dalam terbitan Badan Keluarga itulah juga dimuatkan amanat Tunku Abdul Rahman: "Apa yang disuarakan oleh Utusan Melayu bukanlah perkauman, tapi hanya sekadar membela segolongan rakyat yang besar jumlahnya di tanah air kita ini yang selama ini dalam kemunduran di setiap lapangan kalau dibandingkan dengan golongan rakyat lainnya."
Juga pesanan Tun Razak: "Utusan Melayu tidak tegak secara tiba-tiba dan secara mendadak. Zaman-zaman permulaannya ialah zaman-zaman penuh derita, penuh kepayahan dan penuh pengorbanan tiap pekerjanya."
Seorang lagi Perdana Menteri, Tun Hussein Onn pula melafaz: "Sesungguhnya Utusan Melayu merupakan akhbar tulen kebangsaan yang bertindak sebagai lidah penyambung bangsa Melayu."
Kejayaan Utusan Melayu Jawi ialah hasil sekian ramai para petugas jabatan-jabatan pengarang, pentadbiran, kilang dan lain-lain lagi. Menafikan peranan mereka yang lama itu bererti menafikan para petugas selanjutnya kerana perjuangan untuk mencapai pelbagai aspirasi Melayu berlaku terus-menerus.
Seperti termaklum akhbar Utusan Melayu jawi akhirnya tamat penerbitan pada 29 Januari 2006 setelah bertugas selama 67 tahun.
Penerbitan semula sebagai Mingguan Jawi menghadapi pelbagai cabaran. Kerjasama dan sokongan diperlukan dari, antara lainnya, Kementerian Pelajaran, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (JAKIM).
Sebagaimana disebut oleh penulis Wan Marzuki Wan Ramli "Kemahiran 3 M iaitu Membaca, Menulis dan Memahami tulisan jawi terus terhakis dari generasi ke generasi." Paling penting ialah para pembaca Melayu yang mewarisi peristiwa-peristiwa sejarah 700 tahun lampau manakala memeluk agama Islam dan tulisan jawi mendorong pelbagai perubahan dan menjadi pendorong perjuangan.

ARKIB : 28/03/2010

Kisah tokoh-tokoh kiri dalam sejarah Utusan Melayu

SEJARAH kumpulan akhbar Utusan Melayu yang mulai ditulis kini tentunya dialu-alukan oleh para pembaca pelbagai kaum walau apa juga pendirian politik masing-masing. Kerana, antara yang dicatat ialah kisah politik orang Melayu menentang Malayan Union dan perjuangan kemerdekaan dengan kaum-kaum lain.
Lalu lahir prinsip power shared endures hingga berlanjutan. Parti Perikatan membesar menjadi Barisan Nasional dan Pas menyertainya pada beberapa ketika.
Sejarah tersebut juga akan menyebut peranan tokoh-tokoh politik sayap kiri, termasuk yang berkhidmat dengan Utusan Melayu hingga beberapa waktu, seperti Ishak Haji Muhammad alias Pak Sako dan Ahmad Boestamam alias Abdullah Thani alias Ruhi Hayat. Antara beberapa kisah ialah yang berikut:
Pertama ialah peranan Mokhtaruddin Lasso yang menyertai MPAJA (Malayan Peoples’ Anti-Japanese Army). Ia diberi nama jolokan Lang Lang Buana oleh sesetengah pihak. Beliau presiden pertama Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang kemudian dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmi. Telah pun dicatat betapa Mokhtaruddin Lasso memberi wang untuk penerbitan Suara Rakyat. Hal ini diceritakan oleh Boestamam dalam salah sebuah bukunya.
Lang Lang Buana kemudian pergi ke Indonesia dan tidak diketahui apa yang berlaku pada dirinya.
Kedua ialah kisah peralihan jawatan Dr. Burhanuddin sebagai Presiden PKMM untuk menjadi penasihat saja. Mengambil alih darinya sebagai presiden ialah Pak Sako. Yang berlaku ialah coup atau rebutan kuasa. Memberi penjelasan kemudian ialah Boestamam: “Kami tidak mengatakan Dr. Burhanuddin sebagai pemimpin tidak baik, tetapi kami merasa dia agak lemah dan kurang revolusioner.”
Profesor Tan Sri Khoo Kay Kim dalam salah satu tulisannya berjudul The Malay Left (1945-1948) menyebut tentang penglibatan Dr. Burhanuddin dengan pihak-pihak sayap kiri. Oleh kerana latar belakang pendidikannya yang ke arah Islam, maka beliau cenderung menegaskan aspek agama dalam falsafah politiknya. Beliau seorang idealis dan kurang revolusioner. Pengetahuan bahasa Inggerisnya terbatas walaupun telah menuntut di India (Universiti Islam Aligarh).
Ketiga ialah petikan daripada kata-kata pendahuluan Tan Sri Samad Ismail untuk Kumpulan Buku Allahyarham Datuk Ahmad Boestamam. Pada permulaannya disebut: “Sayang sekali ketika saya mula bekerja di Utusan Melayu pada tahun 1941 dahulu di Singapura, Boestamam telah pun meninggalkan Utusan Melayu beberapa bulan sebelum itu. Ketika itu saya mengenalinya bukan sebagai Boestamam tetapi sebagai Abdullah Thani bin Raja Kecil.
“Barangkali kalau dia kekal di Utusan Melayu pada waktu itu saya tidak syak dia akan menjadi wartawan terkemuka. Boestamam menguasai bahasa dan merupakan seorang penulis keterampilan. Boestaman memakai nama Ruhi Hayat sebagai penyajak”.
Juga disebut ialah nasib Boestamam dua kali merengkok dalam tahanan, iaitu ketika Undang-Undang Darurat pada tahun 1948 dan pada tahun 1963 semasa konfrontasi. Samad menulis lagi: “Pengalamannya dalam tahanan diceritakan dengan terperinci dalam buku penuh dengan detik-detik yang mengharukan. Bagi saya yang juga tiga kali hidup dalam penjara dan kem tahanan seolah-olah menjadikan kami kembar dua yang disebatikan oleh persamaan nasib”.
Ceramah
Menarik perhatian ialah catatan Samad sebagai penulis tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama beberapa tahun bersama Allahyarham Tan Sri Datuk Asri Haji Muda. Kedua-duanya memberi ceramah mengenai pengalaman dalam perjuangan politik semasa remaja selepas perang. Lalu disebut mengenai Asri pernah menganggotai Angkatan Pemuda Insaf (API) di bawah Boestamam”. Ingatan Asri agak kuat juga kerana dia masih mampu menyanyikan lagu Darah Rakyat yang dinyanyikan ketika bergerak dalam API dahulu. Maka kedua-dua kamipun menyanyikan lagu itu yang lebih kurang berbunyi begini:
Darah rakyat masih berjalan
Menderita sakit dan miskin
Bila datangnya pembalasan
Rakyat menjadilah hakim
Rakyat menjadilah hakim
Ayuh! Ayuh!
Berjuang sekarang
Kemerdekaan sudah datang
Merah panji-panji kita
Merah warna darah rakyat
Merah warna darah rakyat.
Seperti diketahui Pas suatu masa lalu menyertai Barisan Nasional pimpinan Tun Razak ketika Asri memimpin parti Islam itu. Seperti juga termaklum Dr. Burhanuddin dipilih menjadi Presiden Pas. Beliau dan seorang bernama Taha Kalu ditahan pada tahun 1951 di bawah Undang-Undang Darurat atas tuduhan mencetuskan rusuhan Natrah (Maria Hertogh).
Dua hal lain bersabit PKMM disebut oleh Samad: “Dalam bukunya Boestamam menceritakan peristiwa perwakilan PKMM dalam Kongres UMNO di Ipoh yang berakhir dengan PKMM menarik diri dari UMNO atas isu pemilihan bendera.
Perwakilan PKMM yang dipimpin oleh Ishak Haji Muhammad dan disertai oleh Boestamam telah mengusulkan agar bendera Sang Saka Merah Putih diterima oleh kongres itu. Ishak telah memberikan ucapan yang bersemangat hingga memukau para perwakilan kongres. Tetapi usul perwakilan PKMM ditolak dengan hanya majoriti satu undi saja. Lalu perwakilan PKMM memutuskan untuk menarik diri daripada UMNO.
Dalam isu Malayan Union pula “PKMM pada peringkat awal tidak bersikap tegas menolaknya sedangkan rakyat Melayu rata-rata menolaknya sama sekali. Timbul kemarahan melalui salah pengertian dalam tangkapan umum bahawa PKMM membela kepentingan rakyat bukan Melayu dan menentang Raja-raja Melayu”.
Jelas betapa pelbagai peristiwa masa lampau dilaporkan oleh Utusan Melayu dan juga akhbar-akhbar lain. Antara yang akan dicatat oleh Datuk Zam, penulis sejarah itu ialah kisah munculnya Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia melompat pengedarannya hingga hampir 450,000 naskah. Ia kejayaan pertama sebuah akhbar di Malaysia. Ia antara hasil pendaulatan bahasa Melayu yang juga diperjuangkan oleh Utusan Melayu.

ARKIB : 21/03/2010

Zuma: Kisah perjuangan dan tiga isteri

ADA kala insan politik mencapai kejayaan luar biasa walaupun menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran, termasuk saingan daripada pihak lawan dan juga daripada rakan- rakan seperjuangan parti politik sendiri.
Demikian pencapaian Jacob Zuma, Presiden Afrika Selatan yang baru-baru ini disambut dengan penuh hormat oleh Ratu Elizabeth ketika mengadakan lawatan rasmi ke Britain. Walhal dalam kerjaya politiknya Zuma pernah ditahan selama 10 tahun di penjara Pulau Robben oleh pemerintahan pendatang kulit putih yang melaksanakan dasar Apartheid terhadap pribumi kulit hitam yang bilangan mereka jauh lebih ramai.
Pulau tersebut dipanggil "Universiti Pulau Robben" oleh rakan-rakannya kerana di situlah beliau belajar membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris. Beliau kemudian hidup dalam buangan selama 14 tahun di negara-negara jiran.
Lalu disebut betapa isterinya yang pertama, Sizokel Khumalo, taat setia menunggu ia kembali dari penjara 10 tahun lalu dan hidup dalam buangan selama 14 tahun lagi, Pujian daripada pelbagai pihak kerana kesetiaannya itu.
Bagi Zuma permulaan cerita ialah sebagai gembala kambing dan lembu. Ibunya wanita miskin dan ayahnya seorang sarjan polis. Sejarah negara Afrika Selatan berubah manakala pemerintahan kulit putih menamatkan dasar Apartheid pada tahun 1994 dan warga kulit hitam diberikan hak mengundi.
Hak itu diberi dengan syarat bahawa warga kulit hitam tidak akan mengubah struktur ekonomi negara, tidak akan membahagi semula hak milik tanah dan kekayaan dan tidak akan mengambil lombong-lombong kepunyaan kulit putih untuk dijadikan milik negara (nasionalisasi).
Sebaliknya berlaku di Zimbabwe, negara jiran yang juga dijajah oleh pendatang kulit putih setelah akhirnya mencapai kemerdekaan. Pelbagai tindakan diambil oleh pemerintahan kulit hitam pimpinan Dr. Robert Mugabe. Antaranya ialah pemindahan hak milik ladang-ladang dan tanah milik kulit putih kepada pribumi kulit hitam melalui penjualan secara paksa. Begitu juga beberapa syarikat-syarikat perniagaan.
Bagi Afrika Selatan pula, Nelson Mandela yang ditanah di Pulau Rubben dilantik menjadi presiden kulit hitam pertama setelah rejim Apartheid ditamatkan oleh kulit putih sendiri. Beliau berkuasa dari 1994 hingga 1999 dan Thabo Mbeki, lulusan universiti di Britain, mengambil-alih darinya sebagai presiden kulit hitam kedua.
Presiden Mbeki kemudian mengambil Zuma menyertai kabinetnya dan menjadi timbalan presiden. Hubungan di antara kedua begitu akrab sekali hingga dianggap sebagai "hubungan di antara lidah dan air liur". Kerana sebelum itu Zuma begitu aktif memperjuangkan nasib pribumi kulit hitam. Pada satu peringkat beliau menjadi ketua perisik African National Congress (ANC), semasa dalam buangan di luar negara.
Pelbagai pihak terlibat dalam perjuangan pribumi kulit hitam untuk membebaskan diri dan cengkaman dan penindasan dasar Apartheid, termasuk daripada golongan sayap kiri seperti Parti Komunis Afrika Selatan, kesatuan- kesatuan pekerja dan Liga Pemuda. Lantas disebut betapa Zuma dan Mbeki kemudian menarik diri daripada hubungan dengan Parti Komunis.
Zuma ditangkap semasa berumur 20 tahun lebih kerana kegiatan subversif dan dihukum penjara di Pulau Robben. Semasa dalam tahunan itu beliau enggan menerima sesiapa saja yang mahu menziarahinya.
Perselisihan berlaku lama kemudiannya di antara Zuma dan Mbeki ketika kedua-duanya mengendalikan pemerintahan. Mbeki sebagai Presiden memecat Zuma daripada jawatannya. Pada bulan Disember 2007 ANA mengadakan perhimpunan agung dan kedua-duanya bersaing merebut jawatan kepimpinan parti.
Zuma menewaskan Mbeki manakala memperolehi 2,329 undi dan Mbeki 1,505 undi setelah berkubur hubungan antara "lidah dan air liur". Beberapa penyokong Zuma turut dipilih mengendalikan parti.
Dalam lawatan rasmi ke Britain Zuma membawa isteri ketiga seperti dilaporkan dalam siaran televisyen. Menurut laporan Atlantic, majalah Amerika, poligami diizinkan dalam budaya kaum Zulu dan sah dari segi undang-undang Afrika Selatan. Zuma 68 tahun kini mempunyai 20 orang anak.
Anak-anaknya memberitahu bahawa mereka tidak pernah melihat Zuma dalam keadaan marah. Ini mungkin hasil pengalamannya sebagai ketua pengintip pejuang politik yang revolusiner. Seperti dicatat lagi oleh Atlantic nama pertengahannya ialah Gedleyihlekisa, yang dalam bahasa Inggeris bererti the one who laughs while he endangers you.
Dalam keadaan masakini masih ramai pribumi kulit hitam yang miskin dan mendapat perhatian Presiden Zuma yang disokong oleh bekas Presiden Mandela. Ertinya perihal kepentingan ekonomi mendapat perhatian utama seperti telah pun disebut di negara-negara lain it's the economy, stupid bagi yang mempersoalkan.
Bilangan kulit hitam 70 peratus, kulit putih 18, bangsa-bangsa Asia 3 dan kaum-kaum lain 8.
Tiada lagi kini buku-buku cerita, komik atau filem Tarzan. Menurut yang empunya cerita Tarzan dibela dari kecil oleh keluarga gorila dalam hutan belantara Afrika hingga menjadi dewasa berani dan perkasa serta digeruni oleh pribumi kulit hitam dan juga binatang buas. Pada awal kisah disebut bahawa ia keturunan golongan kelas atasan kulit putih, bukan keturunan pekerja biasa atau petani.

ARKIB : 14/03/2010

Usaha UKM capai visi 2018

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) yang lahir 40 tahun lalu kini penuh azam menuju visi 2018 untuk menjadi salah satu daripada 50 universiti paling terkemuka di seluruh dunia.
Bilangan alumninya telah pun meningkat sehingga 124,000. Antara mereka ialah hampir 5,000 dari Indonesia, iaitu lebih 60 peratus daripada jumlah alumni antarabangsa.
Demikian antara catatan beberapa terbitan UKM termasuk yang terbaru, Senadi bagi golongan alumni. Sebelumnya ialah Senada, buletin bulanan dan Resonance, buletin antarabangsa.
Isu pertama Senadi dilancarkan oleh Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan, salah seorang alumni UKM dan dahulunya begitu aktif dalam pelbagai kegiatan persatuan pelajar bersama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Editor akhbar Star.
Laporan utama dalam isu pertama Senadi ialah pelancaran Alumni UKM Cabang Indonesia (AUKMCI) yang dirasmikan oleh Naib Canselor Tan Sri Dato Dr. Sharifah Hapsah, di Jakarta pada awal bulan April 2009.
Peristiwa bersejarah itu disaksikan oleh wakil-wakil dari UKM, kira-kira 180 alumni dari Indonesia, Profesor Dr. Kusnaka Adminhardje wakil para profesor dari Indonesia.
Memberi keterangan mengenai peranannya ialah Prof. Dr. Kamaruddin M. Said, pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, juga Ketua Penerbit UKM. Bukan "Alumni Dana," beliau segera menjelaskan lalu menyambung: "Saya belum bersedia berimaginasi bahawa AUKMCI ialah sebuah alumni dana, yang mindanya akan terfokus kepada peranan kewangan untuk membantu alma mater. Perkara ini akan terjadi juga, tetapi bukan sekarang, kerana ia akan mengambil waktu yang agak panjang."
Ia berkemungkinan besar memainkan peranan yang lebih besar di luar daripada lingkungan kewangan, tetapi lebih terfokus kepada bidang akademik dan keilmuan yang luas. Ini ialah alumni keilmuan, khusus untuk membantu memantapkan keilmuan Nusantara. Warga alumni kini ialah warga akademik yang sedang mencurahkan bukti keilmuan di seluruh Republik Indonesia.
generasi muda
Menurutnya AUKMCI bersifat "alumni mentor" yang boleh memberi bimbingan strategik kepada "generasi pelapis atau generasi muda yang ingin melanjutkan pengajian tinggi ke UKM khususnya atau ke Malaysia umumnya.
UKM kini salah sebuah daripada empat universiti yang telah diangkat menjadi "universiti penyelidikan" di Malaysia. Prof. Kamaruddin menyebut betapa pada majlis Konvokesyen 2008 sejumlah 7,251 graduan menerima ijazah dan diploma, termasuk 188 orang yang menerima ijazah Ph.D.
"Tahun 2008 ialah tahun yang mencatatkan bilangan graduan Ph.D yang tertinggi, bukan sahaja dalam sejarah UKM, bahkan juga dalam sejarah pengajian tinggi di Malaysia.
Bilangan pelajar Indonesia yang telah lulus dan mendapat ijazah sarjana dan Ph.D daripada UKM sudah agak besar bilangannya kini. Inilah anggota alumni yang akan memainkan peranan membangun sebuah alumni keilmuan bagi Nusantara.
AUKMCI ialah sebuah organisasi yang mewakili 220 juta rakyat Indonesia yang terdiri daripada kira-kira 300 kumpulan etnik dan 700 kumpulan dialek dan tersebar di 11,000 pulau yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan biodiversitinya".
Prof. Kamaruddin mengulangi saranan supaya diterbitkan Jurnal Dunia Nusantara (The World of Nusantara) dalam tiga bahasa (bahasa Indonesia, Melayu dan Inggeris) lalu menambah: "Nusantara ialah wilayah dunia rumpun Melayu, iaitu Melayu dengan pengertian cukup luas, termasuk kesemua suku bangsanya".Dalam pada itu diingatkan mengenai pengalaman sejarah sosial Nusantara "tidak terlepas daripada ancaman konflik". Kerana itu alumni UKM dapat melaksanakan peranan penting dalam usaha cuba memahami punca konflik dan mencari jalan penyelesaiannya.

ARKIB : 28/02/2010

Lafaz kemaafan untuk Orang Asli Australia

SATU babak penting dalam sejarah Australia ialah kenyataan mohon maaf kepada kaum pribumi yang disampaikan oleh Perdana Menteri Kevin Rudd pada bulan Februari 2008. Tiga kali berturut-turut beliau melafazkan "we are sorry".
Lalu dikenangi semula antara lainnya ialah peristiwa beribu-ribu kanak-kanak Orang Asli dipisahkan dari keluarga mereka hingga awal 1970-an. Segalanya bermula ketika pembukaan perkampungan pendatang kulit putih di Australia pada abad ke-18 dan ke-19.
Rudd melakukan sesuatu yang bersejarah manakala memohon maaf. Tindakan tersebut tidak mahu dilakukan oleh Perdana Menteri sebelumnya, John Howard, yang berkuasa selama lebih 11 tahun. Alasannya: "warga Australia generasi masakini tidak perlu berasa salah kerana tindakan-tindakan masa lampau.
Kenyataan Rudd disiarkan oleh media lain-lain negara, termasuk oleh akhbar Financial Times London. Kenyataan beliau seperti berikut: " Hari ini kita memberi hormat kepada rakyat pribumi negara ini yang kebudayaan mereka tertua sekali dalam sejarah manusia.
Kita mengenang kembali segala salah laku ke atas diri mereka pada masa lampau.
Kita mengenang kembali khususnya segala perbuatan keji yang telah dilakukan ke atas diri mereka, termasuk ke atas yang dipanggil generasi yang dicuri. Ia adalah babak paling buruk dalam sejarah bangsa kita.
Telah tiba masanya bagi bangsa kita mengorak langkah baru dalam sejarah Australia dengan membetulkan segala kesalahan masa lampau itu supaya kita dapat mengharungi masa depan dengan yakin.
Kita memohon maaf kerana pelbagai undang-undang dan dasar-dasar yang diluluskan oleh Parlimen dan kerajaan pada masa lalu yang membawa kesedihan, penderitaan dan kerugian ke atas mereka itu.
Kita mohon maaf khususnya kerana memindahkan secara paksa kanak-kanak Orang Asli dari keluarga, masyarakat dan kampung mereka.
Kepedihan
Kita mohon maaf kerana kepedihan hidup dan penderitaan generasi yang dicuri itu dan kepada keturunan mereka. Kita mohon maaf kerana segala tindakan tidak adil dan perbuatan keji ke atas kaum yang berbangga dengan keturunan dan budaya mereka.
Maka Parlimen Australia dengan hormatnya mohon ampun maaf dan semoga ia diterima sebagaimana ia dilafazkan dengan ikhlas demi pemulihan bangsa kita".
Kenyataan maaf Rudd disampaikan di Bangunan Parlimen di Canberra. Menurut satu laporan, ramai Orang Asli menyertai rapat umum di hadapan Parlimen sambil membuat tuntutan ganti rugi.
Menurut catatan sejarah, kaum pribumi tiba di Australia dari Asia Tenggara kira-kira 40,000 tahun lampau. Pendatang Inggeris yang pertama ialah Kapten James Cook pada tahun 1770 lalu mengisytiharkan sebagai tanah jajahan Inggeris. Australia menjadi tempat buangan orang-orang salah dari England pada tahun 1788.
Tiga hal menjadi masalah ketika ini. Pertama ialah tuntutan 50 ahli Parlimen Australia supaya kerajaan Malaysia menghentikan kes tuduhan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini dianggap sebagai campur tangan dalam hal-ehwal negara lain.
Sebelum ini ialah pembunuhan beberapa orang pelajar India yang menuntut di Australia hingga mencetuskan bantahan dari India. Belum ada tangkapan berlaku hingga kini.
Peristiwa terbaru ialah pergaduhan-pergaduhan di antara aktivis-aktivis Australia dengan kapal-kapal Jepun yang memburu ikan paus di Lautan Antartika.
Kenyataan maaf Rudd berlaku selepas lebih 10 tahun lalu terbit laporan Bringing Them Home oleh Suruhanjaya Hak-Hak Asasi dan Persamaan Taraf Australia mengenai pemisahan kanak-kanak pribumi daripada keluarga mereka.
Bagi mereka yang dipisahkan dari ibu bapa, adik-beradik dan perkampungan mereka ialah pengalaman pedih, penindasan dan ketidakadilan hidup. Akhirnya ada juga yang memohon maaf. "For the pain, suffering and hurt.... we say sorry," Rudd menambah.

ARKIB : 31/01/2010

Benci tapi minat Barat terhadap Islam

ISLAM dan segala yang berkaitan dengan perkembangannya kerap menjadi bahan pelbagai buku, majalah, akhbar dan dokumentari televisyen dewasa ini. Ada yang ditulis oleh warga Islam dan juga oleh bukan Islam.
Antaranya ialah siri televisyen BBC London Islam: Empire of Faith (2001) mengenai bilangan umat Islam telah meningkat hingga satu bilion dan ”bakal menjadi agama paling terbesar sekali dalam dunia”.
Lantas dicatat pada bahagian pertama: “Malah di Amerika Syarikat, Islam adalah agama paling cepat berkembang dan pada ketika ini lebih ramai warga Islam Amerika (lebih empat juta) dari penganut Episcopalians”.
Di negara-negara lain pula bilangan warga Islam paling ramai ialah di Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan India. “Bilangan Islam di Indonesia saja (195 juta) adalah lebih ramai dari jumlah besar di Mesir, Syria, Arab Saudi, Iraq dan Iran”. (Bilangan penduduk Indonesia kini tahun 2010 ialah 230 juta).
Lalu disebut mengenai laskar-laskar Mongol pada abad ke-13 menyerang Asia Barat dan akhirnya mereka memeluk agama Islam.
Seterusnya dicatat: “Bagi orang Islam seruan azan untuk menunaikan sembahyang membezakannya dari agama yang menggunakan tiupan shofar bagi orang Yahudi dan bagi orang Kristian pula loceng digunakan. Orang pertama sekali menyampaikan azan ialah Bilal, hamba abdi dari Habshah, antara yang mula-mula sekali masuk Islam. Kedudukan Bilal penting kerana dari mula lagi Islam menerima siapa saja dari segala bangsa”.
Di samping BBC London ialah majalah Asia Views, terbitan bersama beberapa pihak di Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand antara lainnya. Dalam terbitan bulan Januari 2010 ialah mengajukan pertanyaan: “Apakah Islam telah berubah di Tenggara Asia?”
Rencana pengarang majalah itu menyiarkan laporan dari Tempo, Jakarta: “Menurut Jabatan Hal-Ehwal Agama, terdapat kini 21,000 pesantren di seluruh Indonesia yang mengajar hampir empat juta pelajar. Bilangan itu bertambah empat kali ganda dalam masa 20 tahun lampau dan dua kali ganda dalam masa enam tahun lalu”.
Pesantren Indonesia bukan saja mengajar segalanya mengenai Islam tetapi juga menjalankan pelbagai perniagaan. Ini berupa “mandat sosial” mereka dewasa ini.
Tema majalah “Asia Views” kali ini ialah Today’s Islam in S.E.Asia, antara kandungan ialah kegiatan golongan Tausugs di wilayah Sulu, Filipina. Hasil pelbagai forum agama Islam disampaikan untuk makluman. Antara terbitan ialah saluran Islamic Events and Activities dari Jolo, Zambuanga.
Turut disiarkan ialah temu ramah dengan Profesor Dr. Kamaruddin Hidayata, rektor Syarif Hidayatullah di Jakarta. Lantas disiarkan kenyataan syarat Pendaftaran Jihad Mujahidin ke Palestin. Antara syarat: Iman dan Taqwa, Siap Mati Syahid, Izin orang Tua, Wali, Sihat Jasmani dan Rohani, siap diberangkatkan kapan saja, tanpa cerita pulang.
Turut memberi penjelasan mengenai agama Islam ialah buku dari Amerika Taking Back Islam: American Muslims Reclaim Their Faith (Rodole 2004). Ia diedit oleh Michael Wolfe, seorang warga Islam Amerika.
Sebelum ini ia telah menulis buku berjudul: The Hadj: An American Pilgrimage to Mecca dan One Thousand Roads to Mecca. Sebagai petugas ABC-TV, beliau warga Amerika yang pertama sekali melapor secara langsung dari Mekah mengenai fardu haji.
Menulis mengenai pengalamannya ketika menunaikan fardu haji bagi kali pertama beliau mulanya menyebut mengenai Mekah mempunyai sejuta penduduk. Beliau lalu menambah: “Setahun sekali, selama beberapa hari Mekah menarik lebih ramai pengunjung dari mana juga tempat di seluruh dunia. ....kaum wanita berpakaian hitam atau putih manakala lelaki dengan ihram. Sukar membezakan seorang penyapu sampah dengan anak raja bila berpakaian begitu. Lelaki dan wanita dari 125 negara dunia mengerumuni segala kaki lima dan jalan raya”.
Pada waktu tengah malam pun masjid dipenuhi manusia. Seratus ribu berada di tingkat bawah, beliau mencatatkan lagi manakala bercerita mengenai sekian ramai menunaikan tawaf dan sebagainya.
Lebih 30 menulis dalam buku berkenaan, termasuk Yusuf Islam, Karen Armstrong dan
Akbar Muhammad, seorang tokoh African-American. Buku tersebut wajar mendapat tempat dalam perpustakaan universiti-universiti antara lainnya.
Wolfe juga menulis mengenai satu majlis di Kota Chicago yang dihadiri oleh puluhan pasangan untuk jamuan makan malam, kesemuanya Islam. Antara mereka ialah professor, doktor, guru, suri rumah dan jurutera komputer. Sesetengahnya lahir di Mesir, Lebanon, Palestin, Pakistan dan India.
Setelah menunaikan fardu Isyak para hadirin kemudian mendengar bacaan Quran oleh seorang pemuda dari Mekah. Dari umur lima tahun lagi ia telah membaca Quran dan kemudian terus belajar di Mekah, Madinah dan Kaherah.
Wolfe menulis: “Saya terus terkenang padanya sejak itu. Bagi seorang warga Amerika seperti diri saya, kehadirannya di Chicago menakjubkan sekali kerana ia meneruskan tradisi sejak Nabi Muhammad saw”.

ARKIB : 17/01/2010

Kesilapan perhitungan AS di Afghanistan

TIADA nada optimis dalam pelbagai laporan media Barat mengenai perang di Afghanistan. Ini mungkin kerana peperangan itu telah berlarutan hingga lapan tahun, iaitu hampir sama tempohnya dengan Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.
Hal ini ternyata dari laporan seperti dalam International Herald Tribune dengan ayat pertama The War in Afghanistan is not going well. Seperti dalam sebuah akhbar Australia The outside World has never won a war in Afghanistan and never will.
Seperti adanya juga dalam laporan jurnal The National Interest dengan ayat pertama In Afghanistan: War in the Wrong direction. Pengerusi Kehormat majalah itu ialah Henry Kissinger bekas Setiausaha Negara Amerika yang ulung.
Lalu dicatat antara lainnya dalam laporan demi laporan itu hal-hal berikut:
l Tentera British dua kali tewas di Afghanistan pada tahun 1839-1842 dan 1878-1880. Para pejuang bersenjata membunuh satu pasukan tentera yang cuba lari dari Kabul pada tahun 1842. Hanya seorang saja selamat dari 16,000 anggota pasukan British.
l Kira-kira 100,000 askar Soviet Union pemerintahan komunis masa dulu telah membunuh hampir satu juta orang Afghanistan, tetapi akhirnya tewas sama sekali kepada pejuang-pejuang Afghanistan. Kira-kira 20,000 askar Soviet mati dan 100,000 lagi cedera. Kekalahan mereka antara sebab leburnya pemerintahan komunis di Soviet Union. Pencerobohan Soviet bermula pada tahun 1979. Pengunduran tentera mereka berlaku mula 20 Julai 1987.
Di Amerika baru-baru ini akhbar Honolulu Advertiser menyiarkan komentar dengan pertanyaan pada ayat pertama What’s wrong with the war in Afghanistan? Antara sebab: Rakyat Amerika tidak menyokong peperangan itu. Negara-negara rakan sekutu di Eropah tidak menyokong penuh.
Jurnal The National Interest mencatat bilangan askar-askar Eropah yang menyertai peperangan di Afghanistan kini: Sepanyol 1,000 orang, Jerman 4,000, Itali 2,800 orang, Poland 2,000 orang, Belanda 1,800 orang, Kanada 2,800 orang dan Britain 9,000 orang.
Seperti dilaporkan sebelum ini enam orang askar Itali maut dalam satu peristiwa. Perdana Menteri Itali, Berlusconi lalu menyatakan niat untuk mengundurkan tenteranya dari Afghanistan.
Laporan dalam majalah Amerika itu ditulis oleh Ahmed Rashid, seorang wartawan Pakistan yang telah menulis sebuah buku berjudul America dan malapetaka di Pakistan, Afghanistan dan Asia Tengah (Penguin 2009).
kepimpinan
Lantas disebut mengenai panglima tentera Amerika yang baru di Afghanistan, General Stanley McChrystal meminta kerajaannya menghantar kira-kira 30,000 lagi tentera ke Afghanistan. Bilangan yang ada sebelum ini dianggap tidak memadai.
Perang di Afghanistan bermula semasa kepimpinan Presiden George Bush untuk memerangi pihak Taliban dan golongan al-Qaeda. Berlaku sejak lapan tahun lalu ialah pelbagai kesilapan, salah perhitungan dan kecuaian, sedemikian menurut Rashid.
Menimbulkan pelbagai masalah adalah pendirian enam jiran Afghanistan yang dekat dan jauh, termasuk Pakistan, Iran, India, Russia dan Arab Saudi.
Selama lapan tahun perang di Afghanistan Presiden Bush hanya dua kali mengadakan lawatan. Di samping itu ialah kecenderungan beberapa pemimpin negara Barat menegur Presiden Hamid Karzai walaupun ia memenangi pilihan raya kali kedua. Antara yang nyaring kritiknya ialah Perdana Menteri British, Gordon Brown.
Bertindak sebagai pelaksana dasar-dasar baru di Afghanistan ialah Richard Holbrooke, bekas pegawai kanan Jabatan Negara Amerika.
Kerap dilaporkan pelbagai kegiatan tentera Amerika. Tidak sedemikian mengenai bala tentera negara-negara Eropah. Juga aktif ialah pesawat-pesawat udara tentera NATO yang mengebom di daerah-daerah pedalaman. Timbul kritik manakala yang maut ialah orang-orang awam, bukan pejuang-pejuang Taliban.
Baru-baru ini Setiausaha Agung NATO, Anders Rasmussen mengadakan kunjungan ke Moscow dan meminta Rusia membantu dengan menghantar helikopter-helikopter ke Afghanistan. Walhal semasa Soviet Union dulu menyerang Afghanistan, negara-negara Barat, terutama Amerika memberi bantuan alat-alat tentera kepada pejuang-pejuang Afghanistan.
Menjadi tanda tanya ialah sikap Rasmussen, dulu Perdana Menteri Denmark. Dalam masa pentadbirannya seorang kartunis akhbar Jyllands-Posten telah melukis kartun-kartun yang menghina Nabi Muhammad hingga mencetus demonstrasi-demonstrasi di beberapa negara Islam dan bantahan pelbagai kerajaan.
Seperti dilaporkan pihak Rusia tidak pula melayan Rasmussen supaya menghantar helikopter-helikopter ke Afghanistan untuk membantu NATO. Bagi mereka pengalaman masa lampau menjadi pengajaran. Maka berulang pertanyaan: Berapa tahun lagi perang Afghanistan?

ARKIB : 10/01/2010

Gus Dur ketika belum jadi Presiden

PADA pagi 11 Jun 1982, gerhana matahari berlaku di Jakarta. Ditayang oleh stesen-stesen televisyen Indonesia kemudiannya ialah gambar-gambar yang diambil dipelbagai kawasan kota raya. Jelas kelihatan rasa takut sesetengah penduduk.
Memberi ulasan beberapa hari selepas itu dalam akhbar Kompas ialah Abdurrahman Wahid, ketika itu ketua sebuah sekolah agama. Tema ulasannya ialah psikologi ketakutan di kalangan manusia.
Para pertama menyentuh pelbagai gambar yang ditayang oleh televisyen, iaitu gambar-gambar orang berlindung di bawah katil dan ada pula yang memukul gendang. Beberapa kawasan kota kelihatan lengang dan sunyi sepi kerana kebanyakan pejabat dan kilang-kilang telah ditutup.
Sementara itu di kampung-kampung sesetengah penduduk tidak keluar dari rumah. Di sebuah wilayah lain penduduk kampung diminta menutup mata binatang peliharaan mereka!
Perkara ini dikritik oleh Abdurrahman atau Gus Dur (1940-2009) kerana segalanya berlaku setelah puluhan tahun berlaku proses modenisasi. Pada pandangannya psikologi ketakutan masih merebak.
Beliau kemudian menjadi ketua Nahdatul Ulama yang mempunyai lebih 30 juta ahli dan menjadi presiden selepas pilihan raya bebas kali pertama Indonesia. Ayahnya Wahid Hasyim pernah menjadi Menteri Agama.
Gus Dur menjadi Presiden selama 21 bulan dan ada kalanya menjadi sasaran kritik pihak lawannya. Menjadi presiden berikutnya ialah Megawati Sukarnoputri
Mendapat perhatian waktu itu ialah sokongan kepada Gus Dur dari Rachmawati dan Sukmawati dua lagi anak Presiden Sukarno.
Bagi tukang catat ini ialah kesempatan mewawancara Gus Dur sebelum ia menjadi Presiden Indonesia. Turut serta dalam wawancara itu ialah seorang lagi wartawan Malaysia.
Setelah selesai wawancara teman tukang catat ini menghulur tangan untuk salam perpisahan, tetapi Gus Dur yang kurang jelas penglihatannya tidak mengangkat tangannya. Lalu teman memegang tangannya dengan penuh hormat.
Juga pernah menginterbiu Gus Dur ialah Yang Razali Kassim, wartawan dari Singapura. Pertanyaan pertama darinya: Apakah bapak ahli agama atau ahli politik?
Gus Dur menjawab: Kami bukan ahli-ahli politik yang profesional. Saya bukan gembong politik. Selama ini saya dalam Nahdatul Ulama.
Seterusnya beliau ditanya: Bapak berpengaruh, tetapi ramai musuh. Ada kalanya juga bapak mencetuskan kontroversi. Apa kata?
Gus Dur menjawab: Benar, musuh-musuh saya ramai. Tetapi yang lebih penting ialah saya melaksanakan perkara-perkara yang benar. Yang penting ialah ada berjuta-juta manusia seperti diri saya.
Seperti diketahui umum, beliau fasih berbahasa Arab dan Inggeris. Beliau juga meminati muzik, seni dan suka menonton perlawanan bola sepak.
Seterusnya disebut bahawa beliau juga membaca karya Sun Tzu berjudul Art of War. Daya ingatannya tajam sekali dan kerana itu boleh menyampaikan “pidato-pidato yang bagus,” seperti kata seorang penulis Indonesia.
Sebuah cerita ialah mengenai lawatannya ke Kuwait pada peringkat awal menjadi Presiden Indonesia. Lalu diatur pertemuan dengan Emir Kuwait selama setengah jam. Tapi perbincangan mereka berlarutan hingga lebih dua jam manakala kedua-duanya berbicara dengan mesra dalam bahasa Arab.
umum
Juga diketahui umum betapa Gus Dur membela Malaysia manakala dikritik dalam beberapa hal oleh golongan yang ultra-nasionalis dan bersikap pelampau.
Ternyata bahawa Gus Dur kerap membela Malaysia manakala menjadi sasaran golongan anti Malaysia. Dalam kenangan sebelumnya ialah kenyataan Duta Besar Indonesia ke Malaysia masa lalu, Soenarto Djajusman dalam wawancara dengan Utusan Malaysia (tahun 1990).
Menurutnya, hubungan di antara Indonesia bukan sebagai abang atau adik, kerana kedua-duanya adalah “saudara kembar”.
Ada kalanya hubungan akrab dan persaudaraan itu boleh dicemari anasir-anasir asing kerana kepentingan politik atau ekonomi mereka.
Juga merbahaya ialah kritik yang lahir dari diri sendiri. Termasuk dari wartawan yang “jingoistik yang menyangka pena mereka lebih tajam dari pedang”.
Akhir cerita ialah sesuatu yang berlaku pada hari terakhir Gus Dur menjadi Presiden Indonesia di Istana Presiden. Isteri beliau mengadakan majlis bacaan al-Quran. Menghadirinya ialah 150 orang wanita. Gus Dur mengadakan jamuan, termasuk tempe yang paling digemarinya.
Semoga Tuhan mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah.

ARKIB : 03/01/2010

Memilih tafsir kitab suci al-Quran

SEKURANG-kurangnya empat lagi tafsir Quran dalam bahasa Inggeris terbit sejak 2001. Antaranya ialah The Sublime Quran (Islamicworld) oleh Laleh Bakhtiar yang disebut sebagai "satu-satunya tafsir dalam bahasa Inggeris oleh seorang wanita."
Yang lain ialah The Quran (penguin 556 muka berharga euro 25) oleh Tarif Khalidi, tafsir oleh M.A.S. Abdel Haleem (Oxford World's Clasics) dan The Quran (Gibb Memorial Trust) oleh Profesor Alan Jones, sarjana bahasa Arab Universiti Oxford, juga pakar bahasa Arab zaman silam.
Laporan mengenai tafsir-tafsir baru itu terbit beberapa waktu lalu dalam jurnal Standpoint terbitan di London.
Jelas bahasa pelbagai hal bersangkutan agama Islam mendapat perhatian dewasa ini oleh para akademik dan penulis, terutama yang fasih dalam bahasa Arab. Penulisnya, Eric Ormsby memulakan laporan.
"Beberapa minggu selepas peristiwa 11 September, 2001 beberapa sahabat warga Amerika bertanya pada saya: "Tafsir Quran yang manakah patut saya baca?" (pertanyaan bagus walaupun datangnya dari yang lurus tetapi kurang pengalaman.)
Apakah ada pula yang bertanya kitab Injil yang manakah mereka patut baca untuk mengetahui latar belakang kemelut di Ireland dahulu?"
Yang dimaksudkan ialah pelbagai tindakan ganas oleh golongan Irish Republican Army terhadap pihak Inggeris semasa dahulu, iaitu di kalangan yang beragama Kristian.
Ormsby menulis, antara lain mengenai orang-orang Islam begitu tersentuh jiwa mereka manakala mendengar bacaan Quran dengan khusyuk. Seperti disebut pula dalam sebuah jurnal bahasa Jepun: ketenangan meliputi makmum masjid manakala bilal menyampaikan azan. Terbit di negeri Jepun ialah tafsir Quran dalam bahasa Jepun (808 muka). Perkataan dalam tulisan jawi ..... "dicatat padanya.
tafsir
Mengenai tafsir oleh Laleh Bakhtiar, seorang wanita Amerika, dijelaskan oleh Ormsby bahawa, "Ini kali pertama seorang wanita berani membuat tafsir". Lalu disebut mengenai adanya lain-lain wanita yang pakar mengenai pelbagai aspek Islamisasi.
Sebelum 2001 telah pun terbit tafsir dalam bahasa Inggeris di Amerika ialah al-Quran: The Guidance for Mankind oleh Muhammad Farooq Azam Malik (The Institute of Islamic Knowledge, Houston, Texas).
Tafsir bahasa Inggeris yang kerap menjadi panduan ialah yang ditulis oleh Abdullah Yusuf Ali (1872-1953) dari India yang melanjutkan pelajaran di Universiti Cambridge dan seterusnya menjadi pegawai Indian Civil Service, badan pemerintah penjajah Inggeris di India semasa dahulu. Beliau meninggal dunia di London ketika keseorangan diri.
Tafsirnya The Meaning of the Holy Qur'an juga telah diterbitkan di Malaysia oleh Islamic Book Trust dalam kata pendahuluan disebut betapa tafsir tersebut "paling popular dan ramai pembacanya".
Satu ayat Quran dipetik oleh Omsby dan pelbagai tafsir yang dilaporkannya: "Tidak ada paksaan dalam agama Islam."
Satu lagi ayat yang kerap disebut oleh penulis-penulis lain ialah ayat 286 dari Surah Al-Baqarah: "Wahai Tuhan kami janganlah pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami. Engkaulah penolong kami; oleh itu tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir." (Tafsir al-Quran terbitan Darulfikr dengan izin dan di bawah kawalan JAKIM).
Juga terbit di Amerika ialah tiga naskhah The History of Islam (Darussalam Inernational Punlishers) yang mempunyai pejabat di New York dan Houston. Texas selain dari pejabat-pejabat di Riyadh (Arab Saudi), Lahore (Pakistan) dan Dhaka (Bangladesh).
Tafsir serba lengkap ialah The Holy Quran (2082 muka) terbitan di Arab Saudi. Ramai memperolehnya ketika menunaikan haji dan umrah.

ARKIB : 27/12/2009

Siapa menang di Copenhagen?

JELAS tiadanya kata sepakat sejati dalam Sidang Kemuncak di Copenhagen mengenai perubahan iklim di serata dunia setelah dua minggu para perwakilan berbincang. Yang diumumkan akhirnya hanya sunat dilakukan, bukan wajib.
Hal ini dilaporkan dalam pelbagai warta berita televisyen dan akhbar di sana-sini. "Sungguh mengecewakan," demikian kata sesetengah delegasi dari 193 negara.
Yang menang ialah rencana sebilangan negara atas anjuran Presiden Barack Obama manakala sesetengah negara membangun dianggap tewas. UN huffs and puffs but is blown away at talks, demikian tajuk sebuah komentar akhbar.
Antara laporan bergambar ialah Presiden Obama berbincang dengan Perdana Menteri British Gordon Brown, Presiden Perancis Nicolas Sarkozy, Canselor Jerman Angela Markel.
Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) lazimnya membuat keputusan-keputusan sebulat suara, tetapi Denmark yang menjadi tuan rumah persidangan keberatan berpandu kepadanya kali ini kerana bimbang sidang berlanjutan dan berpanjangan.
Di samping itu ialah rasa kesal pelbagai pihak dengan tindakan-tindakan kasar pihak dengan tindakan kasar pihak polis Denmark ke atas ribuan yang mengadakan demonstrasi. Ini jelas dari laporan-laporan televisyen.
Antara yang menyatakan rasa dukacita ialah dari negara-negara membangun yang menghadapi akibat-akibat perubahan iklim, termasuk gempa bumi, banjir, tsunami, kemarau dan kenaikan paras air laut. Rakyat kepulauan Maldives, umpamanya, bimbang negara mereka lambat laun akan ditelan air laut. Ke mana mahu pindah? Mereka bertanya.
Kerana itulah dijanjikan sejumlah 100 juta dolar Amerika (RM344 juta) selama sepuluh tahun akan datang untuk membantu negara-negara yang berisiko.
Kata sepakat yang dicapai pada peringkat akhir melibatkan 28 negara utama, termasuk Amerika Syarikat, negara-negara Eropah, China, India, Brazil dan Afrika Selatan serta Maldives yang kecil.
pendirian
Juga mendapat perhatian ialah pendirian Malaysia dan Indonesia yang menentang cubaan membatasi penanaman kelapa sawit. Berlaku sebelum ini ialah tindak-tanduk beberapa pihak di negara maju supaya diharamkan iklan-iklan kelapa sawit dari stesen-stesen televisyen di Britian. Di samping itu ialah rancangan para pegawai Eropah terhadap penggunaan minyak kelapa sawit.
Tujuan kesemuanya ialah supaya pasaran-pasaran di Eropah, Amerika, Australia dan New Zealand mengurangkan penggunaan minyak kelapa sawit.
Malaysia dan Indonesia sebagai pengeluar utama minyak kelapa sawit tegas menolak kempen kesemuanya itu. Juga terlibat ialah
Greenpeace atas alasan mahu menyelamatkan hutan belantara.
Tindakan-tindakan mereka disifatkan sebagai "tidak bermoral" oleh Alan Oxley, bekas diplomat yang kini menjadi pengerusi World Growth. Seperti dicatat dalam satu laporan, ladang-ladang kelapa sawit di Malaysia memberi pekerjaan kepada 580,000 orang dan membantu menanggung lebih dua juta keluarga.
Seperti dijelaskan oleh pihak lain yang menentang kempen di negara-negara Barat itu: "Tindakan bersengaja untuk mengurangkan penggunaan minyak kelapa sawit boleh menjejaskan pendapatan para petani dan usaha-usaha mereka untuk melepaskan diri dari belenggu kemiskinan".
Ternyata bahawa sidang-sidang anjuran Bangsa-Bangsa Bersatu menghadapi pelbagai cabaran untuk mencapai kata sepakat, umpamanya, bagaimana mahu mengambil kira suara Alliance of Small Island States yang terdiri dari 43 ahli?
Seperti disebut lagi: Bagaimana mencari penyesuaian sikap antara Amerika dengan Pulau Tuvalu yang penduduknya hanya 12,000 orang? Bila berlaku hal seperti baru-baru ini Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki Moon diminta menjadi seperti orang tengah untuk memujuk Venezuela dan Bolivia yang mirip ke kiri.
Sebelum sidang bermula pihak-pihak tertentu menyebarkan berita mahu menyoal Indonesia dan Malaysia mengenai peningkatan perusahaan kelapa sawit. Akhirnya hal tersebut tidak berbangkit. Namun, tindak-tanduk anti kelapa sawit dunia Barat berterusan.

ARKIB : 20/12/2009

Barack Obama dan sejarah hamba abdi

WAJAR dibaca oleh ahli-ahli politik, terutama di negara-negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai golongan etnik, warna kulit, bahasa, budaya dan agama. Buku tersebut berjudul The Audacity of Hope ditulis oleh Presiden Barack Obama.
Lalu pada peringkat permulaan beliau menceritakan pengalaman dirinya ketika mula menceburkan diri dalam golongan politik dan kerap ditanya: “Dari mana kau dapat nama lucu kau tu?” Ini diikuti dengan pertanyaan: “Kau orang baik nampaknya. Kenapa mahu menceburi sesuatu yang kotor dan jijik seperti dunia politik?”
Obama adalah Presiden Africa-Amerika yang pertama di Amerika. Hanya di Amerika boleh berlaku sedemikian yang majoriti besar rakyatnya kulit putih. Tetapi beliau bukan keturunan hamba abdi bangsa Afrika yang dibawa secara paksa ke Amerika pada zaman lampau.
Ayahnya berasal dari Kenya yang telah merdeka dan ibunya kulit putih dan ia lahir di Honolulu pada tahun 1961. Juga diceritakan betapa pada peringkat pertama kempen politiknya beliau mengadakan sidang akhbar untuk para wartawan, tetapi “tiada siapa datang.” Namun, beliau terus berjuang sebagai penyokong Parti Demokrat. Pelbagai cerita, yang baik dan sebaliknya diceritakan, termasuk yang berikut:
“Pada awal tahun 2005, majalah Newsweek menyiarkan tuduhan-tuduhan bahawa para pengawal dan pemeriksa pusat tahanan penjara Guantanamo Bay telah menggesa dan menyalahgunakan kuasa ke atas tahanan, antara lain membuang sebuah al-Quran ke dalam tandas.
Rumah Putih menegaskan bahawa cerita itu tidak benar sama sekali. Tanpa dokumentasi dan akibat bantahan-bantahan ganas di Pakistan, maka Newsweek terpaksa menarik balik laporannya itu.
Beberapa bulan kemudiannya, pihak Pentagon mengedarkan laporan bahawa beberapa pegawai Amerika di Guantanamo telah melakukan beberapa tindakan tidak sewajarnya”.
Mengenai politik pula Presiden Obama menyebut mengenai pengaruh Parti Republikan di bahagian Selatan Amerika. Dua orang senator parti itu dari Wilayah Wyoming dan penduduk hanya seramai 493,782 orang menang iaitu menyamai dua Senator Parti Demokrat di Wilayah California yang penduduknya sejumlah lebih 30 juta orang
Pengalaman
Presiden Obama mengulangi suatu kenyataan senator-senator pada tahun pertama pengalaman mereka: “Seperti minum air dari saluran paip bomba”.
Juga diceritakan ialah pengalamannya semasa kanak-kanak 7-8 tahun di Indonesia dengan 17,000 pulau dan penduduk sejumlah 240 juta, iaitu yang keempat paling ramai dalam dunia selepas negara China, India dan Amerika Syarikat. Indonesia juga negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai sekali dalam dunia.
Presiden Obama lalu menyatakan harapan untuk kemudian melawat Indonesia dengan kedua-dua anaknya, “tetapi saya bimbang bahawa negara semasa saya kanak-kanak dulu itu tidak sama kini dengan segala kenangan diri saya, Indonesia dirasai begitu jauh kini dari keadaan 30 tahun dulu”.
Juga dicatat ialah keadaan warga Afrika-Amerika. Golongan yang kaya-raya kecil sekali. Di samping itu tiap warga kulit hitam dan ahli perniagaan di Chicago, umpamanya, boleh bercerita panjang mengenai halangan-halangan yang mereka hadapi kerana warna kulit mereka.
Gaji warga kulit hitam kira-kira 75 peratus gaji kulit putih. Gaji warga Latino pula 71 peratus gaji kulit putih. Bila dibuang kerja, maka warga kulit hitam dan Latino tidak punyai simpanan wang yang banyak. Ibu bapa tidak begitu berupaya menolong anak-anak mereka.Malah golongan kelas menengah kulit hitam dan Latino membayar lebih untuk insurans dan tidak begitu mampu memiliki rumah sendiri serta kurang sihat berbanding warga kulit putih.
Melalui kempen politiknya Obama mahu mengubah keadaan. Ini, antara lain kerana berdampingan dengan rakyat biasa yang tetap berazam dan optimis dalam menghadapi masa depan mereka.
Beliau kini berharap menjadi manusia lebih berguna “kepada keluarga saya dan rakyat yang telah memilih saya dan dengan itu mewariskan kelak kehidupan lebih baik bagi anak-anak kita”.
Obama bercerita pada waktu malam dulu ia sering mengunjungi tugu-tugu peringatan silam di Washington. Beliau telah membaca Gettysberg Address, pidato bersejarah Presiden Limcoln yang membebaskan hamba abdi kulit hitam di masa Perang Saudara di Amerika dulu.
“Jiwa saya penuh dengan kasih sayang kepada negara ini.” Presiden Obama menambah.

ARKIB : 13/12/2009

Komunis hanya tinggal sejarah

KEPUTUSAN telahpun diumumkan bahawa Chin Peng tidak akan dibenarkan balik ke negara ini. Seperti telah diakui pelbagai peristiwa masa lampau tidak boleh diubah lagi. Yang diwarisi hanya belajar dari sejarah segala yang telah berlaku dan yang ditulis.
Antaranya dalam masa Darurat ialah rundingan-rundingan di Baling, Kedah pada 28 dan 29 Disember 1955. Berperanan penting ialah Tuanku Abdul Rahman, Ketua Menteri, David Marshall, Ketua Menteri Singapura dan Tun Tan Cheng Lock, Presiden MCA. Bagi pihak Parti Komunis Malaya pula ialah Chin Peng, Rashid Maidin dan Chen Tian.
Maka berkatalah Tunku pada peringkat permulaan: "Saya tidak datang ke mari sebagai jurucakap Kerajaan British, saya juga bukan boneka penjajah". Chin Peng kemudian membalas: "Kami sedar bahawa anda bukan jurucakap kerajaan British, bukan boneka kerajaan British. Kerana itulah kami datang untuk menemui anda walaupun menyambung nyawa".
Dalam perbincangan selanjutnya, Tunku dan David Marshall menegaskan antara lainnya mengenai 7 juta rakyat Malaya dan Singapura manakala yang komunis hanya 3,000 orang saja. Oleh itu kepentingan 7 juta rakyat mestilah diutamakan.
Pada satu peringkat lain pula Tunku menyebut mengenai peranan penting Raja-raja Melayu: "Majoriti penduduk negara ini ialah orang Melayu dan mereka mengiktiraf raja-raja sebagai ketua agama dan adat negeri-negeri mereka".
Chin Peng juga bertanya apakah kerajaan British menjamin kemerdekaan penuh bagi Malaya, Tunku menjawab: "Jika saya tidak mencapai kemerdekaan penuh, parti saya akan menendang saya keluar, perhimpunan agung UMNO telah meluluskan resolusi untuk kemerdekaan pada 31 Ogos 1957".
Bersabit tuntutan supaya Parti Komunis Malaya diakui secara rasmi, Tunku menjawab: "Tidak di negara-negara berlakunya perjuangan di antara komunis dan nasionalis, mereka terpaksa membela bagi negara. Korea umpamanya, dibahagi dua. Demikian juga Vietnam. Kita tidak boleh membelah-bagi Malaya menjadi kawasan komunis Malaya dan Malaya yang bukan komunis. Akan berlakulah perang berlarutan".
Tunku akhirnya menyatakan harapan bahawa segala yang telah dibincang akan dipertimbang sebaik-baiknya. Yang penting sekali ialah keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. "Saya harap anda dalam keadaan selesa adanya. Beritahu saya jika anda perlu apa jua sebelum saya beredar".
David Marshall mencelah: "Saya fikir mereka hendak kipas". Chin Peng segera menjawab: "Kami tak mahu apa-apa, kami tak mahu kipas. Soalnya bagaimana kami nak balik". Tunku menjawab: "Seperti mana anda datang. Anda akan diiringi". Chin Peng menjawab: "That is all." Perundingan tamat pada 12.48 tengah hari kedua. Demikian catatan rasmi.
Akhbar Observer di London pada 14 Jun 1998, menyiarkan laporan Neal Ascherson, bekas askar di Malaysia mengenai pertemuan dengan Chin Peng di London sebagai tamu rancangan khas BBC London.
Ascherson menyebut mengenai tentera Chin Peng membunuh 1,860 orang askar, tetapi 6,700 komunis tewas. Kira-kira 2,500 orang awam juga menjadi korban. Akhbar Sun di Malaysia menyiarkan pada 6 Ogos 2005, rencana khas berjudul Why Chin Peng failed in Malaya oleh Datuk Seri Yuet Leng, bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak, antara lain kerana tidak menjelaskan niat untuk menwujudkan Republik Komunis Malaya (Communist Republic of Malaya).
Di samping itu ialah Victor Purcell, bekas pegawai kanan British di Malaysia menulis mengenai 95 peratus anggota Parti Komunis ialah warga China. Itu juga pendapat Lucian W. Pye dalam Guerilla Comumunism in Malaya (Princeton University Pres) bahawa orang-orang Melayu bersikap dingin terhadap pujukan-pujukan bahan komunis.
Antara peristiwa dalam masa darurat ialah serangan ke atas balai Polis Bukit Kepong, 35 batu dari Muar oleh 200 anggota komunis pada 23 Februari 1950. Serangan bermula pada 4.30 pagi hingga hampir lima jam. Seramai 25 orang mati termasuk 14 anggota polis dan polis khas, isteri dua anggota polis dan tiga kanak-kanak.
Segalanya berakhir 1 Disember 1989 di Haadyai, Thailand dengan perjanjian damai ditandatangani oleh wakil-wakil Malaysia, Thailand dan Parti Komunis Malaya, termasuk Chin Peng dan Rashid Maidin.
Seperti disebut oleh Jeneral Tan Sri Md Hashim Hussein, Ketua Angkatan Tentera Malaysia, pihak komunis gagal mendapat sokongan rakyat. Ideologi komunis tidak menarik sokongan rakyat, terutama orang Melayu beragama Islam yang bertentangan dengan fahaman komunis yang anti agama. Di samping itu pujukan terhadap masyarakat Cina pun tidak mendapat sokongan memadai.

ARKIB : 29/11/2009

Ada orang puji kekejaman penjajah

PELBAGAI tindak-tanduk dan kata-kata pihak penjajah serta para penyokong mereka abadi dalam kenangan sebilangan ramai mangsa penjajahan dan keturunan mereka apatah lagi setelah dicatat dalam buku-buku sejarah dan dokumen.
Satu contoh ialah Herman Willem Daendels, Gabenor Jeneral Hindia-Belanda zaman lampau. Beliau seorang yang ‘sangat gagah, perkasa, bengis dan kejam’ seperti disebut oleh Drs. M.Hum Sudibyo dari Universiti Gajah Mada yang fasih dalam bahasa Belanda.
Beliau antara lain membina secara paksa jalan raya sepanjang 1,000 kilometer dari hujung barat hingga timur Pulau Jawa. Pembinaan yang mengambil masa setahun itu mengorbankan ribuan para pekerja Jawa. Kisah ini dicatat dalam buku terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjudul ‘Kreativiti Minda Melayu-Jawa’.
Di samping itu, beliau melantik Residen Belanda sebagai menteri iaitu lengkap dengan ‘lambang kerajaan berupa payung emas’’ dan tidak perlu mengangkat topi memberi hormat kepada raja-raja.
Dalam pada itu Sultan Cirebon diturunkan pangkat dan Sultan Banten ditangkap lalu diasingkan ke Ambon. Selanjutnya Daendels merampas wilayah-wilayah kesultanan yang luas untuk diserahkan kepada pemerintah pusat Belanda di Batavia. Baginya ‘seluruh Jawa, kecuali wilayah kerajaan adalah tanah milik pemerintah dan baginya hak kedaulatan Belanda mencakupi seluruh Jawa dan tidak terbatas’.
Menurut kajian Drs. Sudibyo, selanjutnya pemerintahan Daendels sebagai Gabenor Jeneral ‘mengilhami penulisan Hikayat Mareskalek dan Arsya al-Mulk’ oleh Abdullah bin Muhammad Al-Misri.
Menurut Sudibyo lagi, ‘‘Narasi Abdullah tentang feudalisme Jawa hampir semuanya menyudutkan orang Jawa sebagai ‘orang kulit hitam’ dan pada sisi lain mengangkat ‘orang kulit putih’, khususnya Daendels.
Abdullah dikatakan berasal daripada pendatang Arab yang mulanya menetap di Kedah dan kemudian berpindah ke Pontianak. Beliau ‘disetarakan dengan Abdullah bin Abdul Kadir Munshi yang tulisannya juga melancarkan kritikan terhadap pemerintahan Melayu.
Kesimpulan
Sudibyo membuat kesimpulan bahawa sikap Abdullah itu ialah kerana ia ‘‘keturunan migran Arab yang hidup berpindah-pindah dari satu tempat ke satu tempat lain. Abdullah dianggap ‘terlalu banyak menyampaikan pandangan-pandangan peribadinya tentang feudalisme Jawa yang tidak tepat secara keseluruhan. Ini kerana dia kerap berpindah dan oleh itu tidak terikat kepada budaya etnik tertentu.
Abdullah dikatakan terpengaruh dengan ‘sepak terajang Daendels selama tiga tahun memerintah Pulau Jawa’ . Dengan demikian Abdullah dianggap lebih banyak membela kepentingan penaung kulit putihnya.
Dan sumber-sumber lain ialah kisah Abdullah Munshi (1797-1854) penulis Kisah pelayaran Abdullah dan Hikayat Abdullah bertulisan Jawai. Beliau antara lain memuji Stamford Raffles dengan pantunya berbuyi;
Burung belibis di atas lantai,
Buah Rambai dalam padi,
Tuan Raffles orang yang pandai,
Tahu sungguh mengambil hati.
Jeruju dengan durinya,
Di tepi jalan orang berlari,
Setuju pula dengan isterinya,
Seperti bulan dengan matahari.
Waduh, seorang memuja Daendels dan seorang lagi memuja Raffles!.
Juga mendapat perhatian ialah kertas kerja Prof. Sutan Takdir Alishahbana seperti dicatat dalam Politik Bahasa Nasional terbitan Pusat pembinaan dan Pengembangan Bahasa percetakan Balai Pustaka, Jakarta. Beliau menyebut mengenai Indonesia dengan ‘beribu-ribu pulau dan pergunungan dalam beribu-ribu lembah dan dataran, sejak dari semula selayaknya mempunyai jumlah bahasa dan dialek yang sangat banyak.
Bersambung kemudiannya,:‘‘Seperti kita ketahui, bahasa yang menjadi bahasa perhubungan atau lingua franca selama berabad-abad di daerah Asia Tenggara ini adalah sejenis bahasa Melayu. Kita sudah tahu bahawa kedudukan istimewa bahasa Melayu itu pertama kali disebabkan oleh kedudukan geografi yang istimewa tempat kediaman bangsa Melayu pada kedua-dua belah pihak Selat Melaka yang menjadi saluran perhubungan dan perdagangan yang terpenting antara barat dan timur di Asia Tenggara, di sini sifat bangsa Melayu yang gelisah, suka merantau.’’

ARKIB : 22/11/2009

Menilai hubungan antara dua bangsa

WAJAR ditatapi oleh pelbagai pihak dewasa ini ialah buku berjudul Kreativiti Minda Melayu-Jawa terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) setelah mengatur kerjasama dengan Universiti Gajah Mada, Yogyakarta dan Universiti Sebelas Maret Surakarta.
Lalu disebut antara lain dalam kata-kata pendahuluan: “Kedua bangsa besar ini mempunyai satu rasa yang paralel dalam membentuk pola fikir sehingga terdapat kesamaan terutama dalam membentuk makna yang tersirat. Makna-makna ini hanya difahami oleh masyarakat tersebut dan tidak oleh masyarakat bukan Melayu dan Jawa”. Meliputi segalanya ialah bahasa, sastera dan budaya.
Juga dicatat ialah aspek menanam budi, menerima budi dan membalas budi di kalangan masyarakat Melayu Riau. Heddy Shri Ahimsi-Putra dari Universiti Gajah Mada menulis mengenainya: “Kita tidak perlu hairan jika di kalangan orang Melayu di perdesaan terutamanya, air zam-zam yang diberikan oleh mereka yang baru sahaja kembali dari naik haji atau umrah akan dibahagikan sama rata mungkin ke semua warga, sehingga setiap orang mungkin hanya mendapat beberapa teguk. Ertinya, budi juga merupakan unsur budaya yang khas Melayu dan kerana itu merupakan salah satu unsur dari jati diri Melayu’’.
Mengenai bahasa pula disebut peranan bahasa Jawa seperti bahasa daerah yang lain, iaitu bahasa Sunda, Madura, Bali, Aceh, Bugis, Batak dan sebagainya semenjak diproklamasikan kemerdekaan adalah bahasa daerah bahasa kebangsaan adalah bahasa Indonesia.
Dicatat juga betapa dalam masa penjajahan Belanda “banyak redaksi dalam administrasi pemerintahan menggunakan bahasa Melayu. Dengan itu masyarakat Indonesia merupakan masyarakat berdwibahasa”.
Salah seorang penulis Mahyudin Al Mudra, pendiri dan pemangku Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu menulis mengenai Redafinisi Melayu dan Konsep Kemelayuan bangsa serumpun.
Menurutnya antara faktor penting yang menyebabkan Islam cepat berkembang di Nusantara adalah “kerana penyebaran agama didukung oleh tiga kekuatan, iaitu istana, pesantren dan pasar. Dengan itu pengaruh Islam dalam masyarakat Melayu begitu mantap.”
Pesantren
Beliau menyambung: “Secara kultural, Islam disebarkan melalui pesantren dan pasar. Secara politik dilegitimasi oleh istana. Ilmu pengetahuan umum seperti tasawuf, kalam tafsir dan hadis dan ilmu pengetahuan umum seperti ilmu hisab, perkapalan, estetika, astronomi, logika, ekonomi perdagangan dan lain-lain berkembang begitu pesat.
Terdapat ungkapan popular yang menunjukkan kuatnya pengaruh Islam: Adat bersendi syarak, syarak bersanda kitabullah”.
Beliau juga mengingatkan mengenai pihak penjajah Eropah dahulu “menyebabkan polarisasi bangsa Melayu menjadi Melayu Indonesia, Melayu Malaysia, Melayu Singapura dan Melayu Brunei.”
Pada masa dahulu kedua-dua bangsa Indonesia dan Malaysia “melakukan shared values yang didasarkan atas persaudaraan serumpun. Namun dalam perkembangannya, hubungan kedua bangsa serumpun ini banyak diwarnai ketegangan-ketegangan.
Perkembangan dan perubahan pandangan bangsa Malaysia dipengaruhi pengalaman sejarah Ganyang Malaysia oleh Orde Lama, sejumlah pendatang gelap Indonesia di Malaysia, jerebu (kabus asap) tahunan asal dari Sumatera dan Kalimantan dan lain sebagainya. Sehingga muncul conflicting values antara kedua bangsa yang ditandai dengan penilaian bahawa Indonesia adalah “jiran yang problematik” oleh beberapa pihak di Malaysia.”
Namun, bagi Mahyudin masih ada harapan kedua bangsa untuk “saling menghargai menghormati dan bersatu dalam bingkai kebudayaan”. Dan akhir kata pula: “Pendapat bahawa orang Melayu adalah yang beragama Islam, tentu saja akan memotong rantai sejarah bangsa Melayu yang telah terungkai sejak 3,000 tahun sebelum Masihi.”
Sebanyak 16 kertas kerja dibentang dalam bengkel UKM, Universiti Gajah Mada dan Universiti Sebelas Maret pada 16 hingga 17 Julai 2008 di Yogyakarta. Tujuan bengkel adalah “mengungkap nilai-nilai luhur yang terkandung dalam pemikiran budaya Melayu-Jawa”. Lalu darinya sebuah pantun:
Dari Penyengat ke Tanjung Pinang,
Sarat dengan ubi keladi,
Adik teringat abang terkenang,
Kerana ingat bahasa dan budi.

ARKIB : 15/11/2009

Antara politik dan burung Dodo

BETAPA halnya manakala sebilangan ramai intelektual dan cerdik pandai dibuang negeri? Seperti berlaku di Rusia kepada lebih 60 orang, termasuk para penulis dan editor akhbar yang karya dan tulisan mereka dibaca oleh majoriti rakyat.
Ramai antara mereka mengajar di pelbagai universiti, institusi dan sekolah. Kesemuanya dengan isteri dan anak masing-masing dipaksa menaiki kapal dan meninggalkan tanah air buat selama-lamanya pada peringkat akhir 1922.
Mereka diusir atas perintah Lenin ketika lahirnya negara Soviet Union pemerintahan komunis. Tujuannya ialah supaya mereka tidak lagi boleh mempengaruhi rakyat melalui pendirian politik dan agama.
Segalanya berlaku selepas perang saudara dan revolusi tahun 1917 hingga 1921 yang mengorbankan lebih sejuta nyawa.
Kisah pengusiran mereka tidak begitu diketahui hingga puluhan tahun lamanya. Nasib mereka kemudian diceritakan dalam, antara lainnya, buku berjudul The Philosophy Steamer: Lenin and the Exile of the Intelligentsia (Atlantic Book 2006) karya Lesley Chamberlain.
Apa yang berlaku tidak diketahui oleh negara-negara lain. Di Rusia sendiri tidak ramai rakyat mengetahui. Pada ketika berlakunya tindakan tersebut Lenin mahu mewujudkan negeri moden dan maju serta menghapuskan segala yang bertentangan dengan komunis yang tidak percaya Tuhan.
Yang utama menjadi sasaran ialah para pemikir agama yang sentiasa berbicara langsung dengan rakyat dan para penulis. Lantas disebut bahawa dunia sastera lebih sukar dikawal, tetapi para penulis boleh ditindas dan diancam hingga terpaksa berdiam diri.
Mempengaruhi
Muncul kemudiannya ialah gagasan "seni untuk masyarakat" menggantikan "seni untuk seni" yang mempengaruhi sesetengah pihak di beberapa negara membangun, terutama yang masih dijajah oleh negara-negara Barat.
Masa berputar dan puluhan tahun selanjutnya setelah runtuh pemerintahan komunis di Rusia dan Eropah Timur, pelbagai persoalan berbangkit. Antaranya, kenapa sesetengah golongan intelektual Barat terpengaruh dengan anjuran pihak komunis.
Antara nama yang dicatat ialah Jean-Paul Sartre (1905-80), tokoh falsafah Perancis dan penulis novel yang pada tahun 1964 menolak Hadiah Nobel jurusan sastera. Juga disebut tindak-tanduk segelintir di Universiti Cambridge hingga sanggup menjadi pengintip. Mereka dipanggil Cambridge spy ring.
Antara yang membicarakan hal ini ialah majalah New Statesman di Britain walaupun dianggap condong ke kiri. Olehnya disebut: "Faham komunis bukan anak haram sejarah Eropah. Ia anak yang sah.
''Ia didorong oleh rasa benci terhadap golongan borjuis atau kelas menengah masyarakat."
Golongan borjuis dianggap sebagai hipokrit setelah menjanjikan Kebebasan Persamaan Taraf dan Persaudaraan berikutan Revolusi Perancis pada tahun 1989, tetapi matlamat itu tidakpun dipenuhi. Maka Revolusi Rusia 1917 mahu melaksanakannya.
Pihak komunis kemudian bersaing dengan golongan fasis, satu dianggap langkah ke depan dan satu lagi berupa langkah ke belakang. Kerana itu pihak komunis mendapat sokongan sebilangan para penulis barat.
Akhirnya pihak fasis tewas dalam Perang Dunia Kedua dan Soviet Union pelapor pemerintahan komunis di Eropah Timur runtuh pada tahun 1991 (dua tahun setelah berundur dari Afghanistan yang gagal dikuasainya).
Seperti disebut berikutannya apa yang diperjuangkan itu akhirnya dead as the dodo. Demikian istilah bahasa Inggeris yang digunakan. Dodo ialah sejenis burung yang pupus kerana tidak boleh lagi terbang, ertinya sesuatu yang tidak penting dan berfaedah kerana tidak lagi berpengaruh.
Sebelum itu di Eropah terbit buku-buku yang mencabar komunis Eropah seperti ditulis oleh Arthur Koestler, berjudul Darkness at Noon. Muncul kata-kata seperti the god that failed.
Lalu disebut bahawa materalisme (teori atau kepercayaan) yang tidak mengindahkan agama dan hanya mementingkan kebendaan tidak boleh menewaskan peranan agama. Segalanya berlaku kerana politik. Seperti diingatkan oleh tokoh sejarah, politik bererti merebut kuasa dan sejarah adalah kisah perebutan tersebut. Kok ada lagi yang diperjuangkan oleh gembong-gembong politik akhirnya dead as the dodo?

ARKIB : 01/11/2009

Mengeksploitasi hak kebebasan bersuara

ATAS nama kebebasan bersuara dan menulis, maka Islam menjadi sasaran kritikan dewasa ini di sesetengah negara Barat, umpamanya seperti dilafaz oleh pemimpin British National Party, Nick Griffin pada minggu lalu dalam satu sessi perbincangan politik anjuran BBC London.
Lalu beliau antara lain mengecam agama Islam dan sebaliknya memuji organisasi Ku Klux Klan di Amerika yang anti-kulit hitam dan anti warga asing. Beliau juga mahu golongan minoriti di Britain supaya secara sukarela meninggalkan negara tersebut. Termasuk dalam golongan tersebut ialah warga-warga India (1.5 juta), Pakistan, Bangladesh, China, kulit hitam dan Afrika dan Hindia Barat serta yang beragama Islam (1.6 juta), yang telah bermastautin begitu lama di Britain.
Dalam masa debat di studio BBC itu beberapa orang yang hadir menyifatkan Griffin sebagai manusia yang “mengaibkan” dan “pembohong”. Ahli-ahli British National Party terdiri dari warga kulit putih kesemuanya.
BBC dalam laporannya sendiri menyebut bahawa Griffin telah dihukum oleh mahkamah pada tahun 1998 kerana hasutan perkauman. Dalam pada itu beliau telah dipilih menjadi ahli European Parliament. Seramai 500 orang mengadakan demonstrasi sebagai membantah penyertaannya dalam program BBC itu.
laporan
Menurut laporan agensi berita pihak BBC dibidas kerana mengundang Griffin. Akhbar Guardian mempersoal pemilihannya manakala akhbar Daily Mirror menyifatkan telatahnya sebagai satu “kejayaan bagi golongan fanatik sayap kanan.”
Di samping itu akhbar Independent menyiarkan berita di muka satu bertajuk: BBC memberi muka kepada yang berbicara itu. Lalu beliau tercekik akibatnya.”
Satu lagi kejadian anti-Islam berlaku di Philadephia, Amerika dalam perhimpunan para siswa Temple University, iaitu kritikan ahli Parlimen Belanda sayap kanan, Geert Wilders berucap. Beliau menggesa negara-negara Eropah dan Amerika supaya bersatu menentang “jihad rahsia” Islam yang dianggapnya mengancam sistem demokrasi dan hak asasi kebebasan bersuara.
Wilders juga menggesa supaya disekat kemasukan orang-orang Islam. Quran juga menjadi sasaran kencamannya. Sebelum berucap filem yang anti Islam “Fitnah” ditayangkan untuk tontonan beratus orang siswa. Sebilangan daripada mereka mengejek Wilders.
Beliau menyentuh resolusi anjuran Amerika dan Mesir serta Majlis Hak-Hak Asasi, Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengecam serangan-serangan terhadap pelbagai agama. Menurutnya resolusi itu “memalukan” kerana bercanggah dengan hak asasi kebebasan bersuara.
Dalam ingatan ialah perbuatan pelukis-pelukis kartun sebuah akhbar Denmark suatu masa lalu yang menyiarkan kartun-kartun menghina Nabi Muhammad saw. Tindakan itu kemudian dikecam oleh pelbagai negara Arab dan Islam. Bantahan demi bantahan disuarakan, tetapi seorang menteri Denmark kemudian memberitahu pihaknya tidak boleh campur tangan atas alasan hak kebebasan akhbar-akhbar.
mencontohi
Jelas bahawa Nick Griffin dari Britain dan Geert Wilders dari Belanda mencontohi sesuatu yang berlaku di negara Jerman sebelum Perang Dunia Kedua. Bagi pemerintahan Nazi Jerman ialah slogan yang diberi nama Deutschland Uber Alles (Germany Above All). Yang nombor satu ialah kulit putih. Walhal Jerman dua kali kalah dalam Perang Dunia, Inggeris dan Belanda hilang jajahan takluk masing-masing.
Kerana sikap sedemikian berlakunya peristiwa ke atas enam orang imam yang menaiki pesawat US Airways pada tahun 2006. Mereka dihalau keluar dari pesawat kerana kegiatan yang dianggap mencurigakan.
Peristiwa berlaku pada 20 November dalam satu penerbangan di Amerika. Mereka kemudian ditahan dan disoal selama lima jam hingga mencetuskan tindakan di mahkamah terhadap syarikat US Airways, pegawai-pegawai lapangan terbang, pegawai-pegawai pesawat dan juga beberapa orang penumpang.
Empat dari enam orang imam itu sebelumnya telah menunaikan sembahyang di lapangan terbang sebelum menaiki pesawat. Ini mencetuskan salah sangka dan kecurigaan pegawai serta sebilangan penumpang lain.
Akhirnya enam orang imam itu menang dalam perbicaraan mahkamah. Syarikat US Airways bersetuju memberi ganti rugi kepada imam-imam itu. Jumlahnya tidak pula diumumkan.

ARKIB : 25/10/2009

Kisah Pengasih dan hubungan Malaysia-Indonesia

JARANG sekali kita menyaksikan pemuda-pemuda Indonesia menyanyi dikir barat bersama rakan-rakan dari Kelantan. Dan mereka menyanyi dengan penuh semangat. Inilah yang disaksikan dalam majlis sambutan Hari Raya di Rumah Pengasih pada tahun 1998.
Demikian catatan tukang catat ini dalam akhbar bahasa Inggeris di waktu itu. Kira-kira 230 warga Indonesia berada di asrama dan keluarga mereka datang dari Jakarta untuk menyertai sambutan Hari Raya.
Di samping itu, dua buah lagu Indonesia dinyanyikan oleh pemuda-pemuda Indonesia itu. Jelas sekali mereka merindui kampung masing-masing. Ketika menyanyi itu, ayah-ayah mereka mengambil gambar dengan kamera masing-masing untuk merakamkan dalam album gambar keluarga suatu peristiwa sedih kehidupan mereka.
Rumah pengasih mengadakan pelbagai asrama bagi penghuninya. Tidak ada tembok mengelilingi dan tidak ada pintu-pintu berkunci. Sesiapa saja boleh menyeberangi jalan untuk melarikan diri. ini tidak pun berlaku kerana semua penghuni insaf bahawa beradanya mereka di situ ialah untuk kebaikan diri mereka sendiri.
Ada penghuni yang balik kampung masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri selama beberapa hari. Mereka yang datang dari Indonesia telah menyertai ibu bapa mereka dan adik-beradik di beberapa buah hotel di Kuala Lumpur dan kesemuanya kembali ke asrama selepas itu.
Dalam ucapan sambutannya, Yang Dipertua pusat itu Haji Mohd. Yunus Pathi memberitahu bahawa pusat seumpama dirancang diadakan di Jakarta. Ia akan dibiayai oleh keluarga-keluarga yang ingin meneruskan usaha pemulihan anak-anak mereka.
Menjelang tahun 1998 itu, seramai 200,000 penagih dadah Malaysia telah didaftar, tetapi hanya kira-kira 50,000 menjalani rawatan di 20 pusat rawatan di seluruh Malaysia.
Mohd Yunus yang dipanggil Yeop oleh semua pihak di Rumah Pengasih itu menjadi Presiden Persatuan Pengasih Malaysia dan usaha-usaha rawatan mendapat bantuan dari pihak berkuasa.
Demikian kerjasama yang dijalan di antara Malaysia - Indonesia pada peringkat hubungan di antara rakyat kedua-dua negara. Ertinya, kerjasama bukan hanya pada peringkat rasmi antara para pegawai kerajaan, kementerian dan jabatan.
Kerana, dalam perang berlarutan melawan dadah, kemenangan tidak boleh tercapai dengan pantas. Kerjasama seumpama kedua-dua negara dengan demikian dialu-alukan adanya.
konteks
Hal ini dicatat kini dalam konteks masalah yang dibangkitkan antara lainnya oleh kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera), segelintir yang anti-Malaysia. Seperti telah dilaporkan oleh Utusan Malaysia, sekumpulan rakyat Indonesia sendiri yang bekerja di Malaysia telah mengadakan perhimpunan aman bagi membantah tindakan kumpulan Bendera itu.
Perhimpunan diadakan di hadapan Masjid Kayangan, Brinchang di Cameron Highlands dan mereka membawa poster bertulis kami aman di Malaysia, Malaysia dan Indonesia serumpun. Terima kasih Pahang, Malaysia. Terima kasih bantuan di Padang.
Jurucakap mereka, Ahmad Thoyib Matsum yang telah tinggal sejak 20 tahun lalu menyatakan: “Kami yang mewakili lebih 1,000 rakyat Indonesia di kawasan ini meminta rakan-rakan di negara ini supaya bertenang dan tidak terpengaruh dengan hasutan Bendera.”
Sebenarnya juga pelbagai hal yang berlaku di Indonesia mendapat perhatian di Malaysia, termasuk kegiatan-kegiatan politik, iaitu dari dahulu lagi. Antara yang diingati ialah satu peristiwa dalam rapat raksasa di Indonesia pada waktu dahulu.
Mereka yang terlibat ialah Muso, ketika itu pemimpin Parti Komunis Indonesia (PKI) dan Haji Agus Salim, pemimpin golongan nasionalis.
Pertama berucap ialah Muso dan ia mulanya bertanya: “Saudara-saudara sekalian, apa panggilan kita bagi seseorang yang berjanggut?” Para hadirin menjawab: “kambing.”
Muso mengajukan pertanyaan kedua: “Apa panggilan kita bagi seseorang yang bermisai?” Hadirin menjawab: “Kucing.”
Setelah Muso selesai berpidato dan duduk semula di kerusinya, Agus Salim melangkah ke pentas dan serta-merta bertanya: “Saudara-saudara sekelian, apa panggilan kita bagi seseorang yang tidak punyai misai dan tidak berjanggut?” Hadirin menjawab: “Anjing.”
Agus Salim senyum lebar lalu meneruskan pidatonya. Tamat cerita. Jelas adanya unsur-unsur kempen politik yang tidak berubah di mana juga negara.
Terdapat di masjid di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ialah pelbagai risalah termasuk tawaran pelancongan ke Indonesia, termasuk ke Padang, Bukit Tinggi, Medan, Danau Toba, Bali Pesona, Minangkabau, Aceh, Bandung dan Yogyakarta.
Seperti telah dilaporkan oleh akhbar-akhbar dan televisyen ialah tragedi gempa bumi di Padang. Antara yang paling menyedihkan ialah manakala kampung-kampung di pedalaman ranap dilanda tanah runtuh. “Villages turned graveyards” demikian tajuk akhbar bahasa Inggeris. Kira-kira 400 orang maut. Semoga peristiwa-peristiwa seperti ini mengingati semua pihak adanya.

ARKIB : 18/10/2009

Apabila aktivis menunjuk "jari hantu"

POLITIK kasar juga berlaku di Amerika dan antara istilah-istilah politik baru ialah "jari hantu" dan aktivis "penyembur politik api."
Diperkenalkan baru-baru ini melalui televisyen Malaysia ialah Rush Limbaugh, seorang tokoh golongan konservatif Amerika dan salah seorang aktivisnya yang bertalu-talu melakukan serangan politik terhadap mereka yang dianggap liberal. Peranannya diceritakan dalam The Angry Right: Why Conservatism Keep Getting It Wrong.
Lalu dijelaskan oleh penulisnya S.T. Joshi mengenai "kegiatan politik di Amerika sejak 15 tahun lalu. Segalanya berkait dengan persoalan utama politik di mana juga: Siapa akan memerintah?
Telah diakui bahawa sejak siaran radio Limbaugh menjadi siaran nasional, bilangan para pendengarnya meningkat hingga berjuta-juta. Namun, tuduhan timbul bahawa segala yang dibicarakan olehnya melalui radio bukan berasaskan fikiran waras, tetapi kepada sikap prejudis.
Lantas pihak lawan menganggap beliau sebagai "Manifestasi Kesalahan Gerakan Golongan Konservatif." Disebut antara lainnya bahawa ia sendiri tercicir dalam pelajaran peringkat universiti.
Antara penyokong kuat golongan tersebut di Amerika dan sering disebut namanya ialah William F. Buckley penulis pojok dan selebriti televisyen sejak 50 tahun lalu.
Juga dicatat ialah meningkatnya kegiatan "neo-konservatif" dalam jurusan intelektual dan politik Amerika sejak 1970-an hingga memberi kemenangan kepada Presiden Ronald Reagan dan Presiden George Bush. Di kalangan akhbar pula Wall Street Journal dianggap konservatif manakala New York Times dan Washington Post dianggap menyebelahi golongan liberal.
Limbaugh sendiri menganggap liberalism sebagai punca segala kejahatan. Akibatnya beliau dituduh tidak begitu memahami sejarah kegiatan tersebut di dunia Barat.
Kerana, ia berdasarkan pemikiran cerdik pandai Barat seperti John Stuart Mill, John Maynard Keyas dan Profesor Isiah Berlin yang diingati kerana amarannya "kebebasan penuh bagi serigala bererti maut bagi kambing."
politik
Limbaugh juga dianggap tidak tahu menahu mengenai teori politik kerana "liberalisme dan kegiatan konservatif sebenarnya berada di peringkat tengah, iaitu di antara pemerintah fascisme pihak kanan dan sosialis atau komunis di pihak kiri."
Juga dipersoal ialah anggapan Limbaugh mengenai dirinya sebagai seorang yang periang dan lurus. Ini kerana pelbagai kenyataannya melalui siaran radio, televisyen dan yang bertulis jelas menunjukkan ia mengalami kepahitan hidup dan ia manusia yang kecewa sebenarnya.
Joshi lalu menulis: "Nampaknya apa yang selalu dilakukan oleh Limbaugh ialah bekerja dan menonton segala perlawanan bola sepak Amerika. Tiada baginya keindahan dunia sastera, muzik, lukisan, seni pahat, drama dan lain-lain persembahan seni yang diminati oleh majoriti warga Amerika. Pada hakikatnya beliau seorang yang tidak bertamadun."
Kerana itu timbul pertanyaan setakat mana sebenarnya pengaruh kempennya dalam jurusan politik ke atas warga Amerika seluruhnya.
Antaranya istilah politik di Amerika kini ialah aktivis politik yang dicap sebagai "penyembur api politik." Pertanyaan: Apakah yang seumpama tidak wujud juga dalam arena politik Malaysia?
Lain-lain persoalan politik disebut oleh penulis pojok Amerika yang terkenal, Garrison Keillor. Beliau menulis antara lainnya untuk akhbar International Herald Tribune.
Beliau menulis mengenai aktivis politik yang menunjukkan "jari hantu" bila berbicara. Lalu dijelaskan: "Golongan kanan yakin bahawa jika anda berulang-ulang melaporkan pelbagai tuduhan, maka ada antaranya yang akan dipercayai."
Menurutnya lagi, golongan kanan, politik Amerika kini merasa seperti diketepikan sejak pilihan Obama sebagai presiden.
Dengan itu Joshi menyifatkan tindak-tanduk seumpama oleh pihak oposisi seperti menunjuk isyarat "jari hantu" ertinya mencarut.

ARKIB : 11/10/2009

Walaupun sesekali gigi tergigit lidah

KEMELESETAN ekonomi Amerika mulai setahun lalu yang merebak ke beberapa negara lain tidak begitu parah akibatnya berbanding "Wall Street Crash 1929", demikian menurut beberapa pihak. Pelbagai hal dipelajari oleh negara-negara yang terjejas, termasuk Malaysia oleh semua pihak termasuk kerajaan, tokoh-tokoh politik, pakar-pakar ekonomi dan akademik, tokoh-tokoh korporat serta kesatuan-kesatuan sekerja. Juga oleh pihak media massa.
Kebimbangan demi kebimbangan disuarakan pada mulanya mengenai kegawatan ekonomi, rumah-rumah diambil balik oleh pihak bank dan lain-lain kerana pemilik tidak mampu membayar balik pinjaman. Juga mengenai kian ramai para pekerja dibuang kerja dan menganggur.
Dalam ingatan ialah laporan mendiang Lee Siew Yee (Tan Sri), kemudian Ketua Pengarang New Straits Times, yang disegani kerana keinsafan mengenai keperluan-keperluan masyarakat pelbagai kaum. Lanjutan dari kemerosotan ekonomi Wall Street 1929, beliau menulis mengenai pelbagai akibat kepada para pekerja dan buruh. Beliau mengisahkan antara lainnya: "Para penumpang kereta yang melintasi negeri Perak melihat di kiri kanan jalan raya beratus-ratus keluarga penoreh getah yang telah dibuang kerja oleh estet-estet getah yang tidak lagi beroperasi. Mereka duduk atau bercanggung di tepi-tepi jalan, di kelilingi periuk belanga dan lain-lain yang mereka miliki.
Jauh dari jalan raya dan tidak kelihatan kepada yang lalu lintas ialah lain-lain yang menderita kerana kemiskinan akibat kemerosotan ekonomi. Mereka ialah keluarga para pekebun kecil pokok-pokok getah yang tidak ditoreh lagi. Kerana, tiada siapa mampu membeli getah mereka. Tidak siapa melaporkan nasib mereka. Tiada yang membuat laporan lengkap. "Demikian catatan Lee Siew Yee mengenai nasib penoreh getah India, Melayu dan Cina di waktu itu.
Ertinya pihak-pihak yang berkewajipan gagal melaksanakan tugas untuk memberitahu para pembaca, orang ramai seluruhnya dan juga pihak-pihak berkuasa. bagi akhbar apa yang berlaku ialah "urban bias" iaitu berita dan masalah di bandar-bandar diutamakan. Keciciran meliputi pelbagai hal di kampung-kampung dan daerah-daerah pedalaman.
Hal yang sama pernah berlaku di Amerika pada masa dahulu, umpamanya manakala akhbar-akhbar gagal melaporkan penghijrahan ratusan ribu kaum kulit hitam, iaitu dari bahagian selatan tempat mereka menjadi hamba abdi kulit putih. Mereka beramai-ramai pindah kebahagian utara Amerika. Ini berlaku setelah tamat perang saudara di antara Utara dan Selatan bersabit pengabdian warga kulit hitam.
Kegagalan akhbar-akhbar Amerika melaporkan hal tersebut didedah kemudian oleh para sejarawan. Bagi para wartawan umumnya ialah peringatan supaya sentiasa mengamati pelbagai hal yang menyentuh rakyat walau apa juga kedudukan dalam masyarakat. Lalu diulangi juga fungsi sosial media massa untuk memupuk kesedaran rakyat pelbagai kaum sebagai satu bangsa.
Oleh kerana berita buruk atau sensasi dianggap lebih melariskan jualan akhbar atau bilangan para penonton televisyen, maka timbul kepincangan dalam masyarakat pelbagai kaum. Dalam pada itu gembong-gembong politik berulang-ulang cuba mencetuskan rasa sedih, gundah dan prasangka buruk antara kaum. Ingatan juga ditujukan kepada yang dipanggil bloggers dengan agenda masing-masing.
Seperti diketahui ratusan juta dolar telah diperuntukan oleh kerajaan Amerika pada mulanya dan kerajaan-kerajaan lain di Eropah dan Asia, termasuk China, Jepun dan Malaysia untuk rangsangan ekonomi masing-masing. Yang seumpama tiada berlaku berikutan kemelesetan ekonomi 1929 dulu.
Wajar dicatat dalam konteks masa kini ialah bantuan yang diatur di Malaysia oleh Utusan Melayu dan Maybank, NSTP dan Media Prima untuk ribuan mangsa gempa bumi di Sumatera dan mangsa banjir besar di Filipina. Dalam keadaan kegawatan ekonomi di pelbagai negara bantuan tersebut amat diperlukan apatah lagi antara jiran-jiran yang sesetengahnya seketurunan dan agama serta kebudayaan yang sama. Walaupun sesekali gigi tergigit lidah, seperti kata bijak bistari.
- Tan Sri Mazlan Nordin ialah Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

ARKIB : 04/10/2009

Antara Bali, tarian Pendet dan wartawan

ANTARA yang menarik begitu ramai pelancong ke Bali ialah pelbagai tarian aslinya hingga ada pengunjung dari dunia Barat kemudian menulis buku mengenainya. Magis, kata mereka. Lalu tukang catat ini menulis kembali salah satu catatan berkenaan dalam bahasa Inggeris. Berikut terjemahannya dalam bahasa Melayu:
"Tangisan orang-orang, tangan yang terjulur ke atas, hilangnya peran-peran individu dan melodi nyanyian yang terputus-putus, memperkuat pengaruh magisnya.
Suara itu seperti esak tangis burung, ratapan orang yang kesepian, pekik orang yang mencapai orgasme, riuhnya orang berkelahi."
Diskripsi yang berbunga-bunga bunyinya itu diulangi setelah membaca laporan mengenai tarian Pendet mencetuskan sentimen dan insiden anti-Malaysia.
Seperti dinyatakan oleh Menteri Luar, Datuk Anifah Aman, Malaysia telah pun menerima penjelasan pihak Discovery Channel mengenainya dan penjelasan itu juga telah disampaikan kepada kerajaan Indonesia dan mereka menerima penjelasan tersebut.
Beliau menegaskan Malaysia tidak pernah mengakui tarian Pendet sebagai tarian Melayu dan ia adalah kesilapan pihak Discovery Channel. Menurut Anifah lagi, ia juga membuat penjelasan dalam pertemuannya dengan rakan sejawat dari Indonesia, Hassan Wirayuda pada minggu lalu.
Seperti diakui Bali adalah satu-satunya pulau di Indonesia yang memelihara budaya Hindu. To have preserved a predominantly Hindu culture intact, demikian disebut dalam bahasa Inggeris.
Dengan demikian tidak mungkin tarian Bali diakui sebagai tarian Melayu yang Islam. Renungan beralih ke Tampaksiring, di Bali ke sebuah istana yang reka bentuknya diatur oleh Presiden Sukarno. Ia terdiri di atas sebuah bukit dan jauh di bawah ialah sebuah kuil berumur ratusan tahun yang dikatakan dibina pada suatu malam oleh dewa Hindu.
Keindahan
Pemandangan di sekitarnya indah sekali dengan barisan demi barisan tanaman padi di lereng bukit serta pohon-pohon kelapa yang daun-daunnya melambai-lambai dipukul angin. Keseluruhannya seperti gambaran simfoni keindahan alam. Dan seperti kata seorang petani ala Hindu kepada tukang catat ini: "Pada malam hari adanya kami hampir boleh mencapai bintang-bintang di langit."
Di istana tersebut Sukarno dilaporkan kadang kala berulang-alik dari Jakarta untuk mendapat ilham bagi pidato-pidatonya kepada rakyat. Laporan bersambung pada tahun 1971 manakala berlangsung perhimpunan sebilangan ramai wartawan Asia, termasuk dari India, Sri Lanka, Jepun, Filipina, Singapura, Thailand dan Malaysia. Salah satu sesi membincangkan topik Indonesia, Dreams and Disappointments.
Ia bermula dengan tokoh wartawan Indonesia, Mochtar Lubis (allahyarham) menyeru supaya jangan dihebohkan lagi kisah-kisah "tante girang" dan "oom senang" atau "bapa senang" yang kaya (happy uncles, happy aunties, happy daddies) mengejar keseronokan hidup. "Memang ada yang melakukannya tetapi saya tidak percaya mereka itu mencerminkan generasi yang ada di Indonesia."
Ingatan lain beberapa waktu selanjutnya disampaikan oleh seorang wartawan lain dan juga pengajar dari Universitas Indonesia, bernama Masimar Magiang, manakala menulis dalam majalah Tempo: "Wartawan membicarakan banyak hal, menyangkut orang banyak. Kerana itu, banyak yang harus dilakukan, mulai dari penataran, pengaturan, bredel sampai aksi kekerasan.
Dunia tidak pernah bebas dari persoalan ini. Dalam masa yang panjang, kebebasan akhbar dan hak publik mendapatkan informasi jadi topik perdebatan.
disiarkan
Seperti dikatakan oleh sesetengah para pembaca pula ada kalanya sesuatu yang sengaja dirahsiakan dan tidak disiarkan oleh akhbar sama penting atau lebih penting daripada hal-hal yang disiarkan.
Apabila menulis mengenai tarian, antara yang mendapat perhatian di Malaysia ialah peranan Ramly Ibrahim yang meminati pelbagai tarian India, termasuk yang gerak-gerinya begitu menarik dan klasik. Tidak timbul soal mencuri tarian atau mencuri lagu. Menemani beliau dalam tarian- tariannya ialah warga India dan juga Cina.
Syukur bahawa hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia kian pulih, umpamanya manakala Kumpulan Utusan Melayu dan Maybank terus mengumpul Derma Nusantara bagi yang menjadi mangsa gempa bumi, ledakan gunung berapi atau banjir.
Sementara itu lebih 10,000 (termasuk 4,000 di Jakarta) wanita Indonesia telah mendaftar nama dengan agensi-agensi pekerjaan negara mereka untuk mendapat peluang bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.
Seperti dilaporkan dalam Mingguan Malaysia alasan mereka berkait dengan adat, budaya, bahasa, agama serta gaya hidup tidak jauh berbeza dengan di Indonesia. Mereka akan menyertai lebih 1.8 juta warga Indonesia yang berada di Malaysia.
Dari aspek sejarah ialah pelajaran daripada hal-hal yang berlaku di masa lampau, antaranya sejarah pemerintahan Nazi Jerman yang merasa dirinya begitu perkasa hingga berangan-angan berkuasa selama 1,000 tahun. Tapi, pemerintahan mereka hanya hidup selama 12 tahun saja.

ARKIB : 27/09/2009

Menangani salah faham terhadap Islam

MASYARAKAT Islam di Amerika Syarikat mesti melaksanakan dua tindakan demi kepentingan masa depan mereka. Demikian dianjurkan oleh Paul Findley yang menjadi ahli Kongres AS selama 22 tahun.
Kedua-dua cadangan itu disebut dalam bukunya Silent No More: Confronting America’s False Images of Islam. Bagi beliau ialah harapan bahawa karyanya boleh membantu menghapuskan salah faham terhadap Islam dan ummahnya.
Pada muka depan buku tersebut disiarkan wajah sebilangan warga Amerika daripada pelbagai lapisan masyarakat, tidak semuanya beragama Islam yang mencabar pelbagai tanggapan salah dan tohmahan terhadap Islam. Menyertai mereka ialah tokoh-tokoh Islam, termasuk Muhammad Ali dan Ahmed Zuwail, ahli sains yang memenangi Hadiah Nobel pada tahun 2000 dalam bidang ilmu kimia.
Untuk menulis bukunya itu Findley menemui ramai pihak hingga “mata saya terdedah kepada suatu kebudayaan yang berlandaskan sikap hormat menghormati, maruah dan nilai-nilai kemanusiaan serta toleransi dan dorongan mencari pelbagai ilmu pengetahuan. Kesemuanya nilai-nilai itu berada dalam Islam.”
Beliau mendapati bahawa bilangan warga Islam di Amerika kini “lebih ramai daripada pengikut-pengikut agama Yahudi.” Dalam pada itu mereka yang Islam menghadapi pelbagai masalah dalam masyarakat Amerika yang majoriti rakyat beragama Kristian. Bilangan mereka kira-kira 6 juta pada tahun 2000. Lebih sejuta bermastautin di California.
Menurut laporan pada tahun 1993, 800 buah masjid wujud di Amerika dan bilangannya kemudian meningkat hingga 2,000. Findley menjelaskan bahawa orang-orang Islam yang pertama sekali tiba di Amerika ialah yang dirantai iaitu kulit hitam yang dijual menjadi hamba abdi mulai tahun 1530 di Afrika Barat. Mereka dijual kepada pedagang-pedagang kulit putih dan selanjutnya dibawa ke Brazil, kepulauan Carribean dan Amerika.
Peninju Muhammad Ali memeluk agama Islam pada tahun 1964. Ini diumumkan olehnya dalam satu sidang akhbar. Para wartawan kulit putih lalu mengajukan pertanyaan demi pertanyaan. Beliau segera menjawab, “Tidak semestinya saya menjadi manusia yang kau kehendaki.” Lalu beliau menggugurkan nama aslinya Cassius Clay. “Itu nama hamba abdi,” beliau memberitahu hadirin.
Menurut Findley lagi sebilangan warga African-American yang Kristian kembali memeluk agama Islam. Mereka ialah keturunan hamba abdi dari Afrika Barat dan masing-masing diberi nama lain oleh kulit putih yang memiliki mereka.
Selanjutnya dicatat antara tanggapan buruk mengenai Islam seperti disebarkan oleh Yossef Bodensky, bekas editor teknikal majalah Angkatan Udara Israel. Beliau antara lain menulis: “Keganasan Islam atas nama jihad sedang dilancarkan terhadap Amerika.”
Satu contoh ialah peristiwa pengeboman di bandar Oklahoma City pada 20 April 1995. Lantas pada mulanya warga Islam dituduh melakukannya. Hanya kemudian dipastikan bahawa yang melakukannya ialah seorang warga kulit putih bernama Timothy Mc Veigh.
Sebelum pendedahan itu sebuah masjid di bandar itu menjadi sasaran tembakan bertalu-talu. Di samping itu suatu keluarga Islam yang berasal dari Iraq dimaki hamun, dan rumah mereka dilempar batu.
Sebaliknya ialah peranan ikhlas Profesor John L. Esposito, pengarah Pusat Persefahaman Kristian – Islam di Universiti Georgetown, Washington. Beliau menganjurkan seminar pada peringkat antarabangsa. Antara buku tulisannya Islam, The Straight Path dan The Islamic Threat: Myth or Reality?
Findley juga mencatat pengalaman Malcolm X, seorang pejuang kulit hitam yang memeluk agama Islam dan menunaikan fardu haji. Dalam penerbangan pesawat menuju ke Mekah beliau menulis dalam buku catatannya: “Pesawat ini penuh dengan penumpang pelbagai warna kulit- putih, hitam, coklat, kuning yang biji mata mereka biru, coklat, hitam serta berambut putih, hitam, kemerahan. Kesemua bersaudara. Kesemuanya menyembah Tuhan yang esa.”
Setelah menunaikan haji, Malcolm X menulis: “Amerika perlu memahami agama Islam kerana ia satu-satunya agama yang mengenepikan masalah suku kaum. Saya tidak pernah melihat sebelum ini amalan persaudaraan oleh manusia pelbagai warna kulit.”
Antara yang berperanan di Amerika ialah Majlis Perhubungan Islam Amerika. (Council on American Islamic Relations - CAIR). Ia menjawab pelbagai kenyataan tidak sensitif mengenai Islam hingga berjaya menerima kenyataan maaf, antaranya dari Jay Leno, tokoh lawak televisyen Amerika. Juga dari lain-lain pihak termasuk ahli Kongres Amerika.
Dalam bidang politik pula pada tahun 2000 lebih 700 orang Islam bertanding bagi parti-parti Republikan dan Demokrat untuk dewan-dewan undangan negeri dan Kongres. Seramai 152 calon Islam menang kemudiannya.
Dari pengalaman menemui pelbagai pihak Findley akhirnya mengajukan dua cadangan kepada masyarakat Islam. Pertama, orang-orang Islam hendaklah secara terbuka memperkenalkan identiti mereka sebagai warga Islam dan berikhtiar menyampaikan kebenaran Islam kepada bukan Islam.
Kedua, orang Islam mestilah mempertahankan agama mereka secara tegas terhadap apa juga anggapan yang tidak benar atau mengelirukan. Setiap orang Islam berkewajipan mempertahankan agamanya dari apa juga salah faham yang berbangkit walau di mana juga ia berlaku atau puncanya, termasuk di negara-negara lain seperti Filipina, Indonesia dan Afghanistan.

ARKIB : 20/09/2009

Antara demokrasi lama dan kebebasan mutlak

DITERIMA bagi kali pertama oleh tukang catit ini ialah majalah Jurnal, terbitan Persatuan Wartawan Melayu Kelantan yang mengandungi pelbagai makalah politik oleh, antara lainnya, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah.
Lalu dijelaskan oleh Dr. Alias Mohamed, pengarang majalah tersebut bahawa rencana kedua tokoh UMNO itu ''bukan untuk memangkin nostalgia,'' tetapi untuk mendorong para pembaca mendalami isu-isu penting di sekitar politik dan ekonomi Melayu.
Artikel 'Rasuah Politik' oleh Tun Dr. Mahathir, yang telah pun disiarkan sebelum ini, menyentuh perihal ''orang Melayu berada dalam keadaan tidak tentu arah, terancam, terpaksa menubuh badan-badan lain untuk mempertahankan hak mereka, berpecah dan bercampera serta umumnya hilang haluan. Mereka ditohmah dan dipermainkan seolah-olah mereka menumpang di negeri orang.''
Daripada Tengku Razaleigh diperturunkan semula ucapannya yang disampaikan kepada Banker's Club di Kuala Lumpur berjudul From The General Election to The Transition Plan. Kenyataannya menyebut mengenai pilihan raya 8 Mac 2008 mengubah hala tuju orang Melayu dalam dunia politik.
Beliau menegaskan bahawa senario sebelum 8 Mac tidak boleh dipulihkan lagi, lalu menambah: ''Kita boleh berdiri di pinggir keadaan tidak stabil yang berlarutan dan kereputan. Atau kita boleh berada di pinggir kesempatan untuk menegakkan semula diri kita sebagai negeri yang demokratik, bersatu dan berkeyakinan sekali lagi untuk mewujudkan untung nasib kita sendiri di kalangan pelbagai bangsa.''
Kandungan Jurnal yang mencabar ialah rencana berjudul Kaji Semula Sistem Demokrasi Berparlimen. Maka bagi Dr. Alias: ''Isu sekarang ialah kenapa mengekalkan sistem demokrasi corak lama kalau dengan cara itu masyarakat akan porak-peranda, perebutan kuasa antara Melayu dan bukan Melayu akan berpanjangan, ekonomi dan pendidikan Melayu terus dipersoalkan dan perlembagaan menjadi sasaran.''
Bersabit sindrom ''Belanda Minta Tanah'' disebut betapa sebelum merdeka, penjajah menguasai 60 peratus ekonomi negara dan 40 peratus dikuasai oleh bukan Melayu. Hanya satu peratus atau kurang dikuasai oleh Melayu.''
Pemerhati politik, Rahim Zain dalam makalahnya bertajuk ''Ketuanan Melayu menyentuh peranan NGO Melayu: ''Orang Melayu perlu waspada dengan kebanyakan NGO yang dikendali sebagai NGO Melayu yang diperalatkan atau mahu diperalatkan bagi tujuan yang sesat.
Kemajuan
''Dalam loghat Kelantan orang NGO tidak boleh diambil kira dan tidak layak diajak berkira dalam perkara penting. Banyak NGO Melayu yang tidak menghasilkan kerja positif dari segi menghasilkan kemajuan dalam masyarakat secara konsisten .... hanya ketua mereka saja yang mahu dikenali tetapi kesan kerja sukar dikaitkan dengan penghasilan yang bersistem dan yang menyahut cabaran realiti baru dan tidak sebagai pembawa perjuangan lapuk.''
Oleh Rahim diingatkan bahawa perkembangan di bidang perhubungan kaum pada hari ini sangat mencabar kerana asa toleransi dan hormat menghormati antara kaum sudah berubah.
Bekas wartawan Utusan Melayu, Wan Ahmad Wan Hassan pula memberi perhatian kepada penulis blog yang tidak tertakluk kepada peraturan dan undang-undang. Antara lain dicatit: ''Masih ramai yang tidak dilatih sebagai penulis yang professional di mana-mana media cetak atau elektronik.
Mereka tidak mempunyai latar belakang latihan kewartawanan yang tinggi ..... masih ramai golongan yang tidak yakin sesuatu yang dilaporkan dalam blog. Hanya 35 peratus yang percaya dan mengikuti tulisan dalam blog dan selebihnya pendokong media cetak. Terdapat penulis blog yang mendapat pendidikan sebagai jurutera tetapi muncul sebagai penulis hiburan dalam halaman blog.''
Berkaitan dengan pelbagai ingatan yang telah diajukan itu ialah amaran daripada Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengenai ancaman siber di Malaysia semakin berbahaya seperti dilaporkan: ''beliau memberi contoh bagaimana kementeriannya mengesan antara 500 dan 540 rejaman atau tohmahan palsu setiap bulan menerusi blog, e-mail, Facebook dan Twitter terhadap institusi raja, nilai-nilai Islam pencapaian orang Melayu serta dasar-dasar kerajaan termasuk gagasan 1Malaysia.''
Menurut Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu ancaman siber ''kian menular kepelbagaian institusi dan mahu mengambil alih kuasa demokratik rakyat menerusi tindakan fizikal. Ancaman dari luar dan dalam itu dikenalpasti bersekutu menerusi penulisan blog dan ilustrasi dengan menggunakan idea-idea progresif yang dicedok dari Barat dan kerajaan sistem republik yang tidak mengamalkan tahap-tahap keistimewaan rakyat asal.'' Dalam ingatan ialah peringatan dari Profesor Isaiah Berlin: ''Kebebasan sepenuhnya bagi serigala bererti maut bagi kambing.''
- Tan Sri Mazlan Nordin ialah Tokoh Wartawan Negara 2001.

ARKIB : 13/09/2009

Sejarah Melayu dan nasib tulisan jawi

PELBAGAI cerita dan laporan masa silam yang dicatat dalam tulisan jawi tidak begitu diketahui oleh orang Melayu dewasa ini. Hal ini terserlah, antara lainnya, dari buku mengajar tulisan jawi oleh M.B. Lewis, pensyarah bahasa Melayu Universiti London.
Bukunya berjudul: Tulisan Melayu: A Handbook of Malay Script dicetak pada tahun 1954. Antara kandungannya ialah petikan dari sejarah Melayu seperti berikut: “Kalakian maka datang sebuah kapal Feringgi dari Goa maka ia berniaga di Melaka. Maka dilihat oleh Feringgi itu negeri Melaka terlalu baiknya dan bandarnya pun terlalu ramai.
‘‘Maka segala orang Melaka pun berkampung melihat rupa Feringgi itu. Maka sekaliannya hairan melihat dia, maka kata orang Melaka, ia ini Benggali putih. Maka pada seorang orang Feringgi itu berpuluh-puluh orang Melaka mengerumuni dia, ada yang memutar janggutnya, ada yang menepuk kepala, ada yang mengambil chepiaunya, ada yang memegang tangannya.
‘‘Maka kapitan kapal itu pun naik mengadap Bendahara Seri Maharaja, maka Bendahara diangkat anak kapitan itu dipersalin, maka kapitan kapal pun persembah pada Bendahara Seri Maharaja rantai emas berpermata seutas ia sendirinya memasakkan kepada leher Bendahara Seri Maharaja.
‘‘Maka segala orang hendak gusar akan kapitan Feringgi itu tiada diperoleh Bendahara katanya jangan dituruti kerana ia orang yang (tiada tahu bahasa).
Demikian petikan dari sejarah Melayu. Jelas bahawa segalanya berlaku sebelum kemudiannya Portugis menyerang dan menakluki Melaka. Buku-buku sejarah mengisahkan pelbagai aspek penaklukan dan penjajahan Portugis tetapi tiada cerita mengenai orang-orang Melaka pada mulanya seperti hairan ajaib bila menemui mereka bagi kali pertama. Kedatangan mereka ialah dari Goa di India yang telah ditaklukinya.
Lewis juga memetik tajuk-tajuk berita akhbar-akhbar Utusan Melayu, Majlis, Warta Melayu, Warta Negara dan Melayu Raya serta pantun-pantun Melayu, antaranya berbunyi:
Jangan lurut padi muda
pecah batang kena tangan
jangan diturut hati muda
rosak binasa panjang-panjangan.
Belah durian berpangsa-pangsa
belah sepangsa isi merah
jangan tuan memilih bangsa
darah juga sama merah.
Di muka surat akhbar Warta Malaya 9 Januari 1933 dicatat: Yang diterbitkan hari-hari, Muafakat dan bantuan itulah tangga kemajuan berkekalan.
Mendapat tempat ialah kandungan surat kepada Sultan Ibrahim Shah, Negeri Selangor dari Residen Melaka, Walter Sewell Cracraft pada 26 April 1825 bersamaan 7 Ramadan 1240 mengenai Melaka menjadi pelabuhan bebas. Ayat pertama surat tulisan jawi itu berbunyi: “Bahawa ini surat tulus dan ikhlas serta kasih sayang yang tiada berkesudahan lagi selagi ada peredaran cakrawala matahari dan bulan...”
Lain-lain cerita tulisan jawi dipetik dari Hikayat Pelanduk Jenaka. Hikayat Sang Lomeri dan Hikayat Bayan Budiman. Menarik perhatian ialah sikap rendah diri dalam surat yang dikirim kepada Ratu Elizabeth, berbunyi: “Mengadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen. Harap diampun Tuanku. Adalah patik sekalian yang bertandatangan di bawah ini iaitu yang Dipertua dan ahli-ahli Majlis mesyuarat undangan bagi pihak penduduk di negeri-negeri Melayu memohon ampun ke bawah duli mempersembahkan dengan beberapa hormat takzim dan takrim kehormatan dan tahniah pada hari kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.”
Pada peringkat permulaan Lewis mencatat sumbangan Pendita Za’ba (Zainal Abidin bin Ahmad) menyusun daftar ejaan Melayu. Lalu dijelaskan: “Tentang ejaan jawi ini hanyalah pada umumnya sahaja dikatakan mengikut kebiasaan penulis-penulis yang lebih ramai. Yang sebenarnya kebiasaan itu ada banyak tentangannya yang berlain-lain pada lain-lain orang. Banyaklah perkataan yang belum tetap ejaan jawinya.
Lewis menyatakan harapan bahawa “para pelajar Asia dan juga Inggeris” akan mendapat faedah dari buku panduan tulisan Melayu yang disusun olehnya itu supaya boleh membaca pelbagai bacaan jawi. Tetapi seperti diketahui semasa ini hanya Kumpulan Utusan Melayu menyiarkan sisipan khas akhbar tulisan jawi, iaitu pada tiap hari Isnin.
Jelas bahawa pelbagai hal kemudiannya ditelan masa. Ramai anak sebilangan ramai ibu bapa yang dulu fasih membaca jawi tidak boleh membaca jawi.

ARKIB : 06/09/2009

Kenangan Ramadan ketika zaman Jepun

MASA lampau adalah negara asing. Demikian bagi mereka yang dulu mengalami kesengsaraan dalam masa perang di Asia Timur dan Perang Dunia Kedua. Antara lain ialah bila kini melihat kemewahan sajian berbuka puasa di sesetengah hotel dan restoran dengan bayarannya bagi tiap dewasa 30 hingga 80 ringgit.
Kenangan abadi sebilangan mangsa peperangan ialah berbuka puasa makan ubi kayu atau pisang rebus menggantikan nasi. Oleh itu tempat paling baik ialah berbuka di masjid kerana dapat menikmati apa yang dibawa oleh makmum lain.
Bagi penulis yang tinggal di sempadan Selangor, berbuka puasa ialah di Masjid Tanjong Malim, Perak. Ia bererti berjalan kaki beberapa kilometer pergi dan balik. Tiada makmum yang memiliki basikal, motosikal apatah lagi kereta. Tiada juga perkhidmatan bas dan teksi.
Persinggahan pertama ialah bekas jambatan yang merintangi Selangor dan Perak yang dibom oleh tentera British untuk melengahkan kemaraan tentera Jepun ke Kuala Lumpur. Air Sungai Bernam waktu itu begitu jernih. Ramai suri rumah dan anak-anak muda mudi mandi di situ dan membasuh pakaian.
Tidak jauh dari jambatan seorang askar Jepun berjaga di bawah pohon besar dan rendang, sesiapa yang melintas mesti membongkok memberi hormat kepadanya. Jika tidak, yang dianggap salah laku akan ditampar, disepak dan dihentak dengan buntut senapang.
Hanya 20 orang yang datang bersembahyang dan berbuka di Masjid Tanjong Malim yang berhadapan dengan balai polis. Tiap seorang yang membawa makanan sendiri kemudian menghulur makanannya kepada yang lain. Dengan itu kesemua menikmati pelbagai sajian walaupun tidak ada kari ayam atau daging rendang.
Yang biasa dibawa ialah ubi kayu atau pisang rebus bercampur sedikit nasi. Bagi penulis yang dianggap berada ialah ialah seorang kerani pejabat daerah yang menghisap rokok koa, paling popular ketika itu. Ada yang menjual rokok, kerana gaji mereka tidak memadai dan di waktu itu rokok begitu laris di pasar gelap.
Pada masa dulu tidak ada debat mengenai sembahyang tarawih 8 atau 20 rakaat. Bagi makmum ialah kesempatan menjalin dan memupuk persahabatan sambil bertukar berita antara satu sama lain. Kerana di rumah penulis waktu itu tidak elektrik, tiada radio dan surat khabar.
Bagi penulis ialah kesempatan merapatkan diri dengan Imam Bahak dan pemuda, bernama Manap, yang suara laungan azannya begitu menarik. Dalam iklim peperangan, penindasan dan kezaliman antara manusia ada unsur-unsur ketenangan.
Lailatulqadar
Bagi kesemua malam Lailatulqadar dinanti-nanti, malam penting sekali kerana turunnya al-Quran. Keteguhan iman dituntut oleh kesemua adanya.
Menjadi ingatan ialah sesuatu yang berlaku di Tunisia kemudiannya manakala Presiden Habib Borguiba mengeluarkan perintah bahawa mereka yang bekerja tidak perlu berpuasa kerana negeri masih mundur. Bekerja dengan itu dianggap sebagai jihad dan menjadi alasan untuk meninggalkan ibadat puasa.
Selaku pemimpin perjuangan kemerdekaan dari penjajahan Perancis, Borguiba waktu itu bercita-cita menjadi presiden seumur hidup, tetapi beliau akhirnya digulingkan.
Lain hal dilakukan oleh penulis Shiva Naipaul yang lahir di Trinidad. Setelah berkunjung ke Maghribi beliau menulis rencana bertajuk Victim of Ramadan (mangsa Ramadan) mengenai sikap rakyat tidak makan minum waktu siang hari. Menurutnya, mereka menjadi berang atau panas baran. Lalu beliau mengeluh kerana kegagalan pihak Kristian Sepanyol tidak meluaskan kekuasaan mereka ke Afrika Utara.
Shiva adalah adik kepada V.S Naipaul, penulis buku Among The Believers yang mencemuh umat Islam, termasuk di Malaysia. Seperti ternyata sebenarnya tiadapun terdengar kisah orang bukan Islam meninggalkan negara ke destinasi lain bila tiba bulan Ramadan. Bagi yang berpuasa bersabar salah satu syarat, bukan sekadar menahan diri daripada makan, minum saja.
Kepada Shiva dituju suatu kajian mendalam oleh seorang Paderi Dominican yang menjelaskan hakikat Ramadan kepada bukan Islam: “Pada bulan Ramadan berlaku ketegasan taat setia kepada Tuhan, kesyukuran kerana turunnya al-Quran, kerapatan diri kepada Tuhan, kesaksamaan pada persaudaraan sesama Islam, keinsafan pada nasib si miskin dan kesempatan untuk membersihkan diri sendiri.”
Sayang sekali bagi tukang catat kerana tiada kesempatan menunaikan sembahyang Hari Raya nanti di Masjid Tampines di Singapura, iaitu di jalan menuju ke Lapangan Terbang Changi setelah melakukannya beberapa waktu lalu. Makmum masjid melimpah puluhan saf ke padang rumput di luar. Ikut serta lebih seribu kaum wanita yang sembahyang di bawah khemah khas.
Pun ramai warga Islam menziarahi Pusara Aman, tanah perkuburan Islam di Singapura. Salah satu lorong diberi nama Ahmadiah Path, menuju ke satu kawasan bagi pengikut-pengikut Ahmadiah di India yang mendakwa dirinya nabi. Hanya kira-kira 20 kubur di situ dan mengelilingi kawasan itu ialah ribu-ribu kubur Islam.
Maka diulangi adanya: Bagi yang berdosa dan yang disebut reprobate dalam bahasa Inggeris seperti tukang catat ini ialah kesempatan untuk menebus dosa, membersihkan diri dan berdoa untuk mereka yang telah pergi dahulu.

ARKIB : 30/08/2009

Mampukah kemaafan melenyapkan kekejaman?

PADA 16 Mac, Leftenan William Calley mengetuai satu pasukan tentera Amerika masuk ke sebuah kampung di Vietnam bernama My Lai lalu membunuh kira-kira 500 orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Pada 19 Ogos, 2009 setelah lebih 41 tahun lamanya - Calley menyampaikan mohon maafnya dalam satu majlis Kiwanis Club: "Setiap hari berikutnya saya menyesali apa yang berlaku di May Lai. Saya berasa sedih bagi orang-orang Vietnam yang telah dibunuh itu, bagi keluarga mereka, bagi askar-askar Amerika yang terlibat dan keluarga mereka, I am very sorry".
Calley, kini 66 tahun berpangkat Leftenan ketika dibicarakan oleh mahkamah tentera pada tahun 1971 di markas Fort Benning kerana peristiwa itu. Seperti dilaporkan: "Askar-askar Amerika itu dalam keadaan kecewa ketika sampai di My Lai setelah diperintah mencari dan membunuh gerila-gerila Vietnam''. Tiada tembakan-tembakan daripada pihak musuh. Namun, askar-askar Amerika itu terus menembak orang-orang kampung dan membakar rumah-rumah mereka.
Peristiwa itu mengejutkan rakyat Amerika dan menjejaskan sokongan mereka kepada perang yang berlaku. Calley dihukum penjara seumur hidup, tetapi hanya menjalani tahanan di rumah selama tiga tahun, iaitu setelah Presiden Nixon meringankan hukuman.
Setelah dibebaskan Calley menetap di bandar Columbus dan bekerja di sebuah kedai emas kepunyaan bapa mertuanya sebelum berpindah ke bandar Atlanta.
menjawab
Calley berucap dengan suara perlahan dan menjawab beberapa pertanyaan dari kira-kira 50 ahli Kiwanis Club. Sebelum itu Calley enggan sama sekali diinterviu oleh akhbar.
Akhirnya seorang sahabat memujuknya supaya berucap memenuhi permintaan begitu lama dari ahli-ahli kelab." Demikian laporan agensi berita AP Amerika.
Sebelum ini, pada bulan April 2004, majalah Weekend Australian Magazine menyiarkan laporan mengenai peristiwa May Lai yang pada mulanya dirahsiakan. Ia kemudian dibongkar dan didedahkan oleh wartawan Amerika. Saymour Hersh dan laporan lanjut oleh majalah-majalah Life, Time, Newsweek iaitu setahun selepas kejadian. Berikutan itu barulah Calley dibicarakan atas desakan orang ramai.
Dalam pada itu Weekend Australian mendedahkan peristiwa yang diberi tajuk Silence Of The Tigers. Ceritanya mengenai pasukan Tiger Force bertindak di kawasan-kawasan pedalaman Vietnam pada tahun 1971: "Mereka membunuh, menyiksa dan mencacatkan anggota orang-orang awam. Bom-bom tangan dilemparkan ke dalam tempat-tempat persembunyian bawah tanah ketika ramai keluarga berlindung di situ. Sebagai kenangan, ahli-ahli Tiger Force memotong telinga-telinga mangsa-mangsa mereka."
Laporan dipetik dari sebuah akhbar Amerika, bernama Toledo Blade. Editornya menyatakan rasa kesal kerana tiada sorotan lanjut oleh akhbar-akhbar ternama. Lalu disebut mengenai 18 ahli pasukan Tiger Force disiasat dan terbukti telah melakukan beberapa jenayah, tetapi tiada tindakan diambil.
Juga dicatat ialah pengakuan seorang bekas Sarjan, bernama William Doyle "membunuh sebilangan ramai orang awam, saya tak terkira pun berapa ramai, kami sepasukan hidup dari sehari ke sehari. Kami tak menduga masing-masing panjang umur semasa berperang."
Melanjutkan perbicaraan ialah kisah yang ditulis oleh Maureen Dowd dalam New York Times yang mengenang kembali peristiwa My Lai, iaitu sesuatu yang berlaku dalam masa Perang Iraq. Beliau menyebut mengenai askar-askar Marin Amerika membunuh lebih 20 orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak dari dua keluarga.
membunuh
Seorang kanak-kanak bernama Eman Waleed berumur 9 tahun memberitahu betapa ia melihat askar-askar Marin membunuh ayahnya yang sedang membaca al-Quran dan kemudian menembak neneknya. Juga menjadi korban ialah ibunya. "Tersingkap semula kisah sedih My Lai," Dowd menulis.
Satu peristiwa baru ialah pengampunan bagi orang warga Libya, Abdul Baset al-Megrahi yang dihukum penjara seumur hidup kerana meletupkan sebuah pesawat Amerika dan 270 orang menjadi korban. Peristiwa berlaku di Scotland pada tahun 1998.
Al-Megrahi hanya menjalani hukuman penjara 8 tahun. Beliau diampuni kerana menghidap sakit kanser dan diduga hidup beberapa bulan lagi. Setelah diampuni beliau dibawa balik dengan pesawat Libya.
Ketika tiba di Libya beliau disambut oleh ratusan warga Libya dan sebilangan tokoh. Lalu kemudiannya Amerika membantah pengampunan bagi al-Megrahi.
Tetapi seperti dinyatakan oleh Setiausaha Kehakiman Scotland, Kenny MacAskill: "Ada luka-luka yang sama sekali tidak boleh sembuh. Ada luka-luka yang tidak boleh hilang. Mereka yang berdukacita kerana apa yang berlaku tidak akan lupa, apatah lagi mengampuni. Namun, al-Megrahi ini menghadapi hukuman dari kuasa atasan yang lebih besar.
Pelbagai pertanyaan timbul: Kenapa peristiwa My Lai dirahsiakan selama setahun? Kenapa Presiden Nixon mengampuni Calley? Apakah al- Megrahi lambat laun akan memohon maaf nanti?
Antara nasihat cerdik pandai pula: Kita tidak boleh lari dari apa yang kita lakukan.
- Tan Sri Mazlan Nordin ialah Tokoh Wartawan Negara 2001.

ARKIB : 23/08/2009

Pamuk dan Islam di Turki

WARTAWAN juga menulis sejarah, demikian dinyatakan oleh sesetengah daripada golongan tersebut. Inilah yang dilakukan oleh Orhan Pamuk, Wartawan Turki yang memenangi Hadiah Nobel jurusan Sastera pada tahun 2006.
Beliau antara novelis paling terkemuka di negaranya setelah menjual lebih tujuh juta buku dalam 50 bahasa asing. Antaranya: My Name is Red, The Black Book, The New Life, The White Castle, Istanbul: Memories of a City and Snow.
Lahir di Istanbul pada tahun 1952, Pamuk membesar dalam satu keluarga kaya tetapi kian merosot status mereka sebagai golongan borjuis dan ini diceritakan dalam beberapa buah novelnya, demikian menurut catatan dari Wikipedia, ensaiklopedia bebas.
Seterusnya disebut hal-hal berikut mengenai dirinya:
Beliau lulus dari Institut Kewartawanan Universiti Istanbul dan kemudian menulis novel pertama. “Beliau beragama Islam dan menyifatkan dirinya sebagai budayawan yang mengaitkan identiti sejarah dengan budaya bersabit agama itu.”
Beliau berkahwin dengan Aylin Turegun, seorang sejarawan yang menuntut di Universiti Columbia, New York dan Pamuk sendiri menulis novelnya. Mereka kembali ke Istanbul yang berupa kota paling disayanginya.
Pada tahun 2006, Pamuk menghadapi beberapa tuduhan jenayah setelah menulis secara terus-terang mengenai peristiwa pembunuhan kira-kira sejuta orang kaum Armenia. Beliau kembali ke Universiti Columbia menjadi profesor pelawat. Pamuk juga menyokong perjuangan hak-hak politik kaum Kurdish.
Beliau memenangi beberapa hadiah dari beberapa buah novelnya, termasuk My Name Is Red yang diterjemah dalam 24 bahasa asing. Akhbar New York Times menyiarkan berita: “Bintang baru telah lahir di Timur.”
Buku-bukunya mengisahkan kehilangan identiti kerana pergeseran di antara nilai-nilai hidup Barat dan Timur. Jelas bahawa karyanya kerap menyentuh pertikaian-pertikaian antara Timur dan Barat dan antara tradisi dengan kemodenan serta sekularisme.
Pada tahun 2005 Pamuk membuat kenyataan mengenai pembunuhan kaum Armenia dan Kurdis semasa pemerintahan Empayar Osmaniah. Tuntutan saman jenayah segera diajukan terhadapnya oleh peguam. Rapat-rapat umum membakar buku-bukunya diadakan di sana-sini.
Namun, pada tahun 2006 Pamuk menerima Hadiah Nobel jurusan sastera, warga Turki yang pertama menerimanya. Juga pada tahun 2006 majalah Time, Amerika menyenaraikan Pamuk sebagai seorang dari 100 orang yang menjadi teladan seluruh dunia.
Antara yang mengajukan pelbagai hujah pro dan kontra Islamisme dan sekularisme ialah karya Pamuk berjudul Snow. Naskah asal dalam bahasa Turki terbit pada tahun 2002 dan terjemahan dalam bahasa Inggeris pada tahun 2004.
Kisah bermula apabila seorang wartawan bernama Ka ditugaskan melapor pelbagai kekecohan yang berlaku di bandar Kars berhampiran sempadan Armenia, dan salji terus-menerus menghujani segalanya.
Berlaku di waktu itu ialah peristiwa-peristiwa bunuh diri di kalangan sebilangan gadis dan pihak Islam diduga memenangi pilihan raya majlis perbandaran. Dianggap menjadi simbol politik Islam ialah pemakaian tudung oleh para wanita.
Dalam pada itu pejabat pelajaran negeri melarang gadis-gadis yang bertudung meneruskan persekolahan di darjah masing-masing. Berikutan itu pengarah jabatan tersebut ditembak. Dicatat selanjutnya ialah pelbagai hujah dan pendapat antaranya:
Intelektual yang sekular begitu mudah menuduh seseorang wanita bertudung mempunyai motif politik. Bahawasanya juga istilah “politik Islamis” adalah kata-kata yang digunakan oleh pihak Barat dan yang sekular terhadap orang-orang Islam yang sedia berjuang untuk agama mereka.
Seorang yang dipanggil sheikh mengingatkan: “Jangan lupa bahawa orang-orang angkuh yang terlalu membesarkan diri sendiri biasanya keseorangan diri akhirnya. Ingat bahawa keangkuhan yang menyebabkan syaitan direjam.”
Ada manusia yang berpangkat besar tidak percaya kepada Tuhan. “Mereka percaya apa yang dipercayai oleh orang Eropah dan dengan itu menganggap diri mereka lebih besar dari rakyat biasa.
Gembira
Rasa gembira dan puisi hanya seketika saja seiringan. Kerana, kemudiannya rasa gembira menyebabkan puisi menjadi sesuatu yang kasar dan puisi pula menghilangkan rasa gembira seseorang itu.
Dari satu pihak lain suatu tuduhan: Ini adalah tindakan gerakan Islam antarabangsa untuk menjadikan Turki seperti negara Iran.
Ada dua jenis komunis: Pertama ialah mereka yang angkuh dan mahu mengubah rakyat jelata menjadi manusia handal serta membawa kemajuan kepada negara. Satu lagi ialah mereka yang berjiwa murni yang mahu terlibat kerana ingin persamaan darjat dan keadilan.
Golongan yang angkuh mahu merebut kuasa dan mengatur segalanya bagi sesiapa saja, manakala yang murni merosakkan kepentingan diri mereka sendiri saja. Demikian antara makluman yang diterima ialah Ka dari pelbagai pihak.
Dalam melaporkan perkara-perkara yang berlaku di Turki pihak media Barat kerap menyiarkan berita dan gambar rapat umum golongan sekular. Sebaliknya mereka tidakpun menyebut mengenai ramainya makmum sembahyang di masjid pada hari Jumaat hingga meliputi perkarangan luar masjid.
Ini antara yang disaksikan sendiri oleh tukang catat ini ketika melalui tanah besar Anatolia dan singgah di Konya. Demikian juga seperti disebut oleh Allahyarham Tan Sri Hashim, Hakim Mahkamah Tinggi ketika berkunjung ke Turki dan sembahyang Jumaat di masjid.
Juga tidak pernah disebut oleh media Barat ialah ramainya jemaah haji dari Turki setiap musim haji. Tiap kali ramai, pegawai di Arab Saudi di Mekah memberitahu tukang catat ini.
Di samping itu ialah bantuan yang diberi oleh jabatan agama Turki kepada sebuah masjid di negeri Jepun. Hal ini dilaporkan dalam sebuah akhbar bahasa Inggeris terbitan pihak Jepun.
Wajar dicatat ialah sumbangan Mustafa Kamal Attaturk (1881-1938) pegawai tentera dan kemudian melahirkan Republik Turki. Beliau dan bala tenteranya berjaya menewaskan tentera Greek yang mahu menakluki Anatolia (1919-22). Attaturk memulihkan kedaulatan Turki dan menjadi Presiden pertama Turki kemudiannya (1923-38).
Molek dicatat ialah dua tajuk bab cerita oleh Orhan Pamuk dalam novelnya Snow:
Apakah mereka sembah Tuhan lain di Eropah? Saya tak mahu membicarakan iman diri saya dengan seorang yang tidak percayakan Tuhan.

ARKIB : 16/08/2009

50 tahun Turki mengetuk pintu masuk Eropah

ADA ulang tahun peristiwa penting tidak dirayakan sedangkan ia abadi dalam ingatan. Demikian halnya dengan Turki yang memohon 50 tahun lalu untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU), tetapi masih terus mengetuk pintu hingga kini.
Seperti dilaporkan oleh agensi berita asing Turkey Marks 50 Years of Knocking on Europe's Door pada 31 Julai lalu. Antara masalah ialah tentang dari negara Perancis dan Jerman walaupun Amerika Syarikat berkali-kali menyuarakan sokongan kepada Turki.
Segera timbul ialah pertanyaan sama ada tentangan kepada permohonan itu kerana hampir semua rakyat Turki sejumlah lebih 70 juta beragama Islam. Dan adakah juga tentangan tersebut berkaitan dengan pelbagai peristiwa yang berlaku semasa pemerintahan Empayar Osmaniah di masa lampau terhadap kaum Armenia dan Kurdish.
Walhal empayar tersebut telah dibubarkan dan Turki diisytiharkan sebagai republik pada tahun 1923. Seperti berlaku adanya Empayar Osmaniah yang Islam menguasai beberapa negara Eropah pada bahagian tenggara. Pun tidak diampuni?
Wal halnya juga sewaktu perang dingin antara kuasa-kuasa Barat dan komunis dahulu. Turki menjadi benteng pertahanan yang melindungi negara-negara Eropah Barat. Apakah sumbangan dan pengorbanan begitu penting tidak lagi dihargai dan dilupai?
Catatan silam diulangi: Pada 31 Julai 1959 Perdana Menteri Turki ketika itu, Adnan Menderes mengumumkan permohonan Turki untuk menyertai European Community (kemudian bertukar nama menjadi European Union).
Hal tersebut dijelaskan oleh seorang wartawan kanan Turki, bernama Mehmet Ali Birand baru-baru ini. "Permohonan itu diajukan oleh Perdana Menteri Turki yang dipilih secara demokratik bagi kali pertama, tetapi kemudian dihukum gantung dalam rampasan kuasa pihak tentera pada tahun 1960."
Pihak berkuasa European Community kemudian menolak permohonan Turki, tetapi pada tahun 1963, kedua pihak menyetujui satu perjanjian bersekutu yang membolehkan Turki memohon kemudiannya.
Hanya pada tahun 1999, Turki memperolehi status rasmi menjadi calon - ahli European Union. Rundingan demi rundingan berlaku hingga 2005.
Mehmet Birand menambah: "Menyertai dunia Eropah telah menjadi impian sejak zaman Empayar Osmaniah." Empayar tersebut lahir pada abad ke-13.
sempadan
Pada Abad ke-16, empayar tersebut merebak dari sempadan Poland hingga ke Teluk Parsi dan dari Algeria hingga ke Barat Caspian, termasuk kawasan Israel ketika ini, Iraq, Lebanon, Syria dan Yemen. Turut serta negeri-negeri wilayah Balkan. Empayar tersebut bubar selepas Perang Dunia Pertama.
Agensi berita Barat baru-baru ini mencatatkan kenyataan seorang pegawai kanan Presiden Turki, Abdullah Gul: "Kesatuan Eropah menjanjikan hak-hak asasi lebih merata dan kebebasan- kebebasan lebih meluas. Dan apa jua tuntutan dari Turki akan memberi faedah kepada rakyat." Namun, pegawai kanan tersebut tidak mahu namanya disebut.
Terbit beberapa waktu lalu ialah buku berjudul Civil Society in The Muslim World, termasuk keadaan di Turki. Lalu disebut betapa ia dipanggil Papa State (Baba Davlet) oleh pihak-pihak lain kerana bertindak seperti bapa.
Seterusnya disebut betapa politik Turki sejak tamat Perang Dunia Kedua begitu pantas proses demokrasinya. Kawasan-kawasan perkampungan dan luar bandar menjadi bandar-bandar yang maju.
Dalam pada itu, timbul isu-isu agama, termasuk tuntutan sebilangan pihak supaya wanita Turki dibenarkan memakai tudung. Ia menjadi isu hangat sejak 1980-an dalam kancah politik Turki, tetapi tidak ada penyelesaian.
Pemerintahan satu parti politik (Parti Republikan) yang lahir sebelum perisytiharan Republik Turki pada tahun 1923 berakhir pada ahun 1945. Beberapa parti politik baru muncul kemudiannya.
Di kalangan dunia Barat pula, nama penulis Turki paling terkenal ialah Orhan Pamuk yang, antara lain, menulis mengenai Istanbul (dulunya bernama Constantinople semasa pemerintahan puak Kristian sebelum empayar Osmaniah). Bukunya diberi nama Memories of a City.
Para pelancong dari negara-negara pada masa lampau menghiasi Istanbul dengan pelbagai fantasi dunia Timur, iaitu yang dianggap menakjubkan dan bukan kebaratan sifatnya.
Dalam pada itu, Kamal Attaturk yang mengisytiharkan Turki menjadi republik disifatkan sebagai seorang yang paling Westernised kerana tindakan-tindakannya supaya Turki menjadi negara sekular.
dikuasai
Turut menimbulkan masalah ialah pendaratan tentera Turki di pulau Cyprus pada tahun 1974. Sejak itu, bahagian utara dikuasai oleh Turki dan bahagian selatan oleh Greece. Kerana itu Greece juga menentang kemasukan Turki dalam Kesatuan Eropah.
Antara yang melabur di negeri Turki kini ialah Microsoft. Dalam satu iklannya dicatat mengenai Turki mempunyai penduduk sejumlah 70 juta dan 65 peratus dari mereka berumur kurang dari 34 tahun.
Di samping itu, kira-kira 400,000 pelajar universiti menerima ijazah setiap tahun.
Pertanyaan: Apakah dengan demikian Turki perlu mengetuk pintu tahun demi tahun lagi seperti dilaporkan oleh media Barat?
- Tan Sri Mazlan Nordin ialah Tokoh Wartawan Negara 2001.

ARKIB : 09/08/2009

Catatan mengenai sejarah Melayu

DUNIA Melayu begitu kompleks. Sempadan-sempadannya tidak dapat ditakrif dengan jelas sekali. Demikian dicatat antara lainnya dalam sebuah terbitan mengenai sejarah orang Melayu Singapura selama kira-kira 150 tahun.
Lalu disebut mengenai orang-orang Minangkabau, Mandaleng, Kerinci, Aceh, Palembang, Jambi di Sumatera dari Riau. Sulawesi, Bawean dan Banjar dari Kalimantan.
Juga dicatat perihal Orang Laut yang dikatakan melaksanakan peranan penting dalam kenaikan dan kejatuhan negeri-negeri Gugusan Kepulauan Melayu (Malay Archipelago). Dari kalangan mereka muncul kemudiannya. Orang Suku Gelam, Orang Kallang dan Orang Seletar di Singapura.
Terbitan berkenaan berjudul Malays/Muslims in Singapore 1918-1965 (Pelanduk Publications) hasil dorongan dari Association of Muslim Professionals (AMP) Singapura.
Ia mengandungi makalah-makalah oleh pelbagai penulis, termasuk dari Universiti Singapura dan Universiti Tekonologi Nanyang. Mengisi kata-kata pendahuluan ialah Profesor Wang Gungwu dan Profesor Khoo Kay Kim.
Antara tajuk pelbagai makalah pula: Kenapa Tengku Hussein menandatangani Perjanjian 1819 dengan Stamford Raffles? Soldadu Melayu di Singapura 1910-1942. Kegiatan-kegiatan politik Melayu Singapura 1945-1959 dan dari kerajaan sendiri hingga kemerdekaan: UMNO dan Politik Melayu di Singapura 1959-1965.
Profesor Khoo Kay Kim memberi penjelasan mengenai nama "British Malaya" (Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura) yang diguna pada masa lampau.
Juga dijelaskan mengenai takrif "Melayu" yang digunakan oleh pihak Inggeris manakala meluluskan Malay Land Reservation Act pada tahun 1913. Paling penting ialah Melayu bererti beragama Islam. Dua lagi syarat ialah berbahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu.
Keturunan India Islam yang berkahwin dengan wanita Melayu dipanggil Jawi peranakan atau ringkasnya Jawi Pekan. Istilah "Jawi" digunakan oleh orang-orang Arab pada masa dulu mengenai orang Melayu. Antara lain-lain catatan:
l Presiden Pertama Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan di Ipoh pada tahun 1945 ialah Mokhtharuddin Lasso, seorang komunis dari Sumatera.
l Singapura menjadi pusat kegiatan- kegiatan sastera dan kewartawanan Melayu. Ia juga menjadi pusat industri filem Melayu.
Menarik perhatian ialah makalah oleh Elina Abdullah mengenai penghijrahan bebas pelbagai golongan etnik Gugusan Kepulauan Melayu selama beberapa abad. Lalu disebut betapa perkataan "Malay" digunakan oleh orang-orang Eropah mulai abad ke-16.
Dari segi politik Orang Laut memainkan peranan penting kerana kehandalan mereka mengharungi lautan dan ketangkasan sebagai pejuang. Ertinya jika seseorang raja memperoleh sokongan taat setia Orang Laut, maka mereka akan mempertahankan kawasan-kawasan dagangan raja berkenaan. Ini berlaku sejak empayar Srivijaya.
Dicatit selanjutnya ialah penghijrahan Melayu dari Riau. Dari Semenanjung Tanah Melayu termasuk kedatangan orang-orang Melayu Melaka walaupun cuba dihalang oleh pihak Belanda. Juga kedatangan orang-orang Bugis selepas tahun 1819 dan orang Jawa.
Peniaga
Sementara itu ialah kedatangan peniaga- peniaga dari Kelantan, Pahang, Terengganu, Brunei, Sulewasi dan Riau. Di samping itu ialah peniaga-peniaga Arab dan India.
Mengenai orang-orang Bugis diceritakan betapa antara yang dibawa oleh mereka mulai abad ke-16 ialah hamba abdi. "Pada abad ke-17 dan berikutnya, orang-orang Bugis menjual orang-orang yang mereka tawan dalam serbuan demi serbuan di Pulau Sunda, Mindanao, Sulu dan Broneo untuk bekerja di ladang-ladang di Malaya, Sumatera dan Jawa.
Penjualan hamba abdi itu begitu menguntungkan hingga orang Bugis sendiri ditawan dan dijual sebagai hamba abdi. Lelaki, wanita dan kanak-kanak tiba di Singapura dengan kapal. Demikian kisah orang-orang Bugis menjual hamba abdi. Peniaga-peniaga Arab pula melaksanakan peranan penting sejak abad ke-14. Majoriti ialah dari Handhramout. Peniaga Arab di Singapura menguasai urusan menunaikan haji.
Turut mendapat perhatian ialah kemunculan bangsawan yang melahirkan pelakon-pelakon lelaki dan wanita di Singapura dan di Tanah Melayu kemudiannya di Indonesia. Lantas bagi kali pertama alat-alat muzik Barat seperti piano, biola, dan gendang menjadi alat-alat hiburan.
Antara tuan-tuan punya bangsawan ialah Arab Peranakan, China, Filipina, Ceylon dan Serani. turut mengambil sebahagian dalam pementasan bangsawan ialah ahli-ahli muzik Filipina.
Selanjutnya dicatit ialah pengalaman Dato' Onn, pelopor nasionalisme Melayu "yang berlindung di Singapura pada tahun 1927 setelah dibuang negeri dari Johor oleh Sultan Johor kerana pelbagai kritikannya. Beliau meneruskan kritik mengenai pelbagai aspek raja-raja Melayu dan golongan aristokrat dalam akhbar Warta Malaya.
Akhbar tersebut dibiayai ialah Syed Hussein Alsagoff dan keluarganya di Singapura. Mereka kemudian membiayai akhbar Lembaga Melayu pada tahun 1934.
Demikian antara catatan sejarah Malays/Muslims in Singapore 1819-1965. Kisah bersambung adanya.
Tan Sri Mazlan Nordin ialah Tokoh Wartawan Negara 2001.

ARKIB : 02/08/2009

Mengimbas tragedi kehidupan Maria

TRAGEDI demi tragedi berlaku akibat peperangan dan ada kalanya air mata berlarutan menitis. Demikian nasib Maria Hertogh, gadis Belanda yang kemudian anak angkat Aminah, seorang wanita Melayu dan diberi nama Natrah.
Kisah bermula setelah tentera Jepun mengalahkan tentera Belanda di Indonesia, dulunya dipanggil Netherlands East Indies dalam Perang Dunia Kedua, termasuk di bahagian timur Asia.
Ayahnya Maria, Sarjan Adrianus Petus Hertogh menjadi tawanan perang tentera Jepun dan ini membawa kesengsaraan kepada isterinya Adeline Hunter, seorang wanita Serani yang lahir di Pulau Jawa.
Adeline anak seorang warga Scotland, bernama Hunter, yang telah bermastautin di Jawa dan berkahwin dengan seorang gadis Serani bernama Nor Louise, ketika itu pelakon bangsawan Bolero Opera Party.
Nor Louise meninggalkan suaminya ketika Adeline berumur lima tahun dan berkahwin dengan seorang lelaki Indonesia beragama Islam, Radin Ismail, juga pelakon bangsawan.
Adeline kemudian menjadi anak angkat sebuah keluarga Indonesia dan dipelihara sebagai orang Islam hingga berumur 15 tahun. Hal ini dicatat dalam sebuah buku berjudul Tangled Worlds: The Story of Maria Hertogh oleh Tom Eames Hughes, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Singapura pada tahun 1950.
Ertinya, menurut Hughes lagi, Adeline dan anaknya Maria mengalami pengalaman sama pada peringkat awal hidup mereka. Keduanya menjadi anak angkat orang Islam. Adeline kemudian sukarela masuk agama Kristian manakala anaknya Maria dipaksa berbuat demikian.
Dalam perbicaraan di Singapura kemudiannya Aminah memberitahu bahawa Maria telah diserahkan menjadi anak angkatnya oleh Adeline pada tahun 1942. Pada waktu itu umur Maria belum sampai 6 tahun. Antara lain Hughes menulis:
“Maria sendiri tidak berapa ingat bila ia menjadi peliharaan Aminah. Menjelang tahun 1950 ia hampir melupai ibu bapanya. Saya tidak kenal mereka, ia memberitahu Jabatan Kebajikan Masyarakat. Aminah adalah ibu saya... ia tidak ada anak-anak lain. Saya seorang saja anaknya, Maria menambah.”
Pada tahun 1947 Aminah meninggalkan Indonesia dan membawa Maria ke Terengganu melalui Singapura, lalu menetap di Kemaman. Hughes menulis: “Di Kemaman, Maria belajar di Sekolah Melayu Chukai selama dua tahun. Dia memakai baju Melayu tiap hari. Ia tidak tahu menggunakan pisau dan garpu bila makan. Dan ia belajar membaca al-Quran.
Pada tahun 1949 ibu bapa Maria meminta Konsulat Belanda di Singapura supaya mengambil balik Maria. Wang sebanyak RM500 ditawarkan kepada Aminah kerana memelihara Maria selama lapan tahun.
Pada tahun 1956 Aminah pindah dari Kemaman ke Singapura bersama Maria. Konsulat Belanda kemudian membuat tuntutan melalui Mahkamah Tinggi supaya Maria diserahkan balik kepada ibu bapanya di negeri Belanda.
Perbicaraan
Pada satu peringkat perbicaraan berikutnya Mahkamah Rayuan Singapura mengekalkan Maria dalam peliharaan Aminah. “Allah telah memakbulkan doa saya,” Dia menyatakan selanjutnya.
Keadaan bertambah kusut manakala berlangsung perkahwinan Maria dengan Mansor Adabi, yang berasal dari Kelantan. Perkahwinan dilakukan oleh Kadi Ahmad Halim. Waktu itu Maria berumur 14 tahun 5 bulan 9 hari, iaitu menurut kad pengenalan Terengganu TR156594.
Menurut satu laporan lain Maria dan Mansor Adabi hanya boleh bersatu manakala sampai umur 21 tahun.
Namun, perkahwinan itu mencetuskan pelbagai persoalan dari semua pihak. Dicatat seterusnya dalam buku Hughes: “Akhbar Majlis di Kuala Lumpur dalam rencana pengarangnya mengingatkan bahawa kes Maria telah menjadi isu agama dan nasional, iaitu bukan lagi kes antara Aminah dan ibu bapa Maria saja.
“Lain-lain akhbar, Utusan Melayu di Singapura dan Warta Negara di Pulau Pinang juga berhujah supaya perkahwinan pasangan tersebut tidak dipertikaikan lagi.”
Perbicaraan bersambung di hadapan Justice Brown pada 2 Disember 1950 yang memutuskan bahawa perkahwinan Maria dan Mansor Adabi tidak sah. “Maria membantah dan menegaskan bahawa ia seorang Islam. Ia tidak mahu mengikut ibu bapanya dan mahu terus bersama suaminya. Polis datang untuk mengambil Maria yang kemudian memeluk Mansor dan Aminah.
Maria dibawa ke Convent Good Shepherd di Jalan Thomson. Hanya ibunya saja dibenarkan melawatnya. Di samping itu “para pemberita akhbar dan jurugambar berulang-alik masuk untuk mewawancara dan mengambil gambar.”
Dicatat seterusnya: “Dari waktu tengah hari Sabtu 2 Disember hingga meninggalkan Singapura dan cara hidup sebagai orang Melayu untuk selama-lamanya. Ia dipisahkan dari Aminah dan Mansor Adabi pada 3 Disember, akhbar Sunday Times menyiarkan gambar Maria sedang menangis di sebelah seorang paderi wanita.
Esoknya pula, akhbar Singapore Standard menyiarkan gambar Maria senyum lebar bersama ibu dan seorang rakan. Lain-lain gambar terbit dalam akhbar Singapore Standard pada 5 Disember. Seperti dilaporkan oleh pihak lain Straits Times juga menyiarkan gambar Maria melutut kepada patung Virgin Mary. “Inilah kemuncak rasa marah orang Melayu,” demikian disebut.
Akhbar Utusan Melayu pula menyiarkan empat gambar yang menunjukkan Maria sedang menangis. Juga disiarkan laporan mengenai kehidupan Maria dalam Convent Good Shepherd.
Wawancara Utusan Melayu dengan Maria berlaku setelah tukang catat ini meminta izin dari Konsul Belanda dan ini diluluskan. Hal ini disampaikan kepada Samad Ismail, Ketua Pengarang Utusan Melayu, yang mengarahkan supaya Buang, isteri Keris Mas dan jurugambar ikut bersama tukang catat ini.
Beberapa orang pemberita Utusan kadangkala diarah menyampaikan derma beribu-ribu ringgit kepada Aminah untuk belanja perbicaraan di mahkamah dan para peguam.
Rusuhan berlaku pada 11, 12 dan 13 Disember. Sejumlah 177 orang lagi cedera, sesetengahnya parah dan hampir 200 kereta dibakar.
Pada 12 Disember Maria dan ibunya berlepas ke Holland dengan kapal terbang. Dalam cerita bersambung dilaporkan betapa setelah tiba di kampung bakal tempat tinggalnya Maria bertanya: “Di mana masjid?” Ia kemudian sembahyang lima waktu setiap hari.
Pada tahun 1955, waktu umur hampir 19 tahun, Maria bertunang dengan Johan Gerardus Wolkenfeld, 21 tahun. Selama 15 tahun perkahwinan Maria melahirkan 13 orang anak. Tiga mati semasa kecil.
Menurut laporan Maria dan suaminya sering berselisih faham dan pada satu peringkat Maria dituduh berpakat hendak membunuh suaminya, tetapi dibebaskan kerana kurang bukti. Mereka kemudian bercerai.
Selanjutnya pada bulan Disember 1979 Maria berkahwin dengan Tom Ballermans, tapi bercerai pada 1983. Pada 15 September 1984 pula Maria meninggalkan negeri Belanda ke Amerika mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel.
Nama-nama sebilangan tokoh dan pejuang nasib Maria disebut oleh Hughes. Antara mereka: Karim Ghani dari India, Dr. Burhanuddin, salah seorang pengasas dan bekas pengarah akhbar Melayu Raya di Singapura, Mohamad Taha Kalu, bekas Inspektor polis yang meletak jawatan untuk menyertai dunia politik, Syed Ali al-Atas, Darus Shariff dan M.A Majid, warga India.
Hughes penulis buku mengenai Maria kemudian melanjutkan pelajaran di University Oxford. Nama Melayu Maria yang dicatat olehnya ialah Nadrah binti Maarof.

ARKIB : 26/07/2009

Perkembangan Islam di ASEAN

SATU demi satu buku-buku mengenai Islam menjadi bahan karya para penulis Barat. Antaranya ialah mengenai kedukaan warga Islam sebagai golongan majoriti dan minoriti dalam ke-10 buah negara ASEAN.
Buku diedit oleh Virginia Hooker, Sarjana Jurusan Pengajian Indonesia dan Melayu di Australian National University. Turut disiarkan ialah gambar dari penjara Manila yang menunjukkan seorang pesalah Islam sedang menyampaikan azan dari menara yang pada bahagian atas memperlihatkan tanda bulan dan bintang. Lalu diperturunkan jumlah penduduk ASEAN dan bilangan peratus yang beragama Islam
Jelas bahawa Indonesia mempunyai penduduk Islam yang paling ramai sekali dalam dunia, iaitu kira-kira 13 peratus dari 1.3 bilion umat Islam di seluruh dunia. Paling ramai ialah di Pulau Jawa, Sumatera dan Sulawesi.
Di Filipina paling ramai Islam ialah di Pulau Mindanao dan Kepulauan Sulu hingga menghampiri Sabah. Di Sabah pula "ratusan ribu lagi warga Islam Filipina (Moro) bermastautin sejak perang saudara pada awal 1970-an, ramai secara tetap."
Di Thailand dilaporkan seterusnya, warga Islam berupa golongan minoriti negara yang lebih 90 peratus penduduknya beragama Buddha. Warga Islam berselerak tetapi "paling ramai ialah di Wilayah Narathiwat, Pattani, Yala, Satun dan Songkhla.
Di Brunei terdapat ideologi rasmi Melayu Islam Beraja. Mereka yang bukan Islam dibenarkan mengamalkan agama masing-masing, tetapi tidak dibenarkan mengembangkan agama mereka di kalangan orang Islam. Brunei turut mengharamkan Darul Arqam sebagaimana telah dilakukan di Malaysia.
Mengenai Myanmar disebut betapa agama Islam mula merebak melalui kelasi-kelasi kapal beragama Islam pada abad ke-8 dan berikutan itu kedatangan pedagang-pedagang Arab, Parsi dan India Islam. Orang Islam warga China pula tiba pada abad ke-13. Turut berhijrah ke Burma (nama lama) ialah kaum diakui secara rasmi oleh Republik Sosialis Vietnam dan Kemboja."
Banci tahun 2000 menunjukkan bahawa jumlah penduduk Islam di Malaysia meningkat hingga 60.4 peratus dari 58.6 peratus pada tahun 1991. "Kesemuanya orang Melayu dan sebilangan kecil orang India beragama Islam."
Bilangan orang Islam di Sabah meningkat dari 40 peratus pada tahun 1970 hingga 51 peratus dalam masa 10 tahun. Di Sarawak pula bilangan masih 30 peratus.
Juga disebut betapa jumlah warga Islam di Semenanjung (lebih 80 peratus) bertumpu di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Lantas dicatat pada peringkat awal bahawa "Islam kian lebih penting dalam kehidupan seharian Islam Malaysia dan politik negara.
Mengenai Filipina disebut betapa usaha-usaha oleh warga Islam dan bukan Islam untuk mencapai perpaduan berkali-kali gagal kerana kedudukan jauh dan kepelbagaian budaya.
Faedah
Warga Islam di Singapura adalah "minoriti Islam paling besar dan kiraan peratus." Mereka telah mendapat faedah daripada perkembangan ekonomi Singapura yang merdeka sejak 1965. Kira-kira 85 peratus orang Islam di Singapura (313,780) adalah orang Melayu dan 15 peratus lagi dari 45,927 orang India, 2,687 orang China dan 6,891 keturunan Arab.
Di Thailand warga Islam berselerak dan kebanyakan bermastautin di bahagian selatan.
"Orang Melayu Islam terpisah dari lain-lain warga Thai bukan sahaja melalui agama tetapi juga melalui budaya."
Warga Islam di lima wilayah selatan Thai kira-kira 1,769,818. Di Bangkok pula terdapat 274,100 warga Islam.
Buku yang diedit oleh Virginia Hooker dan rakannya Greg Fealy berjudul Voices of Islam in Southeast Asia (2006) menyebut betapa pada bulan September 2001 Perdana Menteri Malaysia ketika itu menyatakan bahawa Islam wajar dianggap sebagai agama rasmi. "Kenyataannya itu serta-merta mencetuskan kontroversi."
Wajar dicatat bahawa pada tahun 2004. Virginia Hooker bersama seorang lain mengedit sebuah buku berjudul Islamic Perspectives on the New Millenium. Antara kandungan ialah makalah oleh Mohamed Aris Uthman dari Universiti Islam Antarabangsa.
Antara lain Aris menulis mengenai Islam menjadi agama majoriti dalam 42 negara dunia dengan 700 juta pengikut dan 400 juta lagi di negara-negara lain. Beliau lalu menyebut perlunya masyarakat Islam disusun semula kerana beberapa faktor yang menyebabkannya tidak teratur.
Pertama ialah akibat penjajahan dan penindasan ke atas kaum pribumi. Kedua ialah proses menyokong pihak Barat melalui pelbagai kepentingan sebilangan pemimpin dan ini membawa kepada perpecahan dalam dunia Islam. Ketiga ialah kegagalan kepimpinan sekular dunia untuk berkhidmat bagi ummah.
Menurutnya lagi, dewasa ini terdapat dua juta umat Islam di Amerika dan dua juta lagi di negeri Jerman. Di negeri Perancis pula, kira-kira 2.5 juta dan di Britain lebih satu juta. Masjid-masjid telah dibina dari Los Angeles hingga ke Moscow, Rome dan Zegreb.
Pada tahun 1994. warga Islam Sepanyol mendirikan Universiti Islam Antarabangsa. Dan lima abad selepas kejatuhan Islam di Sepanyol, azan kembali kedengaran lima kali sehari dari masjid lama di Cordoba.
Jelas bahawa antara yang diterbitkan ialah buku-buku rujukan bagi pelbagai pihak. Voices of Islam, umpamanya memberi penjelasan mengenai lebih 200 juta orang Islam di Tenggara Asia.
"Kesemua yang Islam membaca al-Quran dan ramai mempelajari bahasa Arab untuk lebih memahami perintah Tuhan. Hanya sebilangan kecil orang Kristian mengkaji kitab New Testament bahasa Greek atau Latin supaya lebih memahami kandungan kita Injil. Kebanyakan membaca kitab Injil melalui terjemahan-terjemahan dalam bahasa mereka sendiri.
Turut dihuraikan ialah pelbagai cabaran yang dihadapi oleh orang Islam dan bukan Islam pada peringkat awal abad ke-21 kini. Menyusul kelak ialah lain-lain buku mengenai Islam.
Mazlan Nordin
Penulis ialah Tokoh Wartawan Negara 2001.

ARKIB : 19/07/2009

Memoir seorang wartawan Iran

ADA kala yang dirahsiakan sama banyak dengan yang didedah dan ini juga berlaku pada peringkat sesuatu keluarga. Demikian daripada memoir Azar Nafisi, seorang sarjana yang menulis dalam pembuangan dari tanah airnya Iran, dalam bukunya berjudul Things Live Been Silent About.
Ceritanya mendapat perhatian ketika Iran menghadapi pelbagai tekanan dari luar dan dalam negeri berikutan Pilihan Raya Presiden pada 12 Jun lalu yang terus dipersoal kesahihannya melalui demonstrasi demi demonstrasi.
Menurut catatan mengenai dirinya, Nafisi mulanya mengajar mengenai Sastera Barat di Universiti Teheran. Pada tahun 1981, beliau dipecat kerana enggan memakai tudung. Beliau juga pernah mengajar di dua buah universiti lain. Beberapa tahun kemudian, beliau diterima berkhidmat di Universiti Oxford dan pada tahun 1999 beliau bersama keluarganya meninggalkan Iran lalu berhijrah ke Amerika.
Pelbagai kisah dicurahkan dalam memoir mengenai ibu dan ayahnya yang juga mengadakan hubungan sulit dengan wanita-wanita lain dan Nafisi sendiri bersubahat merahsiakan hal dari ibunya. Beliau mengeluh mengenai kenangan masa lampau sesekali menjejas perjalanan hidup dan mengganggu mimpinya di malam hari.
Menjadi latar belakang cerita ialah sejarah kancah politik Iran, budaya dan pengalaman dari zaman berzaman, termasuk peperangan demi peperangan dengan Yunani, Rom, Arab dan laskar Mongol yang menceroboh. Hinggalah ke pelbagai peristiwa lain, khususnya Revolusi Islam pada tahun 1978 - 1979 dan munculnya Ayatollah Khomeini sebagai pemimpin negara.
Juga dicatat ialah peranan berpengaruh pujangga Firdausi seribu tahun lalu dengan karya agungnya Shahnameh (raja segala raja) dalam bahasa Parsi, tiang utama bahasa kebangsaan. Pelbagai puisinya telah diterjemah ke bahasa Arab, Inggeris, Perancis dan Jerman.
Firdausi disanjungi sebagai pujangga agung oleh rakyat Iran sendiri manakala Omar Khayyam diminati oleh para pembaca Barat. Nafisi menyebut Khayyam sebagai ahli puisi dan tukang telek yang agnostik, iaitu baginya tiada sesuatu yang menunjukkan kewujudan Tuhan!
Dari Firdausi: Should there be no motherland, no creature is worthy to live in it.
Dari Omar Khayyam pula sesuatu yang berulang dilafaz oleh peminat Barat:
The moving finger writes, and having writ
Moves on: Not all they piety, nor wit
Shall lure it back to cancel half a line
Nor all thy tears wash out a word of it.
Antara cerita yang dibawa ialah peranan Perdana Menteri Mossadegh yang menjadikan industri minyak Iran sebagai milik negeri, iaitu merampasnya dari milik Inggeris. Tindakan tersebut mencetuskan kontroversi di antara Iran dan Inggeris yang melancarkan kempen memboikot hasil minyak Iran hingga menjejaskan ekonomi negara. Mossadegh juga memaksa Shah Iran mencari lindungan di Rome, Itali.
Akhirnya pada tahun 1953, berlaku rampasan kuasa oleh tentera Iran dengan hasutan dari Amerika dan Inggeris. Dan Shah Iran kembali berkuasa di Iran. Nafisi lalu bertanya: "Siapa yang salah dan siapa yang benar. Siapa mengkhianati siapa dan apa akibatnya kerana pengkhianatan demi pengkhianatan itu."
Pada tahun 1971, Shah Iran mengadakan jamuan terbesar sekali di Persepolis, pusat empayar Parsi beribu tahun lampau. Ramai raja dan pembesar negara-negara masing diundang, termasuk Prince Philip, Prince Charles dari Britain dan Maharaja Haile Selassie dari Habsyah.
Beribu-ribu khemah istimewa diadakan dan pelbagai makanan mewah dibawa dari negara Perancis dengan kapal terbang. Dalam pada itu, Persepolis "menjadi tempat larangan bagi rakyat Iran sendiri."
Pidato
Menurut cerita sesuatu yang menjadi bahan ejekan di kalangan rakyat Iran ialah pidato Shah Iran yang ditujukan kepada Cyrus, raja yang mewujudkan empayar pertama Parsi ribuan tahun lampau. Maka Shah Iran memulakan pidatonya: "Wahai Cyrus, bersemadilah dengan lena, kerana kami telah bangun!" Perayaan ulang tahun Persepolis itu menelan belanja AS$120 juta.
Peristiwa penting ialah tindakan pihak Iran menguasai kedutaan Amerika pada 4 November 1979. Juga dicatat betapa sebelumnya pernah wujud dua kumpulan revolusi bersenjata, satu anjuran komunis dan satu lagi oleh para pejuang Islam. Aktif dalam gerakan politik ialah Parti Tudeh yang komunis.
Juga diceritakan ialah keadaan Iran semasa lampau ketika diperintah oleh raja-raja yang berkuasa penuh. Poligami dibenarkan dan perkahwinan gadis-gadis mulai umur 9 tahun. Menjadi kebiasaan ialah hukuman melempar batu ke atas orang bersalah hingga mati.
Catatan penting dalam sejarah Iran ialah peristiwa yang berlaku pada bulan Muharam. Para pengikut Syiah mengenang kembali peristiwa Imam Hussain mati syahid di Karbala, Iraq kira-kira 1,300 tahun lampau. Pelbagai perbarisan diadakan dan ribuan rakyat melihat sebilangan ramai lelaki berbaris di jalan-jalan raya sambil memukul bahagian belakang diri sendiri dengan rantai besi. Imam Hussain dan pengikut- pengikutnya dianggap mati syahid.
Pada peringkat peribadi Nafisi menyebut diri ayahnya menulis diari harian ketika Nafisi berumur empat tahun. Ayahnya menyerahkan dairi itu kepadanya puluhan tahun kemudian. "Ketika saya telah mempunyai anak-anak sendiri." Manakala merungut mengenai pelbagai rahsia dari nenek moyang ayahnya, Nafisi diberitahu: "Kita bukan mentakrifkan diri sendiri melalui apa yang didedah, tetapi melalui apa yang kita rahsiakan."
Mengenai ibunya dengan pelbagai kegiatannya pula, Nafisi menulis: "Masalahnya bukanlah apa yang dicerita olehnya, tetapi apa yang dirahsiakannya."
Yang ditulis bukan hanya sejarah keluarga tetapi juga pelbagai aspek sejarah tanah air sendiri. Sebagaimana disebut mengenai seorang penulis lain, Nafisi bukan hanya penulis memoir tetapi juga menulis sebagai wartawan dan pengkritik.
- Mazlan Nordin -

ARKIB : 12/07/2009

Sentuhan peribadi dalam catatan

ADAKALA seseorang penulis pojok membuat ulasan tidak diduga, iaitu tiada kaitan dengan masalah-masalah politik, ekonomi, sosial atau agama. Perihal peribadi pula dicatat.
Demikian halnya dengan Garrison Keillor, salah seorang penulis pojok yang menulis untuk pelbagai akhbar Amerika melalui saluran yang dipanggil syndicated column. Antara akhbar-akhbar yang melangganinya ialah International Herald Tribune dan Honolulu Advertiser.
Sedutan daripada sebuah ulasannya baru-baru ini seperti berikut: “Dunia kini kepunyaan mereka yang muda dan berani. Kita membaca mengenai syarikat-syarikat besar cuba diselamatkan melalui rangsangan ekonomi kerajaan. Ertinya kita menggadai masa depan kita, diri kita dan menyelamatkan pihak-pihak yang degil dan bodoh. Ekonomi meleset dan ramai menganggur tiap bulan. Negara India dan China kini melakukan apa yang kita (Amerika) lebih handal melakukannya di masa lampau.
Saya pun terkenang kepada seorang wanita semasa kami menuntut di sebuah kolej. Beliau penulis seperti saya, orangnya tinggi dan jelita. Pahanya begitu licin hingga mudah terasa geli. Manakala saya menciumnya berlaki-kali ia ketawa berdekah-dekah. Lantas kini bila saya mendengar ketawa besar wanita saya pun teringatkannya kembali dan tertanya-tanya di mana dia sekarang ini.
Pada suatu malam rakan-rakan dan saya makan di sebuah restoran dan berbincang mengenai pelbagai masalah dunia masa kini, termasuk kejadian-kejadian di Timur Tengah. Tiba-tiba kedengaran suara beberapa orang gadis di belakang kami.
Seorang gadis bercerita mengenai ibunya, jururawat sebuah pusat rawatan pesakit-pesakit yang menghidap sakit yang tidak boleh lagi diubat. Adakala ibunya menyediakan ubat-ubat bercampur bahan-bahan lain untuk seseorang pesakit yang dianggapnya tiada masa depan lagi. Ibu membuka jalan untuk pesakit menuju ke alam baqa pada kira-kira pukul 4 pagi ketika keadaan sunyi sepi. Bagi yang bakal mati yang terakhir sekali kehilangan ialah pendengaran atau suara.
Pada suatu hari saya (gadis pencerita) melangkah ke bilik rehat rumah kami dan melihat ayah tidur lena dan ibu seperti malaikat maut berdiri memandang ke arahnya. Kucing kami memandang ke arah ibu. Kerana, kucing itu tahu apa boleh berlaku.
Dibincangkan oleh gadis-gadis itu dengan ketawa besar ialah yang dipanggil euthanasia iaitu pembunuhan tanpa rasa sakit bagi seseorang yang terlalu tua atau yang sakitnya tidak boleh diubat lagi. Juga disebut ialah mercy killing.
Lantas Keillor tiba-tiba teringat kembali gadis yang mengasihinya di waktu dulu. “Saya telah meninggalkannya pada cuti kolej. Manakala balik ke kolej selepas cuti gadis itu sudah tiada lagi, sudah tiada lagi, sudah tiada lagi,’’ demikian keluhan Keillor.
Seperti biasa beliau kemudian menulis kembali mengenai kancah politik Amerika. Kali ini mengenai Parti Republikan yang memerintah Amerika selama lapan tahun di bawah pimpinan Presiden George Bush dan Timbalan Presiden Dick Cheney. Seperti dilaporkan Cheney kini kerap kali membela partinya dan mengecam Parti Demokrat pimpinan Presiden Barack Obama.
Pendirian
Lalu Cheney menegaskan pendirian Parti Republikan we are what we are. Ia selaras dengan kenyataan pujangga Perancis, Marcel Proust dalam bukunya Remembrance of Things Past.” Nous Sommes qui nous Sommes - we are what we are, iaitu hati nurani Parti Republikan dewasa ini. Demikian kisah.
Pertanyaan: Apakah tidak sedemikian juga sikap sesetengah tokoh dan ahli-ahli politik di negara kita dewasa ini?
Keillor sendiri penyokong kuat Parti Demokrat sejak waktu muda. Jangan pandang serong ahli-ahli Demokrat kerana anda mungkin salah seorang daripada kami, seperti kata seorang pujangga, tempat paling panas sekali dalam neraka dikhaskan kepada mereka yang berkecuali dalam masa krisis, beliau menulis dalam salah sebuah bukunya.
Namun adakalanya pihak media tidak melaporkan peristiwa yang sepatutnya menjadi bahan berita seperti demonstrasi oleh orang-orang Arab di Israel yang menuntut hak-hak sama dengan warga Israel. Tiada gambar melalui televisyen dan tiada laporan dalam akhbar-akhbar. Sebabnya? Mereka melaporkan demonstrasi-demonstrasi di Iran saja.

ARKIB : 05/07/2009

Anak Palestin turut berjuang

JARANG dibaca ialah tulisan oleh wanita Yahudi mengenai bangsanya dan kaitan dengan negara Israel. Menarik perhatian kerana itu ialah rencana oleh Rachel Shabi dalam sebuah akhbar mingguan Inggeris baru-baru ini. Ia menceritakan sesuatu yang tidak begitu diketahui, bertajuk Land of Broken Promises: Israel Should Embrace Jews of all Colours and Cultures.
"Saya Yahudi, tetapi keluarga saya berasal dari Iraq, ertinya tingkah-laku saya sebagai Yahudi, adalah bersifat Timur Tengah keseluruhannya," katanya dalam tulisan itu.
Lalu Rachel mencatat betapa ia dulu meminati muzik Arab oleh penyanyi terkenal seperti Ummi Kalsom atau Farid al-Atrash yang nyanyian mereka begitu emosi hingga menyebabkan para pendengar menangis dan "air mata mereka boleh menyiram taman bunga."
Menurut beliau, kira-kira 50 peratus penduduk Israel mulanya terdiri daripada orang Yahudi dari negara-negara Arab atau Islam. Kebanyakan mereka pindah ke Israel pada tahun 1948. Pada satu ketika, pelbagai kaum Yahudi itu - dipanggil Mizrahi - berupa majoriti penduduk Israel. Keadaan berubah manakala begitu ramai orang Yahudi datang dari negara-negara Soviet pada awal 1990-an. Dengan itu bilangan Yahudi timur barat sama ramai bilangan mereka. Rachel lalu menambah: "Pada ketika ini kalau ditambah bilangan penduduk Yahudi dari negara-negara Arab dengan orang Palestin warganegara Israel, maka bilangan Yahudi dari Eropah menjadi minoriti."
Dalam pada itu Rachel menjelaskan bahawa negara Israel didirikan oleh pendatang-pendatang dari Eropah yang mahu menubuhkan tanah air bagi orang Yahudi dari segala warna kulit dan kebudayaan. "Malangnya, pendatang-pendatang baru itu bersikap prejudis terhadap dunia Arab yang dianggap mundur, tidak bertamadun dan tercicir belaka."
Akibatnya, budaya Mizrahi, bahasa Arab, muzik Timur Tengah dan pelbagai budaya Yahudi - Arab diketepikan sama sekali.
Menurut Rachel lagi, Israel sepatutnya mengeratkan hubungan dengan jiran-jiran Arab iaitu lebih dari hubungan yang dijalin dengan Eropah. Beliau mengingatkan betapa sebelum bermusuh-musuhan kemudiannya, warga Arab dan Yahudi dulunya menjadi jiran-jiran yang akrab dan berkongsi kebudayaan.
Lain pendapat dicatat oleh majalah The Economist, London mengenai perang berlarutan 100 tahun di antara Yahudi dan Palestin. Antara lain disebut: "Kalaupun Israel menang di Gaza, sejarah perang 100 tahun itu menandakan bahawa bangsa Palestin tidak boleh disingkirkan secara kekerasan. Hamas akan terus hidup dan dengan itu kekal sikap warga Arab bahawa negara Yahudi tidak wajar wujud di Timur Tengah."
Menurut The Economist dalam rencana pengarangnya, Israel mestilah memperlihatkan betapa begitu kuatnya diri mereka hingga rela menyerahkan Tebing Barat, bukan Gaza sahaja, untuk melahirkan negara Palestin yang dijanjikan.
Menimbulkan rasa sedih ialah kisah dari majalah Third World Resurgence mengenai pelbagai peristiwa di Gaza semasa serangan-serangan bala tentera Israel. Laporan ditulis oleh John Pilger, wartawan dan pembikin filem dokumentari yang memenangi beberapa hadiah. Makalahnya mula terbit dalam majalah New Statesman London.
Beliau menulis: "Ketika melawat ke satu tempat di Gaza saya melihat bendera-bendera Palestin di pelbagai tempat tidak diduga. Memasangnya pada waktu senja ialah kanak-kanak. Tidak ada siapa menyuruh mereka memasang bendera-bendera itu.
Perjuangan bukan saja oleh orang-orang dewasa Palestin tetapi juga kanak-kanak.
Mazlan Nordin
Penulis ialah konsultan kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS.

ARKIB : 24/06/2009

Nik Aziz oh Nik Aziz, tok guru yang hebat...


LIM Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng gembira, Anwar Ibrahim puas manakala Hadi Awang kelihatan serius di mesyuarat membincangkan kedudukan pelan gagasan kerajaan perpaduan di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur kelmarin. Idea Hadi itu ditolak.


SYABAS Pas kerana menolak gagasan perpaduan Melayu. Syabas Pas kerana bersekongkol dengan rakan-rakannya - yang asyik mengungkit mengenai isu biasiswa kepada anak-anak bumiputera miskin, isu untuk mengenyah DEB, isu-isu terlalu sensitif yang jika disebut di sini 'orang-orang tertentu' akan mengecap kita ini sebagai rasis.
Cita-cita Pas ialah mahu memerintah Malaysia dengan rakan-rakannya itu. Mungkin Nik Abdul Aziz Nik Mat terlalu mengidamkan menjadi Perdana Menteri. Jika diizinkan tuhan cita-citanya akan tercapai. Tolong, janganlah sesiapa mengatakan dia tok guru yang hanya mengajar agama - sebenarnya beliau ialah ahli politik totok yang dalam istilah Inggeris disebut political animal.
Beliau tidak percaya kepada pengertian kebangsaan - atau dalam konteks gagasan perpaduan, Melayu. Melayu bagi beliau ialah elemen assabiyah yang menurutnya tidak sehaluan dengan ajaran Islam. Teras beliau ialah Islam semata-mata. Bagi beliau Melayu itu tidak wujud.
Itulah antara kegagalan gagasan tersebut. Awal-awal lagi Nik Aziz menolaknya, walaupun kumpulan lain dalam Pas mahu rundingan itu dimulakan. Presiden Pas, Hadi Awang yang mencetuskan idea itu. Ia disambut oleh kumpulan bukan-Erdogan, terutama Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa. Sambutan Nasharudin itu mengakibatkan beliau 'menghilangkan diri' beberapa hari kerana dimarahi teruk oleh Mursyidul Amnya, Nik Aziz.
Nik Aziz meminta Nasharudin meletakkan jawatan dan masuk UMNO. Nik Aziz terlalu emosional kerana ada pihak yang cuba menghalang cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri.
Anwar Ibrahim yang bimbang melihat berlaku krisis keyakinan yang merugikannya dalam pakatan itu pergi menghadap Nik Aziz di Kota Bharu sebelah pagi Ahad - beberapa jam sebelum Hadi pulang dari luar negara malam itu.
Ternyata dalam pertemuan itu Anwar berjaya mempengaruhi Nik Aziz, atau mereka berdua merancang untuk 'menyelesaikan' kemelut ini - tanpa pengetahuan pencetus idea, Hadi.
Hadi yang ditemui pemberita di lapangan terbang KLIA berkata, Pas akan mengadakan perbincangan mengenai gagasan itu keesokan harinya.
Keesokan harinya (Isnin lalu) pakatan pembangkang yang dihadiri Anwar, Lim Kit Siang, anaknya Lim Guan Eng tersenyum puas. Hadi yang turut berada di dalam mesyuarat sejam pakatan itu di bangunan Parlimen terpaksa 'malu alah' dan bersetuju mengeluarkan satu kenyataan sebulat suara menolak gagasan itu. Kenyataan tiga perenggan itu ditandatangani oleh Anwar, Hadi dan Kit Siang.
Nasharudin tidak hadir dalam pertemuan itu.
Malamnya sebelum pertemuan itu, Nik Aziz di Kuala Krai menyerang UMNO. Beliau menyifatkan UMNO sebagai parti sesat seperti ajaran Ayah Pin. Parti yang membawa negara ini sehingga ke tahap ini - berbanding Pakistan, Bangladesh, Afghanistan dan negara-negara Islam lain - dicercanya sebegitu rupa.
Itulah Nik Aziz, ahli politik totok yang kita kenali lama dulu. Seorang yang kononnya berperwatakan lembut, tapi keras berpolitiknya. Dia menyamakan UMNO seperti Ayah Pin. Dia juga menyamakan UMNO seperti pengganas komunis.
"UMNO ialah pertubuhan sesat, sama dengan Ayah Pin. UMNO dan komunis adalah sama. UMNO ialah parti sosialis kerana menolak Islam. UMNO ialah parti Melayu bukan parti Islam," kata Menteri Besar Kelantan itu di satu ceramah di Kampung Laloh di Kuala Krai malam Ahad lalu.
"Bagaimana kita mahu bersetuju dengan UMNO? Mereka sekarang mahu minta kita lupa yang lepas dan bersatu dengan mereka. Mereka ini tidak tahu malu," katanya di hadapan rakan-rakan pakatannya Anwar dan Timbalan Pengerusi DAP, Tan Seng Giaw.
Awal hari itu (sebagaimana yang dilaporkan akhbar) Nik Aziz sudah mulai berlembut. Tapi beberapa jam kemudian di ceramah di Kuala Krai itu beliau buat pusingan-U di hadapan 5,000 penyokongnya dengan menghentam UMNO dalam kempen menjelang pilihan raya kecil Manek Urai 14 Julai ini.
Itulah Nik Aziz yang kita kenali. Beliau boleh membuat pusingan-U yang tajam. Itu pasal kita kata beliau bukan tok guru ajar mengaji, tapi ahli politik totok yang berjuang atas nama prinsipnya yang kental.
Berkata di hadapan pengikutnya yang fanatik itu, Nik Aziz menganggap UMNO tidak layak memerintah negara ini. Semasa mengucapkannya, beliau langsung tidak sedar UMNO sudahpun memerintah negara ini selama 52 tahun dengan jayanya. Pas tidak pernah.
Tambah beliau, umat Islam wajib menolak UMNO jika mereka takutkan Allah.
Benar Pas sudah memerintah beberapa negeri di negara ini. Di Kedah dan Kelantan mungkin tiada masalah kerana ramai rakyatnya 'Melayu', tapi corak pemerintahan Pas di Perak yang terikat kepada master DAP telah menunjukkan hitam putih corak pemerintahannya.
Belumpun panas duduk di kerusi Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin sudahpun meluluskan hak milik tanah di kampung baru untuk selama 999 tahun (atau dibulatkan 1,000 tahun). Orang Perak sendiri terkejut, teruja dengan tindakan Pas Perak itu. Kita yakin corak inilah yang akan diterapkan apabila mereka memerintah Malaysia kelak.
Kini Nik Aziz merasakan Pas dan pakatan pembangkangnya yang layak memerintah negara ini. Jika tidak layak pun jangan bimbang, mereka akan dipimpin (ditunjuk ajar) oleh sebuah negara jiran yang yakin Malaysia kini sudah pun berada di persimpangan jalan. Negara itulah yang kini melatih Pulau Pinang dengan menghantar beberapa penasihat ke negeri itu.
Nik Aziz merasakan pakatannya sudah kuat. Memang benar mereka sudah kuat. Mereka kuat apabila orang Melayu lemah. Memang benarpun orang Melayu kini sudah terlalu lemah. Gagasan perpaduan bagi Nik Aziz tidak boleh dilaksanakan sama sekali - sama seperti kata-kata Karpal Singh "langkah mayatnya dulu" jika Malaysia mahu menjadi negara Islam.
Memetik kata-kata Bisik-Bisik Awang Selamat kelmarin "… sekiranya gagasan ini berjaya, ia akan menjadi satu pelan politik yang terhebat dalam sejarah tanah air."
"… tapi untuk merealisasinya bukan mudah. Pakatan pembangkang seboleh mungkin tidak mahu melihat rancangan itu berjaya."
Kenapa mereka tidak mahu melihat ia berjaya? Kerana jika gagasan ini berjaya, pakatan itu akan hancur lebur. Dan orang Melayu akan kembali kuat.
Apa pun tahniah dan syabas sekali lagi kepada Anwar dan Kit Siang serta tentunya tok guru Nik Aziz kerana berjaya menggagalkan gagasan itu.

ARKIB : 28/06/2009

Menilai konflik politik di Iran

PARA pelajar yang mengikuti mata pelajaran sejarah di sekolah dalam masa penjajahan dulu kadang-kala diajar hal-hal yang diputarbelitkan atau pendapat berat sebelah. Lalu kami diberitahu: orang Greece adalah pahlawan dan bangsa Parsi adalah orang jahat.
Cerita sepenuhnya tidak disampaikan, termasuk kisah Alexander the Great selepas kemenangannya di medan perang, seperti dicatat oleh sejarahwan kemudiannya: "Setelah menduduki takhta Darius maka beliau menoleh ke arah Greece lalu melihat keadaan-keadaan yang baginya tidak wajar, iaitu setelah melihat negeri lain bagi kali pertama. Banyak hal di Parsi terpaksa dikaguminya dan beberapa perkara negara sendiri dikritik.
"Interaksi kebudayaan Parsi dan Greece mendorong lebih 10,000 askar dan pegawai mereka berkahwin dengan wanita-wanita Parsi."
Kisah-kisah seperti ini kembali dalam ingatan ketika mengikuti laporan-laporan pihak media Barat mengenai keadaan di Iran kini, iaitu berita-berita demonstrasi demi demonstrasi dan pertembungan dengan pihak polis. Segalanya berlaku selepas pilihan raya 12 Jun lalu yang dimenangi oleh Presiden Ahmadinejad sekali lagi. Antara tajuk-tajuk laporan akhbar dan televisyen pihak Barat.
Sikap anti-kerajaan paling meluas sejak Revolusi Islam 1979, penunjuk perasaan mengejek dari bumbung-bumbung bangunan, Iran tuduh Amerika dan Britain campur tangan hal dalam negeri Iran, wartawan BBC London diusir, Iran tutup biro televisyen Al-Arabia.
Tunjuk perasaan sokongan di New York, Washington, Los Angeles, perpecahan pendapat di kalangan pemimpin Iran.
Amerika punyai pelarian bangsa Iran paling ramai. Siaran BBC London dalam bahasa Farsi disekat, demonstrasi bawa akibat buruk kepada ekonomi Iran.
Juga dilaporkan ialah adanya 20,000 orang Yahudi masih bermastautin di Iran. Kenyataan rasmi Iran mengenai 11 juta rakyatnya mengundi juga disiarkan.
Sebelum itu dilaporkan kritikan Presiden Perancis Nicolas Sarkozy, Canselor Jerman Angela Merkel dan Perdana Menteri Britain Gordon Brown.
Setelah kerajaan Iran mengusir sebilangan ramai wartawan asing, salah satu stesen televisyen menyiarkan kenyataan: "Kirimlah gambar-gambar Iran kepada kami." Juga diminta ialah berita-berita dari citizen journalists, iaitu bukan wartawan.
Berulang disiarkan ialah kenyataan Mir Hussein Mousavi yang tewas dalam pilihan raya bahawa ia "sedia mati syahid". Beliau menjadi Perdana Menteri pada tahun 1980-1988 semasa berlaku peperangan di antara Iran dan Iraq yang waktu itu dipimpin oleh Presiden Saddam Hussein.
Sementara itu Presiden Barack Obama dikritik di Amerika oleh Republikan kerana tidak berkeras mengkritik Iran. Serangan ke atasnya terutama dari golongan neo-konservatif yang bertanggungjawab menyerang Iraq pada tahun 2003.
Dalam melaporkan demonstrasi yang berlaku ada wartawan-wartawan Barat menulis konon munculnya sekularisme di Iran menentang Revolusi Islam. Tetapi sebenarnya tidak ada pemimpin sekular di Iran.
Dalam ingatan ialah kenyataan bekas Presiden Muhammad Khatami: "Pengaruh Revolusi Islam telah merebak ke seluruh dunia Islam. Ia membawa harapan baru kepada orang Islam dan mereka yang ditindas mencari kebebasan serta keadilan lalu dengan itu mewarnai iklim intelektual dan politik dunia."
Juga diungkit kembali ialah saranan supaya Israel mengebom pangkalan-pangkalan bersenjata Iran seperti telah dilakukan dulu ke atas Iraq. Tetapi pihak lain mengingatkan bahawa serangan seperti itu hanya akan melipatganda keazaman Iran yang tentunya mendapat sokongan lebih meluas dari rakyat.
Bagi tukang catat ini ialah kenangan lawatan ke Iran pada awal 1990-an dan persinggahan di makam Imam Khomeini di Behest Zahra serta kunjungan ke bandar Isfahan yang didirikan pada abad keempat. Ia kemudian menjadi twin city Kuala Lumpur.
Diziarahi semasa di Isfahan ialah Makam Bunga Pahlawan Mati Syahid selepas maghrib. Ia perkuburan bagi beribu perajurit yang mati semasa perjuangan Revolusi Islam dan perang selama lapan tahun dengan Iraq. Kelihatan ramai saudara mara menyiram air. Pada tiap kubur terdapat gambar perajurit yang bersemadi di situ.
Iran, dulunya Persia diminati oleh sesetengah yang telah membawa puisi romantis Omar Khayyam dan Firdaus yang menulis puisi Shah Nameh lapan abad lalu - 60,000 rangkap ditulis selama 30 tahun. Antara sajaknya:
Andainya bumi membuka rahsianya.
Dari awal hingga akhir
Tentunya terdedah tubuh raja-raja bermahkota
Dan darah pahlawan-pahlawan di sebelahnya
Ini dunia yang sementara
Tanamlah budi yang baik.
Seperti kata seorang jurucakap rasmi Iran pada hari Isnin lalu pula: "Kami tidak akan membenarkan permata menjadi batu."

ARKIB : 21/06/2009

Faktor mempengaruhi budaya Melayu

SETAKAT mana tersentuh atau terburainya kebudayaan sesuatu bangsa manakala ditakluki kuasa asing? Setakat mana juga golongan intelek dan para penulis yang dijajah bertindak untuk memelihara budaya bangsa sendiri?
Yang berlaku bukan sahaja ke atas bangsa yang serba mundur seperti di benua Afrika, Asia dan Amerika Selatan. Ia juga berlaku ke atas negara yang sama maju dengan negara yang mengalahkannya seperti manakala Nazi Jerman menewaskan negara Perancis pada tahun 1940 semasa Perang Dunia Kedua.
Lalu disebut betapa dengan ketewasan itu bangsa Perancis kehilangan pelbagai yang menjadi asas kekuatan mereka, termasuk kebanggaan dengan Revolusi Perancis. Juga melemahkan negara mereka ialah kemelut politik yang berlarutan.
Berperanan sedikit sebanyak ialah Jean-Paul Sartre, kemudiannya menjadi novelis penulis esei, pensyarah dan ahli falsafah. Beliau mulanya dikerah berkhidmat dalam pasukan tentera hingga menjadi tawanan perang tentera Jerman. Sartre kemudian menyertai gerakan bawah tanah tetapi gagal memujuk beberapa penulis terkemuka menyertainya. Antara mereka ialah Andre Gide dan Andre Malraux yang disanjungi ramai.
Timbul pertanyaan kemudiannya adakah kerana hal tersebut Sartre menjadi penyokong utama FLN, pejuang bangsa Algeria yang memberontak terhadap penjajahan Perancis hingga akhirnya mencapai kemerdekaan? Menyokongnya di waktu itu ialah penulis ulung, Bertrand Russell. Sartre juga menentang penjajahan Perancis di Vietnam. Menjadi bahan penyelidik pada masa lampau ialah kesan-kesan pelbagai penaklukan oleh sejarawan Thomas Sewell dalam bukunya Conquests and Cultures. Lantas dicatat pada permulaannya: We do not live in the past, but the past is in us.
Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

ARKIB : 14/06/2009

Kemelut pencalonan hakim Amerika Syarikat

PELANTIKAN seseorang hakim ke mahkamah tertinggi biasanya tidak berlarutan menjadi berita akhbar, televisyen atau leteran para blogger. Tetapi inilah yang berlaku di Amerika kini sejak Presiden barack Obama mencalonkan hakim Sonia Sotomayor untuk kelulusan Dewan Senat.
Antara persoalan yang berbangkit ialah beliau wanita keturunan Hispanic. Lalu ada akhbar Amerika mengungkit kembali pengalaman pahit hakim Clarence Thomas. Lain-lain hakim mahkamah Tertinggi Amerika kulit putih belaka.
Ketika dicalonkan pada tahun 1971, Thomas keturunan keluarga hamba abdi kulit hitam, dianggap oleh Presiden George H.W.Bush sebagai ‘calon paling layak sekali’’. Tetapi pihak American Bar Association yang mewakili para peguam terbahagi dua sikap mereka, ada yang menganggapnya ‘‘layak’’ dan hampir sama berpendapat ia ‘‘tidak layak’’.
Diajukan dalam pembicaraan selanjutnya ialah kenyataan seorang peguam wanita; Anita Hill yang pernah berkhidmat dengan Thomas. Beliau mendakwa bahawa Thomas beberapa kali melafaz kata-kata seksual terhadapnya semasa bekerja.
Thomas menafikan tuduhan itu, lalu menyatakan: ‘‘Ini bukan kesempatan untuk bercakap mengenai perkara-perkara buruk. Ini bukan sarkis. Tuduhan ini mengaibkan negara. Bagi saya, warga kulit hitam, tuduhan ini bererti menghukum bunuh seseorang tanpa pengadilan rasmi ke atas orang kulit hitam. Ia mengandungi mesej kepada warga kulit hitam: jika anda tidak tunduk kepada aturan yang lazimnya berlaku sewaktu dulu, maka anda akan dilanyak, dibinasakan, iaitu digantung hingga mati dari dahan pokok.’’
Akhirnya pencalonan Thomas untuk menyertai Mahkamah Tertinggi diluluskan dengan 52 undi menyokong dan 48 undi menentang. Kemenangannya bagi dirinya paling tipis sekali pernah berlaku dalam masa 100 tahun.
Pencalonan
Lain-lain hal berbangkit mengenai pencalonan Sotomayor. Antaranya ialah kenyataan beliau mengenai “wanita Latin dengan pelbagai pengalamannya mungkin membuat keputusan lebih bijak dari seseorang lelaki kulit putih yang tidak pernah melalui pengalaman hidup wanita Latin ini.’’
Seperti disebut dalam sebuah akhbar Amerika, Thomas semasa dulu dan Sotomayor ketika ini sama-sama terjerumus dalam kekecohan kerana keturunan mereka, seorang kulit hitam keturunan hamba abdi dan seorang lagi wanita keturunan Sepanyol.
Menurut laporan terbaru Sotomayor mungkin diluluskan pencalonannya menjadi Hakim Mahkamah Tertinggi. Ini ialah kerana majoriti Jawatankuasa Kehakiman 12 orang dari Parti Demokrat boleh menewaskan pihak oposisi 7 orang. Manakala majoriti Dewan Senat dari Parti Demokrat 59 orang, dan oposisi 40 orang.
Berlaku sebelum ini pada bulan Oktober 2005 ialah tindakan bekas Presiden, George W. Bush mencalonkan Harriet Miers, seorang peguam wanita kulit putih untuk menjadi hakim Mahkamah Tertinggi. Namun, akibat reaksi dan bantahan pelbagai pihak pencalonan itu dibatalkan atas permintaan Miers sendiri.
Nama Caligula, seorang maharaja empayar Rome beribu tahun lalu, disebut oleh pihak media semasa berlaku perbincangan pro dan kontra. Ini ialah kerana semasa pemerintahannya beliau telah mencalonkan seekor kuda miliknya, ‘Incitatus’ untuk menjadi senator. Lalu hal tersebut dicatit dalam riwayat hidupnya oleh para sejarawan.
Seperti diulangi oleh seorang penulis Amerika, bagi sesetengah pihak sesuatu peristiwa yang berlaku pada zaman dulu dianggap seperti berlaku kelmarin.

ARKIB : 07/06/2009

Mengimbas kegagalan komunisme

MENCERMINKAN keadaan cemas semasa darurat dulu ialah berita akhbar Straits Times pada 24 Februari 1950 mengenai serangan 200 orang gerila komunis ke atas balai polis terpencil di Bukit Kepong, 35 batu dari Muar.
Kisah bermula: "Serangan selama 6 jam itu berakhir dengan pembunuhan 23 orang di balai polis tersebut - 13 anggota polis, enam orang pengawal kampung, tiga isteri polis dan seorang kanak-kanak.
Tiga orang anggota polis cedera parah manakala seorang lagi terbakar tubuhnya. Sebilangan yang terselamat kemudian menyebut mengenai seorang pekedai Cina mati ditembak mati dan seorang kanak-kanak cedera.
Serangan dilancarkan mulai jam 4.30 waktu subuh. Setelah menyerang selama tiga jam, mereka mendesak anggota-anggota polis yang masih selamat supaya menyerah diri," demikian antara laporan akhbar Straits Times.
Laporan serba lengkap peristiwa bersejarah dan tragedi itu disusun kemudiannya oleh Wikipedia, ensaiklopedia bebas. Antara 23 orang yang mati dibunuh di balai polis itu ialah ketua mereka, Sarjan Jamil Mohd Shah.
Pasukan komunis semasa pertempuran itu menawan isteri seorang anggota polis dan memaksa ia memujuk pihak polis supaya menyerah diri. Tetapi pihak polis enggan dan terus menembak. Seorang lagi isteri polis dengan anak perempuannya ditawan turut dipaksa memujuk tetapi kedua-duanya enggan lalu dibunuh.
Kisah sedih seumpama kembali dalam ingatan bekas-bekas polis dan askar kini sebagai reaksi kepada gesaan pihak tertentu supaya Ching Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya dibenarkan pulang.
Menjadi bahan rujukan dalam hal ini ialah laporan akhbar British, The Observer pada 14 Jun 1998 setelah BBC mengadakan interviu khas dengan Ching Peng di London. Tajuk berita: Finally I meet the man I was sent to kill 40 years ago - and he smiles.
Lalu penulisnya, Neal Ashcherson, askar semasa darurat di Malaya, bertanya Chin Peng apakah perjuangannya selama 12 tahun (1948-1969) sesuatu yang wajar.
Antara lain beliau menulis: "Kekhilafannya yang utama, seperti diakuinya ialah ia gagal mendapat sokongan majoriti orang Melayu. Baginya masalah bahawa para pekerja proletar ialah orang Cina manakala para petani adalah orang Melayu dan beragama Islam.
Pihak komunis tidak mengambil kira faktor keteguhan etnik dan agama. Fahaman Marxisme dan Leninsime tidak pernah terfikir bagaimana mahu berinteraksi dengan semangat kebangsaan atau agama. Kerana itulah tiada apapun dicapai setelah mereka berjuang selama 12 tahun. Betapa dengan 12,000 nyawa yang terkorban itu?
Kegagalan mendapat sokongan orang Melayu juga dicatat oleh sejarawan Lucien W. Pye dalam bukunya Guerrilla Communism in Malaya (Princeton University Press 1956): "Kegagalan pada peringkat awal untuk menarik orang Melayu berjuang di bawah bendera revolusi menandakan pelbagai kesukaran Parti Komunis Malaya untuk mendapat sokongan dari kaum yang paling ramai di Malaya."
Juga menjadi rujukan ialah kenyataan Datuk Seri Yuen Yuet Leng, bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak, dalam akhbar Sun Weekend 6-7 Ogos 2005 berjudul Why Chin Peng failed in Malaya. Menurutnya Chin Peng tidakpun menjelaskan suatu lagi aspek perjuangannya iaitu untuk menubuhkan Communist Republic of Malaya, sesuatu yang dirancang oleh Parti Komunis Malaya sejak 1930-an.
Datuk Seri Leng juga menegaskan: "Majoriti besar rakyat kita dalam Barisan Nasional dan pihak Oposisi telah memilih demokrasi, bukan komunisme untuk cara hidup kita dan berkerajaan - walau apa jua perbezaan yang mungkin dalam mengamalkan pemerintahan demokrasi."
Dan akhirnya diingatkan: "Chin Peng dan Jawatankuasa Pusat terlalu ghairah dan yakin, hingga gagal menginsafi kerumitan- kerumitan pelbagai kaum Malaya yang masih konservatif.
Inilah salah satu sebabnya Parti Komunis Malaya tewas dalam peperangan, kerana perjuangannya dirancang berdasarkan contoh negara China, kerana mahu mewujudkan alam sekitar seperti negara China dan pemikiran China, iaitu yang sama sekali berbeza dari alam sekitar Malaya."
Antara kajian selanjutnya mengenai gerakan komunis di Malaya ialah perjuangan Darurat Malaya Kedua (1969-1975) oleh Ong Wei Chong dari Institute of Defence and Strategic Studies, Singapore. Menurut beliau Komunis Malaya gagal mencapai kejayaan dalam perjuangan revolusi hingga ke peringkat akhir. Dengan menandatangani Perjanjian Damai Haadyai pada 2 Disember 1989, Parti Komunis Malaya akhirnya menamatkan perjuangan bersenjata dan Darurat Kedua Malaya pun tamat.
Beliau mengulangi sesuatu yang dicatat oleh Chin Peng dalam buku riwayat hidupnya, iaitu berupa epilog paling berkesan mengenai perjuangan bersenjata.

ARKIB : 31/05/2009

Pentadbiran yang baik jadi sandaran

ADA parti-parti politik yang berjaya dalam perjuangan kemerdekaan kemudiannya tewas dalam pilihan raya. Antara sebab ialah munculnya para pengundi baru. Juga berlaku perubahan-perubahan dalam masyarakat majmuk. Lalu pelbagai kata sepakat masa lampau dipersoal dan dikritik. Kerana, bagi sesetengah pihak masa lampau adalah negara asing.
Antara contoh ialah Parti Kongres India yang dulu mempunyai para pemimpin unggul dari Dinasti Gandhi-Nehru. Ada kala ia tewas juga kepada pihak lain.
Kemenangan semula pada tahun 2004 dianggap tidak menyakinkan. Gabungan 13 parti politik, termasuk sokongan parti komunis, menimbulkan aneka tuntutan. Lantas menjelang pilihan raya Parlimen 2009, pihak media, termasuk akhbar-akhbar, meramalkan keputusan tidak menyakinkan parti-parti politik utama.
Namun, Parti Kongres kali ini mencapai kemenangan paling besar (262 kerusi), iaitu yang tidak diduga oleh pihak media. Setelah selesai pilihan raya ada yang kemudian mencatat: Tidak diduga, tapi dialu-alukan.
Di samping itu Parti Komunis India yang menguasai Negeri Kerala dan Benggala Barat kalah teruk. Turut tewas ialah Parti Bharatiya Janata (BJP), Parti Pembangkang Nasionalis Hindu. Ia memperoleh 136 kerusi saja daripada sejumlah 545 kerusi Parlimen dan segera mengaku kalah. Pemimpinnya, L.K Advani gagal mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri.
Pujian demi pujian ditujukan kepada Perdana Menteri Manmohan Singh dan Pengerusi Kongres, Sonia Ghandhi, wanita Itali dan balu mandiang Perdana Menteri Rajiv Gandhi yang mati dibunuh fanatik Hindu.
Sonia yang fasih berbahasa Hindi dan biasanya memakai sari kini dianggap sebagai tokoh kesinambungan Dinasti Gandhi. Menurut laporan ia dipanggil "Madam" saja.
Juga mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya kali ini ialah anaknya, Rahul yang telahpun disebut sebagai bakal Perdana Menteri selepas Manmohan Singh.
Nenek lelakinya, Pandit Jawaharlal Nehru menjadi Perdana Menteri pertama India manakala merdeka. Opahnya pula, Indira Gandhi menjadi pemimpin India selama 18 tahun.
Menjadi tanda tanya pula ialah penyertaan Varum Gandhi dalam parti BJP setelah dalam kempennya beliau membuat ucapan-ucapan anti-Islam. Menurut satu laporan beliau sendiri mencapai kemenangan besar, tetapi kenyataannya yang mencetuskan kontroversi dianggap merosakkan imej parti yang juga dicap anti-Kristian.
Berulang dilaporkan ialah peranan Kumari Mayawati, pemimpin parti dari kasta paling rendah masyarakat Hindu (Untouchables) yang bercita-cita besar menjadi tokoh politik nasional. Tetapi partinya hanya menang 21 kerusi, cuma dua kerusi lebih daripada pencapaian pilihan raya 2004.
Dengan bilangan pengundi kali ini meningkat hingga 420 juta tiada pula masalah pengundi hantu. Seperti dicatat di negeri-negeri lain ada parti politik mengulangi tuduhan mengenai pengundi hantu setelah calon-calon mereka tewas.
Selanjutnya dibangkitkan oleh pihak media ialah siapa pengganti L.K Advani sebagai pemimpin BJP. Antara nama yang disebut ialah Narendra Modi, Ketua Menteri Gujart. Dilaporkan oleh majalah terkemuka India Today ialah peristiwa yang berlaku pada tahun 2002. "Lebih 1,100 orang mati dalam rusuhan-rusuhan perkauman."
Lalu disebut oleh majalah berkenaan mengenai kempen pilihan raya 2009 "paling bising sekali" kerana berlakunya serangan-serangan peribadi. Lantas diingatkan mengenai India kini pada waktu kritikal dalam sejarahnya dengan jumlah penduduk lebih satu bilion dan negeri menghadapi krisis ekonomi.
Ia menyentuh pelbagai manifesto politik yang diedarkan semasa kempen, termasuk satu yang menjanjikan "hapusnya komputer dan bahasa Inggeris."
Ingatan lain pula dinyatakan oleh media British: "Rakyat India telah mengundi untuk kesinambungan - bukan Dinasti Gandhi saja tetapi dasar-dasar yang membawa kepada keadaan stabil pada peringkat kritikal kini. Kongres telah membawa kemerdekaan kepada India. Ia kini berpeluang untuk mendirikan kerajaan yang tegas demi keperluan tanggungjawab global."
Yang dituntut ialah kestabilan dan pentadbiran yang baik, bukan politik kasta dan agama, akhbar International Harold Tribune (Amerika) pula menambah.

ARKIB : 24/05/2009

Kegagalan tentera asing di Afghanistan

SALAH satu pengajaran dari sejarah Afghanistan ialah, jika anda orang asing, jangan cuba-cuba masuk. Jika anda masuk juga, jangan tinggal terlalu lama kerana mereka tidak suka orang-orang asing tinggal terlalu lama - Paul Wolfowitz, bekas Setiausaha Pertahanan Amerika.
Mahu tak mahu, perbandingan terpaksa dibuat antara cubaan British untuk menguasai Afghanistan pada abad ke-10, dan pencerobohan komunis Soviet Union di Afghanistan pada akhir abad ke-20, serta tindakan Amerika dan pakatan NATO dewasa ini.
Tentera British dua kali tewas pada tahun 1839-42 dan 1878-80. Laskar dan pejuang Afghanistan telah menyerang sejumlah 16,000 askar British yang berundur dari Kabul pada tahun 1842. Dari bilangan begitu ramai itu hanya seorang saja warga British selamat.
Sejumlah 100,000 askar komunis Soviet menyerang Afghanistan dan membunuh hampir sejuta warganya, tetapi akhirnya komunis tewas juga. Kekalahan mereka antara sebabnya pemerintahan Soviet tumpas sama sekali kemudiannya.
Ketika komunis menguasai Afghanistan selama lebih tujuh tahun, Amerika memberi bantuan dan pelbagai senjata kepada para pejuang Afghanistan. Kini mereka menjadi musuh. Antara yang terlibat dalam pemerintahan singkat komunis ialah seorang warga Afghanistan Dr. N. Ahmadzai. Pada mulanya beliau menyertai Parti Demokratik Rakyat Afghanistan yang pro-komunis kemudian merampas kuasa pada tahun 1978.
Dua tahun berikutnya beliau menjadi ketua polis rahsia. Menurut pelbagai dakwaan kemudiannya pihak polis rahsia itu telah menangkap, menyeksa dan membunuh puluhan ribu warga Afghanistan.
Organisasi Amnesty International pernah menyiarkan laporan mengenai ramainya lelaki, wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa. Sebilangan yang terselamat kemudian menceritakan betapa Dr. Ahmadzai sendiri mendera para tahanan, memukul dan memijak serta menyepak mereka hingga mati. Beliau semasa muda menuntut di Universiti Kabul.
Akhirnya pemerintahan komunis tewas dan beliau mendapat perlindungan di kawasan sebuah bangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 1992. Beliau dan adiknya kemudian ditangkap oleh pihak Taliban pada tahun 1996 manakala Kabul ditawan. Keduanya mati di tali gantung. Tentera Soviet yang menyerang mulai akhir 1979 berundur pada tahun 1988. Menurut laporan ramai para pejuang Taliban yang mati dalam pelbagai pertempuran kemudian dikebumikan di gaung bukit. Tidak ada papan tanda nama pada kubur mereka. Yang ada hanya bendera kecil warna hitam berkibar dihembus angin.
Kini giliran Amerika dan pasukan-pasukan tentera beberapa buah negara pakatan NATO. Diumumkan pada minggu lalu ialah keputusan pihak Amerika menyingkirkan panglima tenteranya di Afghanistan, Jeneral David McKiernan. Penggantinya ialah Jeneral Stanley Mc Chrystal yang diharap boleh mengurangkan kematian orang-orang awam. Juga diperlukan ialah latihan lebih lancar bagi bala tentera Afghanistan.
Sebuah laporan lain menyebut mengenai sebilangan ramai tentera Soviet di Afghanistan dulu beragama Islam. Mereka sebenarnya dikerah memerangi laskar Afghanistan yang Islam. Lalu tentera Soviet itu kemudian memutuskan tidak mahu lagi memerangi lawan mereka yang Islam. Sebagaimana pernah dinyatakan oleh seorang wartawan Australia, Philip Adams "Dunia luar tidak pernah menang perang di Afghanistan dan sama sekali tidak akan menang kemudian nanti".

ARKIB : 17/05/2009

Kejayaan Malaysia dan cabaran yang menanti

KADANG kala ditanya ialah betapa Malaysia diukur kemajuannya dalam pelbagai bidang setelah sekian lama merdeka. Antara jawapan masa kini ialah laporan lengkap berjudul From Kampung to.
Twin Towers, karya Dr. Richard Leete, seorang pegawai expatriate yang pernah berkhidmat di Malaysia dan kemudian menjadi pegawai kordinasi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Pada permulaannya beliau mencatat betapa Malaysia telah berubah sama sekali dari sebuah negara miskin dan pertanian menjadi negara moden dan penuh bangga kerana kemajuan pesat yang dicapai.
Bilangan penduduk, umpamanya telah meningkat lebih daripada dua pertiga dari 7.4 juta pada tahun 1957 hingga 13.7 juta pada tahun 1980 dan 26.1 juta pada tahun 2005. Bilangan mereka lebih ramai dari penduduk Australia dan New Zealand.
Bilangan warga bumiputera meningkat daripada kira-kira setengah pada tahun 1957 hingga dua pertiga menjelang peralihan abad. Pada masa yang sama bilangan warga Cina menurun daripada 37 peratus kepada 26 peratus dan bilangan warga India daripada 11 peratus kepada 8 peratus.
Lantas disebut betapa kian meluasnya rasa identiti nasional dari masa lampau kerana sebilangan besar bukan Melayu lahir dan membesar di Malaysia dan kebanyakan para pekerja asing memilih untuk bermastautin sebagai bumiputera.
Juga disebut betapa Malaysia dapat mengatasi beberapa krisis besar sama ada dari luar atau dalam negeri. Ketika mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, negara menghadapi darurat (1948-60), iaitu pemberontakan Parti Komunis Malaya. Seperti diakui penyokong-penyokongnya mahu mendirikan sesuatu republik komunis.
Lain-lain cabaran berlaku selanjutnya, termasuk konfrontasi Indonesia pada tahun 1962-1966, pemisahan Singapura dari Malaysia, pada tahun 1965, rusuhan perkauman 1969, kepincangan ekonomi pada awal 1970-an dan pertengahan 1980-an. Demikian antara pelbagai cabaran yang dihadapi.
kemiskinan
Dalam pada itu ialah kejayaan Dasar Ekonomi Baru anjuran Tun Abdul Razak untuk mengatasi masalah kemiskinan rakyat dan keadaan tidak seimbang antara kaum.
Di samping itu ialah pelancaran kereta Proton yang mulanya tidak dipersetujui oleh pelbagai pihak, termasuk daripada golongan akademik. Namun usaha tersebut terus berjaya. Selanjutnya dicatat ialah penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (1970), yang pertama menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Dan Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Tekonologi Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional. Universiti Tun Abdul Razak, Universiti Tunku Abdul Rahman. Antara lain-lain hal yang disebut:
l Bilangan universiti-universiti swasta meningkat sejak pertengahan 1990-an. Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar utama. Ini akan memberi kelebihan kepada mereka dari universiti-universiti yang bahasa pengantarnya bahasa Melayu, terutama bila bersaing untuk mendapatkan para pelajar antarabangsa. Bilangan para pelajar bukan - bumiputera akan mengatasi yang lain di peringkat institusi swasta. Pertanyaan: Betapa nanti bila bersaing mencari kerja?
l Parlimen dipulihkan pada bulan Februari 1971, kira-kira 21 bulan setelah ditangguh sidangnya, Perlembagaan Malaysia dipinda untuk menghindarkan perbincangan terbuka berupa hasutan mengenai bahasa, kerakyatan, kedudukan orang Melayu dan status sultan.
l Dalam masa pemerintahan penjajah sebahagian besar kawasan-kawasan luar bandar tidak mendapat perhatian dalam rancangan pembangunan dan penduduknya, sebahagian besar Melayu, tidak mendapat kemudahan-kemudahan asas seperti di bandar, termasuk kemudahan ke sekolah-sekolah, bekalan elektrik dan air, kemudahan telekomunikasi dan kemudahan bagi yang sakit.
l Ketika kemerdekaan, kepentingan-kepentingan asing dan Cina hampir menguasai kekayaan korporat. Pada tahun 1970 kepentingan asing menguasai kekayaan korporat sejumlah 63 peratus, 27 peratus lagi oleh Cina dan hanya 2 peratus oleh bumiputera.
l Menjelang tahun 2007 hampir hapus kemiskinan orang Melayu. Rancangan-rancangan pembangunan luar bandar dan pertanian meningkat pendapatan para petani. Pelbagai struktur pelajaran, kesihatan dan kemudahan sosial meningkatkan cara hidup rakyat umumnya.
l Jumlah penduduk Malaysia dijangka meningkat hingga 28.4 juta pada tahun 2010 dan 33.1 juta pada tahun 2020. Menjelang tahun 2020, lebih daripada seorang dari tiap lima warga Malaysia akan tinggal di Sabah dan Sarawak.
Buku From kampung to Twin Towers (Oxford Fajar) memuatkan kata-kata pengantar Raja Nazrin Shah mengingatkan tentang perubahan-perubahan yang perlu dilakukan jika negara mahu terus makmur selama 50 tahun akan datang.
Lain-lain cabaran dan masalah telah pun muncul dewasa ini, termasuk pada peringkat negeri. Jika sudah maju dari kampung ke Twin Towers, betapa pula kemudian nanti?

ARKIB : 10/05/2009

Kepentingan memoir untuk seorang wartawan


PARA wartawan berjaya kerana mereka kerap bertanya apakah kemudian nanti akan menulis memoir. Ini kerana interaksi mereka dengan pelbagai punca berita atau informasi. Antara mereka - para menteri, tokoh-tokoh pembangkang, tokoh korporat, tahanan politik, ketua demonstrasi haram.
Tidak semua menjawab "ya" kerana ada yang memilih kenangan lampau masing-masing dan merahsiakan sesuatu yang boleh menjejaskan status diri sendiri.
Dalam pada itu ada pemberita - dipanggil kuli tinta di Indonesia - yang sesekali menulis mengenai sesuatu pengalaman dirinya. Contohnya seorang wartawan Poland, bernama Ryszard Kapuscinsky yang bertahun-tahun lamanya bertugas di negara-negara benua Afrika sebelum dan selepas mencapai kemerdekaan. Umpamanya, kisah nyaris maut dipatuk ular senduk setelah sesat ketika mencari berita dengan temannya. Setelah gagal mencari jalan keluar dari hutan mereka akhirnya menjumpai dua pondok usang dan di dalamnya papan tempat tidur. Kapuscinsky terus baring kerana terlalu letih lalu merokok. "Rasanya tak begitu sedap dan saya pun memandang ke arah tangan yang terlentok atas tanah. Tiba-tiba ketika hendak memadam rokok saya lihat seekor ular di bawah katil. Kerana terkejut saya biarkan rokok dan asapnya berkepul-kepul di atas kepala ular itu.
Ular itu akhirnya mati dihentak dengan kotak tin oleh rakannya Leo, seorang warga Greece dan pemberita beberapa buah akhbar. "Saya tidak pula berasa gembira melihat darah ular itu. Saya berasa sedih kerana jantung ular itu tiada berdenyut lagi. Kisahnya diberi tajuk The Cobra's Heart.
Lebih bahaya ialah manusia seperti dicatat oleh seorang penulis kulit hitam, bernama Don Mattera dalam makalahnya bertajuk "Sepucuk surat terbuka kepada orang kulit putih Afrika Selatan." Sedutan dari warkahnya itu:
"Saya menulis surat terbuka ini kerana kerajaan anda telah menafikan hak saya untuk meluahkan perasaan. Segala tulisan saya telah diharamkan dan tiada satu boleh disiarkan. Adakah sesiapa di antara anda yang bertanya pada kerajaan kenapa saya dilarang menghadiri majlis ulang tahun hari jadi anak perempuan saya? Kenapa saya diperintah menunggu di luar ketika anak lelaki saya menerima hadiah? Kenapa saya mesti memohon kepada majistret untuk menghadiri pengkebumian seorang yang dikasihi atau kawan ataupun pemimpin?
Pernahkah anda kulit putih mengalami rasa ngeri manakala rumah diserbu oleh polis rahsia? Betapa malunya saya manakala mereka menghentak pintu dan riuh rendah menyelongkar rumah, menarik selimut anak-anak yang sedang tidur? Pernahkah juga seorang budak lelaki kulit putih berumur 10 tahun berlari kaki ayam ke arah kereta polis dan menangis ketika ayahnya ditangkap untuk dibawa ke lokap balai polis? Anak saya telah mengalaminya...." Demikian antara pengalaman Mattera dalam masa pemerintahan dasar aparteid.
Tidak kurang sedihnya ialah catatan Fawaz Turki, penulis Palestin. "Di mana saja dalam masyarakat Palestin, sang penulis dipanggil kateb el shaab, pejuang rakyat. Ia menghadapi ancaman tahanan, penjara, penyiksaan dan pembuangan dari tempat tinggal. Segala karya sastera termasuk puisi yang singkat atau makalah mesti diserahkan kepada para pegawai tentera untuk disemak dan diluluskan."
Mengejutkan ialah satu lagi catatan: Sebuah puisi mengenai kasih tiada terhingga kepada seorang wanita tidak disiarkan kerana para pegawai tentera Israel mendakwa wanita yang dimaksudkan itu ialah Palestin. Pada suatu masa lalu pelukis Palestin yang terkenal Sulaiman Mansor mengadakan pameran lukisan di Tebing Barat. Antara lukisan ialah sekuntum bunga mawar warna merah, hijau, hitam dan putih iaitu warna bendera Palestin. Pamerannya ditutup, lukisan-lukisan dirampas dan Mansor sendiri diheret ke penjara." Ertinya para penulis Palestin sentiasa diawasi. Catatan Fawaz ialah antara sumbangan para penulis termasuk dari Barat dalam buku berjudul penulis dan hak-hak asasi manusia terbitan Amerika.
Antara mereka pujangga Susan Sontag, Nadine Gordimer (novelis Afrika Selatan), Joy Kogawa dari Kanada yang menulis mengenai "musuh dalam selimut." Menjadi persoalan ialah peranan para penulis supaya menyedarkan kesemua pihak mengenai situasi yang mengizinkan keadaan tidak adil, penindasan dan kezaliman.
Mencetus pelbagai pertanyaan ialah pendapat penulis dari Kanada, George Woodcock: "Seorang teman saya ialah pembikin filem dari Iran yang meninggalkan negaranya. Beliau telah menerbit sebuah filem yang bagus mengenai tahwil. Filemnya diharamkan oleh kerajaan Shah Iran kerana dianggap subversif.'' Dari Amerika Selatan Eduardo Galeano mengingatkan: "Saya tidak sependapat dengan penulis-penulis yang menganggap diri mereka lebih istimewa dari manusia biasa. Kita para penulis bukan umpama dewa-dewa. Sastera adalah satu cara bertindak."
Pembicaraan mengenai hak-hak asasi manusia bersambung di mana saja, termasuk oleh kuli tinta dan jika menang memang wajar dicatat dalam memoir.

ARKIB : 03/05/2009

Menilai nasib umat Islam

ADAKALA ulang tahun peristiwa bersejarah mengulangi tuntutan maaf. Demikian halnya pada 9 April lalu yang dilaporkan antara lainnya oleh akhbar Times, London. Tajuk beritanya Moors want an apology after 400 years: Expulsion “first ethnic cleansing of Europe.”
Moors ialah panggilan bagi orang Islam di Sepanyol yang mereka perintah selama hampir tujuh abad hingga tewas kepada bala tentera Raja Ferdinand dan Permaisuri Isabella pada tahun 1492. Warga Moors itu berasal dari Maghribi.
Laporan bermula mengenai sikap Sepanyol masih keberatan untuk memohon maaf kerana apa yang berlaku di masa lampau. Cerita bersambung: “Empat ratus tahun dulu hari ini (9 April) Raja Philip menandatangani perintah untuk mengusir 300,000 Moriscos – masih serba sedikit Islam - yang dulu Islam. Selama lima tahun berikutnya beratus ribu orang mati setelah diusir dari rumah mereka di Sepanyol ke Afrika Utara ketika memuncaknya tindakan Inquisition pihak Sepanyol.”
Menurut laporan tersebut sebilangan penulis Islam dan aktivis Sepanyol serta Maghribi berpendapat bahawa telah tiba masanya pihak berkuasa Sepanyol memohon maaf. Ulang tahun peristiwa masa lampau itu menandakan kesekian kali hubungan tidak begitu mesra di antara Sepanyol zaman moden dengan pihak Maghribi atau warga Islam umumnya.
Selepas kemenangan Ferdinand dan Isabella “beratus ribu warga Islam yang terus bermastautin di Sepanyol dipaksa masuk agama Kristian tetapi ramai yang terus menggunakan nama-nama Islam dan mengamalkan cara hidup Islam.
Menurut para sejarawan beratus mati manakala dipaksa pindah ke Afrika Utara selama lima tahun berikutnya setelah Raja Philip mengeluarkan perintah menghalau mereka pada 9 April 1609. Demikian berapa catatan masa lampau. Seperti juga disebut semasa pemerintahan Islam di selatan Sepanyol tidak adapun kaum lain, Kristian atau Yahudi, dipaksa masuk agama Islam.
Jatuhnya pemerintahan ialah kerana perpecahan di kalangan orang Islam sendiri, umpamanya di antara Boabdil dengan lagi Grenada. Pemberontakan berlaku di kalangan rakyat terhadap Boabdil kerana berunding menyerah kalah kepada Ferdinand dan Isabella.
Menurut yang punya cerita Boabdil kemudian berundur dari wilayah pemerintahannya. Ia singgah di lereng sebuah bukit yang kemudian diberi nama The Last Singh Of The Moors lalu menangis.
Ibunya yang marah dengan sikap beralahnya lalu menyindir: “Kau menangis seperti perempuan kerana tidak mempertahankan sesuatu seperti seorang lelaki.”
Boabdil mati dalam satu pertempuran lain di Afrika Utara. Mengenai dirinya dikatakan: “Beliau mati dalam satu perjuangan lain, tetapi takut mati dalam perjuangan diri sendiri.”
Mengenai negeri al-Andalus yang pada beberapa ketika begitu indah ialah cerita berikut: “Ketika Tuhan mengisi kekosongan di bumi al-Andalus, lima permohonan diajukan - langit terang benderang, lautan indah yang penuh dengan ikan, pokok-pokok dengan pelbagai buah-buahan, para wanita yang cantik dan sebuah kerajaan yang adil. Kesemua, kecuali yang terakhir dikurniai oleh Tuhan. Sebabnya, manakala yang lain-lain itu dikurniai serta juga kerajaan yang adil, maka Andalusia mungkin menyaingi syurga.
Kisah ini dibawa oleh seorang penulis Barat. Tajuknya: The Rise and Fall of Paradise: When Arabs and Jews built a kingdom in Spain.
Dari Andalusia yang permai lahirnya muzik flamenco, kerana adanya campur-aduk muzik Sepanyol dan Arab. Seperti kemudian dicatat: Flamenco lahir ketika Arab, Yahudi dan Kristian bermesra satu sama lain.
Dalam keadaan masa kini bilangan warga Islam telah merebak di beberapa negara Eropah: 1.6 juta di Britain, satu juta di Itali, 4 hingga 5 juta di Perancis (kira-kira 7 peratus daripada jumlah penduduk).
Di Britain sebuah pertubuhan hak asasi Islam di London menyebut tentang 344 tindakan ganas anti-Islam selepas peristiwa 11 September 2001. Di Itali beberapa tokoh politik, termasuk Perdana Menteri Silvio Berlusconi melafaz kenyataan anti-Islam. Ada yang berkata pendatang Islam “bahaya” bagi negara Itali.
Di Perancis pula wanita Islam bertudung menjadi masalah. Hal yang sama juga berlaku di negeri Jerman.
Apakah akan berlaku lain-lain hal terhadap warga Islam. Apakah juga nanti akan wujud sesuatu yang menyamai Alhambra di Sepanyol?

ARKIB : 26/04/2009

Rundingan dengan negara jiran bukan mudah

WAJAR mendapat perhatian segala pihak ialah kajian pelbagai dimensi hubungan antara Malaysia dan Singapura oleh para ilmuan dalam buku berjudul Across The Causeway.
Antara yang dicatat ialah sebuah kenyataan Menteri Perdagangan Singapura, George Yeo suatu masa lalu: This is a relationship which is inseparable, Malaysia and Singapore are like Siamese twins. Occasionally we get close to each other and annoy each other. We say you go your way and I go my way. We try and we cannot go very far because we share a common umbilical cord.
Ringkasnya, hubungan kita tidak boleh dipisahkan. Kita seperti kembar Siam. Kita punyai tali perut yang sama.
Kenyataan tersebut dipetik oleh Profesor Dr. Mahani Zainal Abidin, Ketua Pengarah ISIS dan buku berkenaan diterbit oleh Institut Kajian Asia Tenggara, Singapura. Laporan bermula manakala British dulu memerintah Semenanjung Tanah Melayu dan ekonomi negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat bergantung antara satu sama lain. Singapura menjadi kaya-raya kerana perdagangan getah dan bijih timah dari Malaysia dan dagangan tersebut membiayai perkembangan pedalaman Tanah Melayu.
Sejak perpisahan pada tahun 1965, Malaysia dan Singapura mencapai kemajuan ekonomi dan persaingan berlaku selanjutnya. Muncul kemudiannya ialah isu-isu seperti bekalan air ke Singapura, simpanan wang para pekerja Malaysia dalam Central Provident Fund Singapura penggunaan ruang udara Malaysia oleh pesawat angkatan udara Singapura dan pembinaan jambatan untuk menggantikan tembok yang menghubung kedua-dua negara. Isu-isu tersebut juga menyentuh bidang politik.
Namun pentingnya Malaysia dalam jurusan dagangan Singapura terus meningkat tahun demi tahun. Sejak tahun 2000, Malaysia mengatasi Amerika Syarikat sebagai rakan kongsi niaga Singapura. Eksport bahan makanan ke Singapura meningkat dari AS$31.95 juta pada tahun 1970 hingga AS$564.47 juta pada tahun 2003. Walaupun Singapura di belakang Amerika, Jepun dan Taiwan dalam nilai pelaburan, bilangan syarikat Singapura yang melabur di Malaysia meningkat hingga 3,028 buah berbanding 812 buah syarikat Amerika.
Malaysia juga paling popular bagi warga Singapura membeli hartanah. Pembelian rumah-rumah, keanggotaan pelbagai kelab golf tertumpu di selatan Semenanjung Malaysia kerana berhampiran dengan Singapura.
Menjadi isu rumit ialah bekalan air. Jumlah bekalan air dari Malaysia kira-kira 72 peratus keperluan Singapura, iaitu bagi rumah-rumah dan urusan-urusan dagangan. Dan ia juga diperlukan bagi kapal-kapal yang berlabuh di Singapura.
Bilangan para pelancong Singapura berupa majoriti pengunjung ke Malaysia. Pada tahun 2003, bilangan mereka 56 peratus. Ramai datang setiap hari ke Johor Bharu untuk makanan dan membeli pelbagai keperluan rumah. Pelbagai tempat bercuti bergantung kepada kunjungan warga Singapura.
Menurut Prof. Mahani fasa pertama perhubungan ekonomi antara Malaysia dan Singapura dari 1965 hingga lewat 1980-an berupa perkongsian Singapura juga mengambil sebilangan ramai para pekerja dari Malaysia.
Pada hakikatnya Malaysia memberi sumbangan kepada kepesatan ekonomi Singapura manakala Singapura pula mengadakan pelbagai kemudahan untuk dagangan Malaysia dan meluaskan pasaran domestiknya.
Ekonomi global
Menurut Prof. Mahani hala tuju hubungan antara Malaysia dan Singapura akan ditentukan oleh kepimpinan politik kedua-dua negara, antara lainnya. Ekonomi kedua-duanya banyak persamaan dan perkembangannya bergantung kepada ekonomi global. Kedua-duanya menghadapi saingan dari China dari segi pelaburan dan proses perkilangan yang murah.
Beliau juga menyentuh potensi antara Singapura, Selatan Malaysia dan kepulauan Riau kerana mempunyai sebilangan ramai para pekerja, tanah dan pelbagai kemudahan. Juga disebut sebagai inisiatif baru Malaysia ialah Iskandar Development Region (IDR) di selatan Johor berhampiran pantai Singapura. Menurutnya lagi syarikat-syarikat asing, termasuk di Singapura boleh melabur dalam urusan hartanah, industri perkilangan dan perkhidmatan-perkhidmatan pelajaran serta kesihatan.
Antara penarikan utama ialah luasnya tanah di wilayah itu berbanding dengan di Singapura. Andainya Singapura memindahkan kegiatan-kegiatan perkilangan dan pelbagai perkhidmatan ke wilayah IDR itu, maka ia akan menjadi bukti hubungan seimbang dua hala antara Malaysia-Singapura.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia dan Singapura perlu sedar bahawa mereka menghadapi masa depan yang sama dan perkongsian hendaknya menggantikan pertandingan antara kedua-dua. Demikian saranan Prof. Mahani. Timbul kembali kini ialah isu jambatan bengkok atau lurus antara Malaysia dan Singapura yang dahulu terbantut. Lalu ada pihak bertanya apakah ia memberi faedah kepada kedua-dua pihak.
Sebagai contoh ialah Perjanjian Kerjasama Pertahanan antara Indonesia dan Singapura yang mengambil masa lima tahun dirundingkan dan akhirnya ditandatangani pada tahun 2007. Masalah berbangkit kemudiannya daripada kalangan Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia. Akibatnya perjanjian berkenaan tidak dilaksanakan. Rencana mengenai hal ini disiarkan dalam Jakarta Globe pada 24 Mac. Ertinya juga rundingan-rundingan antara jiran bukan perkara mudah.
Penulis ialah konsultan kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS.

ARKIB : 19/04/2009

Sejarah tidak boleh dipadamkan


KEBIASAAN zaman moden yang memprojek nilai-nilai dewasa ini ke masa lampau adalah salah, demikian menurut tokoh sejarah. Pepatah Cina pula mengingatkan: Mata tidak boleh melihat bulu mata sendiri. Kerana, muncul kini ialah desakan supaya dipadam sebahagian pelajaran sejarah di sekolah untuk memenuhi tuntutan perkauman. Awang Selamat dalam pojoknya minggu lalu menulis: "Nampaknya sejarah negara mahu ditulis semula mengikut apa yang dimahukan dan bukannya berdasarkan fakta. Maka makin jelas bahawa bukan sahaja sisa kekuatan politik Melayu yang ada ini mahu dikuburkan malah sejarahnya juga mahu dinafikan''.
Pelbagai mimpi sesetengah gambong-gambong politik ada kalanya seperti disebut dalam dunia politik Inggeris merciless, vengeful - kejam, berdendam. Pelbagai perkara yang telah dipersetujui secara muafakat mahu digunting begitu saja untuk mencapai kuasa bagi diri sendiri.
Memberi pelajaran dengan itu ialah aspek-aspek sejarah dalam Monograph Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society yang menyambut ulang tahunnya yang ke-130 (1877-2007). Antara yang memberi sumbangan ialah Profesor-profesor Nicholas Tarling, Cheah Boon Kheng, Wang Gungwu, Ken Tregonning dan John Gullick. Prof. Cheah, antara lain menulis mengenai kontroversi politik yang tercetus manakala Alex Josey, seorang bekas wartawan British menyatakan bahawa orang Melayu tiada sejarah selain dari menjadi perompak lanun. Beliau membuat kesimpulan itu setelah membaca buku Dr. Tarling, Piracy and Politics in the Malay World (1963).
Lalu Prof. Cheah segera pergi ke toko buku berhampiran untuk membeli suatu naskhah. Setelah membacanya beliau berpendapat bahawa Alex Josey telah tersalah baca atau sengaja memutar tulisan Tarling, ketika itu di Universiti Queensland, Australia.
Walhal, buku Tarling cuba menunjukkan betapa pihak British, "membesar- besarkan peristiwa-peristiwa perompak lanun dan menggunakan istilah itu untuk mengisahkan lain-lain perompak dan keganasan yang dihadapinya".
Jawatan
Prof. Cheah menyebut mengenai Malaysianisasi pelbagai jawatan akademik lewat dilaksanakan dan hanya dipenuhi setelah Dasar Ekonomi Baru berlaku pada tahun 1970 di bawah pimpinan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak.
Dasar Ekonomi Baru itu mewujudkan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia.
Selanjutnya dicatat syarahan Prof. Tregonning di Singapura pada tahun 1958 yang mengkritik para sejarawan Barat, seperti R.O Windstedt dan D.G.E Hall kerana bersikap Europe-Centric. Lalu beliau menyeru para pelajar di Singapura dan Malaysia: "Asia, bukan orang Eropah di Asia, mestilah menjadi tema kita."
Prof. Cheah sendiri pula bukan saja membuat penyelidikan mengenai nasib para petani, tetapi juga menulis sejarah Melayu pra-penjajahan, nasionalisme dan hubungan antara pelbagai kaum.
Prof. Wang Gungwu pula menyentuh sejarah Melaka menjadi tanah jajahan Portugis dan Batavia tanah jajahan Belanda, lalu menambah: "Ini tidak bererti bahawa orang Melayu dan Jawa tidak mempunyai empayar sendiri. Empayar mereka atau sebahagian darinya terus hidup berkurun-kurun lamanya".
Sejarawan Yong Ching Fatt menulis mengenai kepimpinan China di Malaya semasa pemerintahan British. Antara yang disebut ialah peranan Kuomintang China pimpinan Jeneral Chiang Kai-Shak dan asal-usul gerakan komunis di Malaya. Lantas beliau menulis:
"Komunisme China dan Komunisme Malaya lahir dari luar dan untuk terus hidup mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan di Malaya."
Menurutnya lagi, pihak British berjaya membendung gerakan komunis melalui tindakan undang-undang, kegiatan pihak Special Branch, kegiatan anti-komunis dan kekuatan tentera. Gerakan Komunis juga gagal kerana tiada sokongan daripada orang Melayu yang berjiwa kebangsaan. Seperti diakui sejarah Malaysia bukan hanya mengenai pemerintahan raja-raja, penjajahan-penjajahan Portugis, Belanda dan British serta golongan atasan atau elit, tetapi juga menyentuh social history.
Antara yang diceritakan ialah nasib penarik beca Melayu di Kota Bharu, Kelantan tahun 1960an-1980an sebagai "orang tengah para pelacur". Hal ini ditulis oleh Haryati dan Hamidi Abd Hamid.
Maklumat diperolehi daripada pemandu-pemandu beca daripada para pelacur dan daripada sumber-sumber rasmi, termasuk pejabat Menteri Besar, polis dan penasihat undang-undang.
Lalu dicatat bahawa kira-kira 7,000 keluarga bergantung kepada penarik beca, iaitu yang termiskin sekali di Kelantan. Sebilangan memiliki beca sendiri dan sejumlah besar menyewa daripada peniaga-peniaga China. Sewa tiap satu RM1.20 hingga RM1.40 sen sehari. Pendapatan pula RM3.50 hingga RM4.50 sehari.
Wajar dicatat dari negara asing ialah sejarah Zimbabwe di Afrika yang dulu bernama Rhodesia pemerintahan kulit putih yang minoriti. Tanah-tanah begitu luas dimiliki oleh pendatang-pendatang kulit putih yang menjajah hinggalah akhirnya Zimbabwe milik kulit hitam yang majoriti mencapai kemerdekaan.
Sebelumnya ialah sejarah Afrika Selatan begitu lama dijajah oleh pendatang kulit putih dengan dasar apartheid. Akhirnya dasar menindas itu ditamatkan dan majoriti kulit hitam mencapai kebebasan. Presiden kulit hitam yang pertama Nelson Mandela puluhan tahun meringkuk dalam penjara.
Orang Melayu yang dijajah mencapai kemerdekaan melalui perjuangan UMNO dan kerjasama pihak MCA dan MIC. Dari Perikatan lahir Barisan Nasional pimpinan Tun Razak. Masakan ini boleh dipadam? Demikian juga kedaulatan bahasa, Dasar Ekonomi Baru yang menebus peminggiran orang Melayu. Dan dari Malaya merdeka lahir Malaysia bahtera negara terus belayar.
Penulis ialah konsultan kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS.


ARKIB : 12/04/2009

Nasib penduduk minoriti Islam

JARANG dilaporkan ialah keadaan golongan minoriti Islam di mana juga negara. Mendapat perhatian kerana itu ialah terbitan Islam in Southeast Asia yang menyentuh hal tersebut. Penulisnya Profesor Hussin Mutalib dari National University of Singapore yang menulis mengenai Islam di Tenggara Asia.
Laporan bermula mengenai bilangan umat Islam di dunia kini kira-kira 1.3 bilion dan 60 peratus dari mereka bermastautin di benua Asia. Dijelaskan lagi: “Kira-kira 250 juta warga Islam tinggal di Asia Tenggara. Orang Islam di rantau ini mungkin golongan minoriti dalam dunia, tetapi mereka berperanan mengatur destini masa depan Islam iaitu bukan pinggiran atau tersisih.
“Indonesia negara Islam yang terbesar sekali dalam dunia, Malaysia negeri Islam yang dinamis dan moden, manakala Brunei salah sebuah yang terkaya sekali. Selain dari ketiga negeri majoriti Islam itu ialah golongan minoriti Islam di rantau ini, termasuk Thailand, Filipina dan Singapura serta lain-lain minoriti Islam di Indochina, tiap satu dengan keperibadian, aspirasi dan cabaran-
cabaran mereka.” Demikian dijelaskan.
Menurut bancian tahun 2000, 15 peratus penduduk Singapura beragama Islam, iaitu 14 peratus etnik Melayu (450,000 dari jumlah penduduk empat juta) satu peratus lagi ialah daripada kaum lain seperti Arab dan India.
Majoriti penduduk Republik Singapura ialah Cina 77 peratus dan etnik India tujuh peratus. Menurut Profesor Hussin, bilangan orang Cina memeluk agama Islam meningkat, tetapi jumlahnya masih kecil.
Nasib Melayu Singapura, dianggap berubah pada tahun 1963 manakala Singapura menyertai Malaysia dan dengan itu menjadi sebahagian daripada etnik majoriti Malaysia. Menjelang dua tahun keadaan berubah manakala Singapura berpisah dan Melayu Singapura kembali menjadi golongan minoriti.
Juga dicatat betapa perubahan yang berlaku. Berbanding keadaan sebelum merdeka, orang Islam Singapura tinggal dalam perumahan lebih baik dan lebih ramai para pelajar Islam mendapat pelajaran lebih baik. Lebih ramai Melayu kini termasuk dalam golongan “kelas menengah.”
Sejak 1966, hal ehwal Islam tertakluk kepada undang-undang Pentadbiran Islam yang membolehkan penubuhan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan pentadbiran masjid-masjid serta madrasah-
madrasah. Urusan-urusan menunaikan fardu haji dan wakaf juga disusun. “Dengan bantuan orang ramai Islam yang menderma wang kepada MUIS melalui potongan gaji bulanan dan zakat, maka MUIS telah menjadi badan yang ditadbir secara profesional dengan wang berjuta dolar.
Juga disebut ialah tindakan kerajaan Singapura menghindarkan sikap pelampau perkauman dan keagamaan. Ketika memuncak kemarahan umut Islam seluruh dunia dan anti Denmark kerana lukisan-lukisan kartun Nabi, maka Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengecam kartun-kartun tersebut kerana tidak sensitif kepada perasaan orang Islam, dua blogger Internet didakwa di bawah Akta Hasutan kerana menulis ulasan-ulasan anti-Melayu dan seorang lagi disoal oleh pihak polis kerana kartun-kartun anti-Kristian.
Menurut Profesor Hussin lagi, isu-isu yang dihadapi oleh minoriti Islam di Thailand dan Filipina lebih kurang sama. Bilangan warga Islam kira-kira lima hingga tujuh peratus sahaja daripada jumlah penduduk.
Islam merebak ke Filipina sekitar abad ke-14 melalui ahli-ahli perniagaan Arab dan para pendakwah. Menurut Profesor Hussin, penjajahan Sepanyol dan Amerika – mengubah sejarah Filipina, termasuk kedudukan dan peranan Islam di Filipina.
Di negara-negara Indochina pula warga Islam di Myanmar (Burma) cuma lima peratus, empat peratus di Kemboja dan hanya satu peratus di Vietnam serta Laos.
Muncul di Myanmar dengan jumlah penduduk 50 juta ialah masalah kaum Rohingya Islam. Sejak 1980-an lebih 250,000 telah melarikan diri ke Bangladesh.
Bilangan warga Islam di Vietnam pula kira-kira 800,000 orang (kurang dari satu peratus jumlah penduduk) Keadaan mereka tidak begitu jelas kerana tiada penyelidikan mengenai mereka dilakukan.
Bilangan warga Islam di Kemboja empat peratus daripada jumlah penduduk kira- kira 14 juta. Kerajaan Kemboja pernah memberi panggilan “Khmer Islam” kepada golongan Cham. Di wilayah Kampung Cham di tebing Sungai Mekong, 34 peratus penduduk beragama Islam.
Semoga nasib golongan minoriti Islam berkenaan mendapat perhatian lain-lain warga Islam yang telah mencapai kemajuan dan kemakmuran. Pun ada yang dihalau, tiada menerima zakat, tiada peluang naik haji atau rumah-rumah mereka dimusnahkan. Yang menjadi masalah bukan di Semenanjung Gaza sahaja.

ARKIB : 05/04/2009

Peralihan kuasa secara aman damai


MALAYSIA bertuah kerana kepimpinan seorang demi seorang Perdana Menteri yang begitu berjasa kepada negara dan rakyat sejak merdeka. Demikian pernah dinyatakan dengan tegas oleh Allahyarham Tan Sri Harun Hashim. Ini diulangi beliau dalam bukunya The Benchmark mengenai sistem kerajaan yang stabil dengan pilihan raya setiap lima tahun dan peralihan kuasa dari sesebuah kerajaan kepada yang berikutnya dengan aman damai. “Bila tiba waktunya Tunku Abdul Rahman bersara secara teratur, maka mengambil alih ialah Tun Abdul Razak, timbalannya selama 15 tahun. Manakala Tun Razak meninggal dunia, mengambil alih ialah Tun Hussein Onn.
“Dan manakala Tun Hussein meletakkan jawatan kerana sebab-sebab kesihatan, beliau diganti oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad... angin perubahan akan berlaku lagi di Malaysia, tetapi janganlah hendaknya ia angin yang membawa anarki dan huru-hara,” beliau menambah dalam makalah pada akhir tahun 1998.
Hal ini diulangi kemudian pada tahun 2004 oleh Hng Hung Yong, editor akhbar bahasa Inggeris dalam bukunya 5 Men & Ideas: Building National Identity lalu menyebat nama Datuk Onn Jaafar, Tunku, Tun Razak, Tun Hussein dan Tun Dr. Mahathir.
Jasa Datuk Onn ialah kerana mengembeling keperibadian Melayu, Tunku kerana memupuk penerimaan budaya masyarakat pelbagai kaum. Tun Razak kerana ekuiti ekonomi sebagai syarat utama perpaduan nasional, Tun Hussein kerana pemerintahan undang-undang dan Dr. Mahathir kerana dimensi antarabangsa keperibadian nasional.
Mereka memikul tanggungjawab yang menuntut jawapan. Pertama Datuk Onn (1946-51), Tunku (1951-70), Tun Razak (1970-76), Tun Hussein (1976-81) dan Dr. Mahathir (1981-2003). Tokoh berikut pula ialah Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003.
Lantas perhimpunan agung lalu membuka lembaran baru sejarah dengan memilih Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Lalu bergambarlah beliau pada hari akhir perhimpunan dengan Abdullah dan Dr. Mahathir. Gambar mereka penuh kesejahteraan bersama sebilangan pemimpin lain tentunya kelak menyerikan dewan perhimpunan UMNO.
Seperti dicatat adanya oleh penulis Baharom Mahusin dalam reaksinya, peralihan kuasa saat-saat perlu disambut dan “detik-detik menyuntik semangat menyemarakkan penyatuan baru Malaysia.”
Mendapat perhatian semua pihak betapa pemilihan terbuka dan bebas para pemimpin baru berlaku, iaitu yang seumpamanya tiada berlaku dalam parti-parti lain. Muncul Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden baru: Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin dan Datuk Mohd. Shafie Apdal. Sebaliknya tewas beberapa orang menteri kerajaan dan empat orang Menteri Besar.
Kini giliran Najib menjadi Perdana Menteri ke-6. Beliau telah pun mengumumkan langkah-langkah yang akan diambil untuk, antara lainnya meminda perlembagaan parti.
Berlaku di luar di samping itu ialah gesaan Pengerusi DAP Karpal Singh supaya Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng supaya membatalkan larangan ke atas Utusan Malaysia dan New Straits Times dari menghadiri majlis-majlis anjuran kerajaan negeri.
Menurutnya tidaklah wajar melarang akhbar-akhbar dan sepatutnya bersedia menerima kritikan. “Kita mendukung kebebasan akhbar,” beliau menambah.
Menurutnya lagi kenyataan Datuk Nik Aziz berhubung kempen memulaukan akhbar-akhbar arus perdana bertentangan dengan prinsip kebebasan akhbar.
Seorang pemberita akhbar Cina menyampaikan kepada tukang catat ini dua pantun yang menurutnya popular dahulu di kalangan orang Melayu dan Baba peranakan, berbunyi:
Berapa tinggi pokok pisang
tinggi lagi asapan api
berapa tinggi Gunung Ledang
tinggi lagi harapan hati.

Dua tiga kucing berlari
mana sama kucing belang
dua tiga dapat dicari
mana sama tuan seorang.

Pesanan selanjut pula nasihat Allahyarham Harun Hashim dalam satu lagi tulisannya mengenai UMNO. “Orang Melayu semula jadi baik hati dan liberal. Namun, awas peribahasa Melayu “diberi betis hendak paha” jangan ambil kesempatan murah hati mereka. Selepas lebih 50 tahun, sebab-sebab penubuhan UMNO tetap sahih dan demikianlah halnya tahun demi tahun kemudian nanti.”

ARKIB : 08/03/2009

Mahathir, Kassim dan sosialisme

Mendapat perhatian para pembaca ketika ini ialah buku Kassim Ahmad berjudul Mencari Jalan Pulang Daripada Sosialisme Kepada Islam dengan kata pengantarnya pula oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Oleh mantan Perdana Menteri disebut antara lainnya bahawa “seseorang insan akan melalui tiga fasa hidup dalam pegangan politik mereka, semasa muda mereka agak radikal dan mirip kepada pemikiran dan ideologi kiri. Apabila menempuh umur pertengahan pandangan dan pegangan mereka lebih mencerminkan centralist dan kecuali. Apabila sudah berumur mereka lebih suka mendokong sikap dan pandangan puak kanan atau konservatif.
“Saudara Kassim sudah melalui ketigatiga fasa ini. Bab yang awal lebih kepada ideologi terutama ideologi sosialis tetapi bab-bab yang terakhir banyak berbincang berkenaan agama iaitu agama Islam.”
Dr. Mahathir selanjutnya mengucap tahniah “kepada saudara Kassim, yang pada satu masa adalah musuh politik saya, kerana dapat mengulas pemikiran dan dasar berkenaan negara yang dicintainya dengan begitu jelas di samping menceritakan riwayat hidup dirinya.”
Kassim sendiri menjelaskan beberapa peristiwa dalam kehidupannya seperti “mengapa saya keluar dari PSRM (Parti Sosialis Rakyat Malaysia) yang saya pimpin selama 18 tahun dan kemudian memasuki UMNO”. Suatu lagi ialah debat “anti-hadis” yang tercetus berikutan dengan buku saya, Hadis - Satu Penilaian Semula” menyebabkan ia dicap “anti-hadis.”
Turut diceritakan ialah peristiwa setelah beliau menarik diri dari PSRM. “Ramai dalam parti saya dan gerakan kiri yang terkejut dan sedih dengan keputusan saya keluar dari parti. Penulis dan penyair Usman Awang (Tongkat Warrant), sahabat baik dari kami semua, menelefon saya dan bertanya:
“Dengan mengeraskan hati saya, saya jawab dengan kata-kata Hamlet dalam drama Shakespeare I have to be cruel in order to be kind. Maksud saya, kapal sosialis yang kita layari itu akan tenggelam. Lebih baik kita bersedia untuk meninggalkannya.”
Panggilan telefon dari Usman Awang itu dua kali disebut dalam memoir Kassim.
Beliau menulis kisah mengenai dirinya kembali kepada “jalan lurus” Islam dan menolak “jalan-jalan yang menyeleweng” falsafah liberalisme, falsafah Marxisme dan teokrasi.
Lalu disebut mengenai pembacaan buku-buku yang mengkritik sosialisme dan komunisme seperti buku The God That Failed (1950), iaitu “cerita enam orang bekas komunis tentang pengalaman mereka dalam gerakan komunis.”
Pada bab bertajuk Quran Datang Semula beliau menulis: “Ada banyak ajaran dalam dunia ini. Liberalisme, komunisme dan teokrasi – inilah tiga ajaran besar selain Islam. Ketiga-tiga ini menyeleweng daripada jalan yang lurus, yang ditunjuk dalam Quran.
“Inilah falsafah hidup yang saya cari dalam kehidupan saya. Saya mengambil masa 36 tahun, dikira daripada umur 17 tahun, untuk mencapai matlamat itu. Saya memberitahu anak-anak saya “ayah menjumpai Islam yang sebenar setelah belajar selama 36 tahun,”
Beberapa buah sajak oleh Kassim, 75, dipeturunkan, termasuk Pengembara Dalam Perjalanan (1978) berbunyi:
Aku seorang pengembara
di dalam perjalanan pulang
seperti matahari, gunung, lautan, pokok dan bintang
memilih jalan lurus
di antara jalan-jalan menyimpang
untuk pulang
Sebuah lagi buku yang menyentuh pertembungan masa lampau di antara Dr. Mahathir dan Kassim ialah Surat Daripada Dr. Mahathir oleh Zainuddin Maidin (Zam), mantan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu dan kemudian Menteri Penerangan. Pada satu bahagian Zam menulis:
“Dr. Mahathir sebenarnya tidak pernah percaya kepada sosialisme sebagai jalan ke arah memberikan persamaan kemakmuran kepada rakyat. Sejak awal lagi beliau percaya kepada kapitalisme dan kepada ekonomi pasaran bebas.
Dalam banyak ucapan dan tulisannya pada awal tahun 60-an Dr. Mahathir mengemukakan pandangannya bahawa orang sosialis dan komunis berjuang memperkecilkan kek dan kemudian cuba membahagiakan kek yang kecil itu kepada semua orang dengan sama rata. Tetapi, katanya kapitalisme membesarkan kek dan membahagi-bahagikannya.
Pada tahun 1971, Zam menulis lagi, apabila dikemukakan kepadanya tentang kepercayaan Kassim Ahmad bahawa pemimpin Vietnam Utara, Ho Chi Minh boleh menjadi contoh seorang pemimpin sosialis yang baik di Asia, Dr. Mahathir berkata: “Belum tentu. Dia masih belum berkuasa, kalau sudah berkuasa, dia akan berubah.”
Perkara ini timbul ekoran daripada satu forum di Universiti Sains Pulau Pinang di mana Kassim Ahmad semasa menjawab satu pertanyaan telah berkata: “Jika Sukarno tidak boleh diambil sebagai contoh kenapa tidak ambil Ho Chi Minh sebagai contoh pemimpin sosialis yang baik.” Demikian catitan Zam.
Pelbagai gambar disiarkan dalam buku Kassim, termasuk lawatan ke makam Karl Marx di London, gambar semasa ditahan di bawah ISA pada 3 November 1976, gambar pembebasan dan tahanan pada 30 Julai 1981 dan gambar bersama Saddam Hussein.
Akhir kata dari bukunya: “Selamat tinggal kepada dunia lama dan selamat datang kepada dunia baru, sebuah dunia yang adil, selamat dan bahagia untuk semua pasti akan lahir. Ini sunnatullah. Tetapi ia mesti berlaku dengan aktiviti kita.
Kitalah yang perlu bertindak, mengikut ajaran Tuhan dalam Quran, untuk membina dunia baru ini.”


ARKIB : 01/03/2009

Antara penyeksaan dan prasangka

Mengatur majlis dialog antara agama diakui bukan sesuatu yang mudah. Mencetus pertelingkahan bukan hanya perbezaan dan prasangka tetapi juga perhitungan politik dan kekuasaan.
Mengeruhkan suasana ialah pihak luar yang kenyataan mereka dilaporkan oleh media. Antaranya ialah seperti dicatat oleh The Islamic Texts Society (UK) dalam buku terbitannya, iaitu pandangan penulis pojok akhbar Times, London bernama Jonathan Meades.
Beliau menyatakan bantahannya kerana para tahanan di penjara Guantanamo telah diberi Quran dengan percuma untuk bacaan. Meades menyifatkannya seperti menghadiahkan buku karangan Hitler, Mein Kampf kepada para pemimpin Nazi Jerman yang menunggu perbicaraan di Nuremberg setelah tewas perang. Menulis dalam akhbar Times isu 26 Januari 2002, Meades juga membantah kerana para tahanan mendapat kebenaran untuk menunaikan solat. “Ia berupa ukuran sikap lemah kita manakala membenarkan bekas-bekas al-Qaeda di Guantanamo itu bersembahyang dan masing-masing dihadiahkan senaskah Quran.”
Kenyataan tersebut didedahkan dalam buku berjudul The Other in the Light of One: The Universality of the Quran and the Interfaith Dialogue oleh Dr. Reza Shah- Kazemi. Beliau menyebut betapa sejak beberapa tahun lalu Islam menyelami jiwa pelbagai pihak melalui unsur-unsur yang seumpama tidak pernah berlaku.
Lantas dijelaskan bahawa Quran menjadi kitab suci bagi lebih satu bilion umat Islam di seluruh dunia.
Menurut Dr. Shah-Kazemi lagi, kedahagaan kepada sastera Islam telah meningkat seperti dinyatakan oleh Jeremy Rifkin, Presiden Yayasan Ekonomi di Washington: “Sebagaimana yang ramai lagi, maka saya membaca hal-hal berkaitan agama Islam. Tujuh dari 15 buku paling laris dalam senarai akhbar New York Times adalah tertumpu kepada agama Islam.
“Quran menjadi kita paling laris sekali. Seluruh dunia menjadi seperti bilik darjah manakala kita cuba menyelami peristiwa tragedi 11 September.”
Dr. Shah-Kazemi menambah bahawa dalam Islam adalah pelbagai budaya, tradisi, pandangan dan sikap. Tumpuan mesej Islam ialah perpaduan umat.
Sikap Meades berbeza dari bekas Perdana Menteri British, Tony Blair yang kini membawa kitab injil dan juga Quran ke sana-sini dalam mengendalikan pelbagai urusannya. Beliau kerap menjelaskan kepada para hadirin beragama Kristian bahawa Islam menghormati Nabi Isa.
Kenyataannya itu disebut dalam temuramah dengan majalah New York pada 5 Januari lalu. Beliau telah menyertai Mazhab Katolik selepas bersara daripada jawatan Perdana Menteri, iaitu mazhab pilihan isterinya dari dulu lagi.
Wajar dicatat dalam konteks ini ialah buku berjudul The Documents of Vatican II berikutan beberapa persidangan para pemimpin Mazhab Katolik pada tahun 1963-1965. Antara dokumen yang diluluskan dan penjelasan mengenainya ialah sikap Katolik terhadap orang Islam: “Mengenai orang Islam, maka gereja menghormati mereka. Mereka mengasihi Tuhan yang satu, abadi dan belas kasihan serta maha berkuasa.”
Selanjutnya dinyatakan: “Walaupun mereka tidak mengakui Jesus sebagai Tuhan mereka menghormatinya sebagai nabi.”
Menjadi tanda tanya bagi Meades yang anti-Islam ialah sikapnya mengenai penyeksaan demi penyeksaan yang telah berlaku di penjara Guantanamo. Ramai tahanan meringkuk di penjara tersebut hingga selama tujuh tahun tanpa perlindungan undang-undang antarabangsa atau perlembagaan Amerika. Mereka tidak diberi kesempatan adil untuk membuktikan bahawa mereka tidak bersalah.
Hal ini dilaporkan oleh akhbar Honolulu Advertiser, antara lainnya. Lalu diumumkan keputusan Presiden Barack Obama bahawa penjara Guantanamo akan ditutup dalam masa setahun.
Obama mengumumkan keputusannya pada hari kedua ia menjadi Presiden Amerika. Jelas bahawa beliau mahu menebus kehormatan negaranya setelah bertalu-talu pihak media Amerika sendiri mendedahkan pelbagai tindakan kejam yang telah dilakukan ke atas para tahanan. Hal-hal tersebut juga berlaku di penjara Abu Gharib di Iraq.
Antara yang berlaku ialah yang dipanggil waterboarding dan rendition. yang pertama dilakukan ke atas tahanan yang dipaksa baring atas papan. Tiga helai tuala kemudian di atas mukanya. Ia selanjutnya diletak di bawah paip air yang mencurah-curah ke atas hidungnya hingga hampir lemas.
Rendition pula bererti tahanan-tahanan dihantar dengan kapal terbang ke negara lain untuk diseksa. Cara lain juga disebut oleh akhbar Honolulu Advertiser dalam laporan, serta janji Presiden Obama melarang penyeksaan-penyeksaan kejam seumpama itu.
Kepada Meades dengan prasangkanya terhadap Islam ditujukan sebuah kenyataan Harold Bloom, sarjana sastera keturunan Yahudi di Amerika mengenai Nabi Muhamad SAW. “Tiada orang lain dalam sejarah manusia menyampaikan kepada kita firman Tuhan. Kita tidak boleh bersantai manakala membaca Quran atau melafaz ayat-ayatnya sama ada bersendirian atau bersama orang-orang lain.”


ARKIB : 22/02/2009

Orang miskin AS jadi mangsa


Ada gambar bernilai seribu perkataan, demikian peribahasa Cina. Suatu contoh ialah gambar ini yang disiarkan dalam terbitan terbaru majalah Vanity Fair mengenai kegawatan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dewasa ini hingga merebak ke beberapa negara lain yang terpaksa mengadakan program rangsangan. Pada bahagian atas ialah gambar iklan yang pernah disiarkan oleh pelbagai akhbar dan majalah AS beberapa waktu dulu yang menunjukkan suatu keluarga kulit putih yang berada dalam kereta mereka. padanya ditulis There's no way like the American Way.
Gambar di bahagian bawah menunjukkan sebilangan warga kulit hitam "berbaris untuk menerima bantuan makanan dan bekalan air di bandar Louisville, Kentucky pada tahun 1937." Rencana mengenai kegawatan ekonomi dewasa ini di Amerika menyatakan betapa sebab ia merebak, antara lainnya:
Inflasi telah meningkat hingga enam peratus, iaitu paling tinggi dalam tempoh 17 tahun. Pengangguran meningkat hingga enam peratus dan tiada pengambilan pekerja baru di peringkat swasta hingga hampir setahun.
Harga rumah cepat sekali menurun dan banyak yang dilelong kerana pinjaman bank tidak dapat dibayar. Beberapa buah bank mengisytiharkan kerugian, iaitu beberapa bulan setelah para pegawai atasan menerima bonus lumayan.
Bekas Presiden Bush mewarisi kelebihan bajet berjumlah AS$128 bilion dari Presiden Bill Clinton. Pada tahun 2008 hutang negara meningkat hingga AS$10 trillion . Di samping itu Amerika terpaksa membelanjakan wang begitu banyak untuk peperangan di Iraq dan Afghanistan.
Berjuta warga Amerika telah kehilangan rumah kerana tidak mampu membayar balik pinjaman. Apa yang berlaku pada keseluruhannya ialah seperti seorang ditimpa pelbagai penyakit kerana merokok, terlalu banyak minum arak, terlalu banyak makan, kurang riadah menjaga kesihatan dan lain-lain lagi. Lalu disebut bahawa yang merbahaya ketika ini ialah kita terus mendengar pandangan orang-orang yang sama di Wall Street dan pakar-pakar ekonomi sedangkan mereka itulah yang menjerumuskan kita.
Sesuatu yang aneh sekali ialah manakala individu-individu yang kaya melalui spekulasi di pasaran saham dan jual beli hartanah membayar cukai lebih rendah dari yang dibayar oleh golongan menengah yang bergantung kepada gaji mereka saja dan bekerja 50 jam setiap minggu kerja.
Menghalau yang miskin kerana tidak membayar pinjaman bank bukan hanya suatu tragedi, tetapi juga tidak bererti. Rumah mereka terbengkalai manakala mereka pindah ke tempat lain. Para pegawai bank sepatutnya sedar betapa bank sendiri kerugian kerana rumah-rumah yang kosong jatuh harga.
Parti Republikan yang berkuasa selama lapan tahun sering menganjurkan potongan cukai, terutama bagi orang kaya untuk mengatasi kepincangan ekonomi. Sebaliknya pemotongan cukai pada tahun 2001 dan 2003 telah mencetuskan krisis ekonomi. Demikian antara sebab-sebab berlakunya kegawatan ekonomi Amerika semasa pentadbiran Presiden Bush selama lapan tahun.
Akhirnya pada minggu lalu Kongres Amerika-Dewan Perwakilan dan Dewan-Senat telah meluluskan rangsangan ekonomi berjumlah AS$787 bilion setelah Presiden Barrack Obama mendesak ia diluluskan segera.
Kali pertama Amerika mengalami krisis ekonomi yang dipanggil Wall Street Crash di New York ialah pada tahun 1929 hingga membawa akibat kepada negara-negara lain.
Bagi tukang catat ini ialah beberapa laporan yang ditulis oleh Lee Siew Yee (Tan Sri), bekas Ketua Pengarang New Straits Times, mengenai akibatnya di Malaya waktu itu. Beliau menulis:
"Seseorang yang melalui negeri Perak akan melihat di kiri - kanan jalan raya beratus keluarga penoreh getah yang telah dihalau dari tempat tinggal mereka di ladang-ladang getah yang tidak lagi ditoreh."
Mereka bertenggek di tepi jalan, dikelilingi periuk, belanga dan barang-barang kepunyaan mereka. Jauh dari jalan-jalan raya pula, iaitu tidak kelihatan kepada yang lalu lintas ialah ramai lagi yang menderita kerana kemiskinan. Mereka ialah keluarga-keluarga para pekebun kecil. Pokok-pokok getah mereka tidak lagi ditoreh kerana tidak ada yang membeli keping-keping getah mereka.
Tiada yang melaporkan nasib malang mereka itu. Pada waktu itu tiada siapa menyiasat dan melaporkan secara mendalam keadaan mereka." Demikian catatan Lee Siew Yee.
Mereka yang diusir dari estet-estet getah ialah penoreh-penoreh India. Pekebun-pekebun kecil getah pula ialah orang Melayu. Jelas bahawa pada ketika itu tiada akhbar yang menyampaikan laporan kepada para pembaca, kepada orang ramai dan kepada para pegawai penjajahan Inggeris yang memerintah.
Jelas juga bahawa waktu dahulu sesetengah akhbar lebih cenderong perhatian mereka kepada hal-hal yang berlaku di bandar, bukan kepada apa yang berlaku di kampung-kampung atau daerah-daerah pendalaman.
Menjadi tanda tanya: Setakat mana sensitiviti para pemberita dan wartawan dulu dan kini?

ARKIB : 15/02/2009

Catatan dari buku Surat Dr. Mahathir

POLITICAL Euphoria. Istilah dari kancah politik dunia Barat menurut kenangan pembaca ketika membaca buku berjudul Surat Dr. Mahathir oleh Zainuddin Maidin, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Kerana kegirangan politik yang seumpama juga berlaku dalam masa interaksi mereka.
Hubungan di antara kedua meliputi pelbagai bidang. Ada kalanya akrab kerana pandangan politik yang sejurusan.
Pertemuan pertama mereka berlaku puluhan tahun lampau ketika Zam tinggal “di perkampungan haram Seberang Kereta Api Sungai Korok, lebih sebatu dari Bandar Alor Setar, di sebuah rumah buruk, sebuah keluarga miskin sedang menghadap lelaki tua yang sedang uzur.“ ”Ibunya segera menyuruhnya memanggil doktor dan ia terus berlari ke bandar. Dicatat seterusnya:
“Doktor, datuk saya sakit teruk,
“Di mana?
“Di Seberang Kereta Api Sungai Korok, masuk ikut lorong Sekolah Najat sehingga ke penghujung jalan dan terpaksa jalan kaki ke rumah saya kerana kereta tidak boleh masuk.
“Baiklah, pulang dahulu, nanti saya datang.”
Tidak lama kemudian doktor pun datang. Dia tidak bercakap banyak, hanya memeriksa dan memberikan ubat kepada pesakit. Apabila ditanya tentang bayarannya, doktor berkata: “Berapa yang ada berilah.” Ibu memberikannya dua ringgit dan doktor mengambilnya lalu pulang.
Peristiwa yang dialami lebih 30 tahun dahulu itu meninggalkan kesan yang mendalam di jiwa saya hingga ke hari ini. Pada masa itu, doktor tidak mengenali saya dan saya pun tidak pernah menemuinya. Ketika itu saya masih belajar di Maktab Mahmud Alor Setar. Langkah saya ke kliniknya semata-mata didorong oleh cerita dari mulut ke mulut tentang seorang doktor yang baik di Bandar Alor Setar, Dr. Mahathir Mohamad, Demikian catatan pertama Zam.
Di waktu itu Dr. Mahathir memiliki kereta “paling besar di bandar Alor Setar iaitu kereta Pontiac yang menyaingi kereta besar beberapa orang doktor bukan Melayu,” Zam menambah.
Diceritakan selanjutnya ialah beberapa peristiwa semasa Dr. Mahathir 22 tahun menjadi Perdana Menteri dan lebih 60 tahun dalam arena politik negara. Zam sendiri menjadi pemberita Utusan Melayu hingga menyandang jawatan ketua pengarang. Dengan itu interaksi mereka berlanjutan.
Oleh Zam disebut bahawa watak kewartawanan sukar dipisahkan daripada dirinya. “Maka itu adalah tepat sekali deskripsi yang dibuat oleh Dr. Mahathir dalam majlis pelancaran buku tulisan saya. Tun Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot bahawa “Zam adalah kawan saya tetapi kawan yang adakalanya menyukar.”
Lalu Zam mengulangi kenyataan Dr. Mahathir dalam satu majlis Kelab Akhbar Malaysia pada akhir 1980-an ketika Zam menjadi presiden, iaitu kritik terhadap sikap media selalu mendakwa bersuara bagi pihak rakyat. “Tuan-tuan tidak dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya, bagaimanakah tuan-tuan boleh mendakwa bercakap bagi pihak rakyat?”
Zam kemudian menjawab dalam ucapannya: “Kami dipilih oleh rakyat setiap hari, orang ramai membeli akhbar setiap hari, selagi akhbar laku, maka selagi itu kami percaya bahawa kami dipilih oleh rakyat, apabila pasaran akhbar meningkat, bererti semakin ramai rakyat yang memilih kami, suara kami semakin kuat dan semakin sah apabila pasaran semakin tinggi.”
Lain hal berlaku, Zam menyambung cerita: “Apabila saya disingkirkan daripada jawatan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan pada akhir 1992, kerana isu bahasa, saya telah menemui Dr. Mahathir bukan untuk meminta disambung kerja tetapi untuk mengetahui sendiri apakah benar beliau sendiri yang mahu menyingkirkan saya. Dr. Mahathir menyatakan: “Zam, saya tak boleh buat apa-apa lagi, semua Majlis Kerja Tertinggi telah menghentam you, saya berpuas hati.”
Penyingkiran itu “tidak terus memisahkan saya daripada Dr. Mahathir,” Zam menambah.
Juga dicatat ialah “kerajinan” Dr. Mahathir menulis surat kepada Zam ketika beliau masih berada di Alor Setar dan Zam menjadi wartawan di Kuala Lumpur dan semasa menjadi wakil Utusan di London ketika Dr. Mahathir menjadi Menteri Pelajaran dalam tahun 1975-1976.
Bab Surat Daripada Dr. Mahathir menyebut antara hasil interaksi kedua. “Memahami caranya berfikir dan bertindak selama beberapa tahun terutama ketika beliau berada dalam krisis politik memudahkan saya mengendalikan Utusan Melayu dan Utusan Malaysia ketika saya menjadi Ketua Pengarangnya dari tahun 1982-1992 dan semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Surat daripada Dr. Mahathir berupa tambahan kepada buku berjudul Mahathir Di Sebalik Tabir dan pelbagai peristiwa mengenai persaraan beliau. Pada suatu ketika Zam menulis: “Saya menangis seorang diri di bilik kerja di rumah,” ketika mengenang kembali pelbagai peristiwa.
Dari asal anak miskin beliau menjadi wartawan, mendapat fellowship Universiti Michigan, menjadi Ketua Pengarang akhbar dan kemudian menjadi Senator, Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri dan Menteri Penerangan. Juga dicatat ialah penghargaan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, seperti ditulis: “Saya amat menghargai Dr. Mahathir yang mengenang jasa saya kepadanya. Beliau membalas budi kepada saya sebagai wartawan. Sementara Abdullah rakan sejawat saya yang mempunyai latar belakang hampir sama dengan saya telah melihat potensi mengekalkan saya, mengesahkan pengiktirafan yang diberikan oleh Dr. Mahathir kepada saya dengan mengangkat saya menjadi menteri penuh.”
Zam mencatat antara lain nasihat Dr. Mahathir kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu dalam UMNO: “Dalam politik yang penting sekali ialah acceptability dan intelligence adalah yang kedua.”
Surat dari Dr. Mahathir kepada Zam di London pada 29 November 1975: “Coret-coret dari London masih saya baca tetapi tidak begitu menarik pada masa-masa yang lampau ini. Nampak saudara begitu tertarik dengan adat resam British Yes, what do you want, love? Dan sebagainya.” Dan lain-lain surat.

ARKIB : 08/02/2009

Mengimbas jasa Tun Dr. Ismail


Antara yang dilupai oleh sesetengah aktivis politik dan tidak begitu diketahui oleh pihak-pihak lain ialah pidato bersejarah Tun Dr. Ismail (1915-1973) ketika Malaya menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 17 September 1957. Pada waktu itu beliau menjadi diplomat pertama Malaya ke PBB dan Duta Besar Malaya yang pertama ke Amerika Syarikat. Oleh beliau adanya telah ditegaskan, "Kami di Malaya mempunyai tiga kaum utama: orang Melayu, Cina dan India, yang hidup bersama generasi demi generasi dengan aman damai dan harmoni. Perbezaan agama dan latar belakang -budaya, perbezaan status ekonomi dan sosial tidakpun menjadi rintangan untuk mewujudkan perpaduan nasional ketiga kaum itu.
Keinginan utama kami ialah mempunyai hak dan tuah untuk hidup sebagai bangsa yang merdeka dan bersatu-padu di kalangan bangsa-bangsa yang bebas di seluruh dunia. Pencapaian cita-cita itu melalui cara-cara aman, damai dan berperlembagaan, melalui rundingan-rundingan persahabatan dan semangat kompromi adalah hasil keteguhan moral semulajadi ketiga kaum itu yang hidup di Malaya di waktu itu."
Demikian antara catatan buku berjudul Malaya's First Year At The United Nations: As Reflected in Dr. Ismail's Reports Home to Tunku Abdul Rahman (terbitan Institut Pengajian Asia Tenggara, Singapura 2009). Kandungannya disusun oleh Taufik Ismail dan Ooi Kee Beng.
Dr. Ismail dilantik menyandang kedua jawatan itu oleh Tunku dengan fahaman bahawa kedua pelantikan adalah untuk kira-kira setahun sahaja. Beliau menyertai UMNO pada tahun 1951 selepas perletakan jawatan Dato' Onn Jaafar dan Tunku menjadi Presiden UMNO.
Pada permulaan pidatonya di PBB beliau menjelaskan: "Saya berucap pada hari ini dalam sebesar-besarnya perhimpunan agung pelbagai bangsa ini sebagai wakil sebuah negara kecil yang mempunyai 6 juta rakyat saja dalam suatu wilayah yang besar cuma 50,000 batu persegi." Malaya menjadi ahli Bangsa-Bangsa Bersatu yang ke-82.
Mendapat perhatian semua pihak ialah Dr. Ismail berpakaian kebangsaan Melayu lengkap dengan tengkolok dan sebilah keris di pinggangnya, itu kali pertama sesuatu senjata dipakai dalam Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu.
Beliau berucap sekali lagi dalam debat PBB pada 25 September 1957 mengenai pelbagai masalah yang timbul di Afrika, Timur Tengah dan negara-negara Asia akibat penjajahan.
Tegasnya, penaklukan pihak penjajah menyebabkan negara-negara yang dijajah itu digunakan sebagai gadaian dalam persaingan ideologi yang berlaku ketika itu.
Lalu beliau melafaz sebuah peribahasa Melayu, "Gajah berjuang, rumput juga yang berasa." dengan terjemahan bahasa Inggeris when elephants clash, it is the grass that is destroyed.
Dalam satu persidangan PBB pada 26 September 1958 pula Dr. Ismail menyatakan rasa kesal mengenai nasib Algeria masih dijajah oleh Perancis. "Rakyat Algeria berhak menikmati kebebasan dan kemerdekaan," beliau menambah.
Juga disebut ialah nasib sedih kulit hitam di Afrika Selatan yang dikuasai oleh rejem kulit putih dengan dasar Apartheid. Demikian seterusnya nasib negara-negara Arab di bawah telunjuk pihak-pihak penjajah.
Pada tahun 1964 setelah menang sekali lagi dalam pilihan raya kawasan Johor Timur, Dr. Ismail dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri. Pada bulan September beliau mengetuai ketua delegasi Malaysia dalam debat Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai pencerobohan Indonesia, diwaktu konfrantasi.
Pada tahun 1970 beliau berlepas ke London untuk menjalani rawatan sakit jantung selama sembilan minggu. Namun, di waktu ketiadaannya itulah Presiden Suharto yang melawat Malaysia mengurniakan pingat kehormatan Republik Indonesia kepada Dr. Ismail.
Pada bulan September, Perdana Menteri baru, Tun Abdul Razak melantik beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri. Dr. Ismail kemudian berlepas ke New York untuk sambutan ulangtahun ke-25 Bangsa-Bangsa Bersatu.
Beliau meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 di rumahnya di Jalan Maxwell (dinamakan semula Jalan Tun Dr. Ismail kemudiannya) dan dikebumikan di Makam Negara.
Sebuah lagi buku mengenai diri beliau ialah Bukan Kerana Pangkat oleh Ooi Kee Beng. Turut dicatat ialah kata-kata pendahuluan oleh K. Kesavapany, Pengarah Institut Pengajian Asia Tenggara, Singapura. Bagi beliau Tun Dr, Ismail terkenal "sebagai insan yang berprinsip."
Menurutnya lagi Tun Dr. Ismail berdiri sebagai "tunggak ketabahan" di bawah kepimpinan dua Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak. Beliau menambah. "Tun Ismail bukan ahli politik dalam erti kata yang lazim. Dia lebih merupakan pentadbir yang cekap, yang sudah sewajarnya menjadi orang kanan dan harapan Tunku dan Tun Razak. Tun Ismail manusia yang berprinsip, jujur dan paling utama, tegas membezakan mana yang betul dan mana yang salah."
Semoga Tuhan mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah.

ARKIB : 01/02/2009

Saluran bahasa Parsi cetus persoalan

KENAPA gerangan BBC London melancarkan mulai 14 Januari lalu siaran televisyen dalam bahasa Parsi, iaitu kira-kira lima bulan menjelang pilihan raya Presiden Iran?
Telah pun mengadakan siaran bahasa Parsi ialah Suara Amerika. Di samping itu lebih 10 program sama dari empat tempat lain, kebanyakannya di Los Angeles. Menjadi tanda tanya lanjut: Kenapa kuasa-kuasa Barat mengadakan siaran dalam pelbagai bahasa negara-negara yang pernah mereka jajah dan takluki dahulu?
Persoalan mengenai agenda politik timbul setelah tersiar berita mengenainya dalam akhbar Times dan Financial Times, London. Lalu dilaporkan reaksi dari Teheran. Seorang Menteri Iran yang bertanggungjawab mengenai aspek perisikan, Gholam Hussein Mohsen Ejei berkata: “Agensi-agensi perisikan asing boleh menggunakan pelbagai kemudahan kewartawanan untuk kegiatan-kegiatan mereka, dan ini mungkin meningkat menjelang pilihan raya Presiden kelak.”
Kerajaan British telah mengadakan peruntukan sejumlah 15 juta Pound (1 Pound = RM6) untuk siaran baru BBC itu yang telah pun melantik kira-kira 100 petugas dari Iran. Tetapi pihak berkuasa Iran melarang pembukaan pejabat di Teheran.
Ketua Perkhidmatan BBC bagi Negara-negara Asia dan persisiran Pasifik, Behrouz Afagh memberitahu bahawa pihaknya tidak akan berat sebelah dalam laporan-laporannya dan pegawai-pegawai Iran boleh menyatakan pandangan mereka. Namun, beliau mengakui kesulitan membuat liputan mengenai Iran dari London.
Saluran bahasa Parsi akan diadakan selama lapan jam tiap hari, termasuk program muzik, seni dan budaya, sains, teknologi, sukan dan kegiatan belia.
Juga dijelaskan bahawa matlamat siaran bahasa Parsi itu ialah untuk memupuk dialog, bukan untuk tujuan “menukar rejim pemerintah”. Kerana ia hanya satu dari siaran 32 bahasa BBC London termasuk bahasa Arab.
Dalam masa itu dijelaskan juga bahawa bahasa Parsi menjadi bahawa utama di Iran, Afghanistan dan Tajikistan di bahagian Asia Tengah.
Pihak berkuasa Iran dikatakan tidak begitu bimbang dengan pelbagai program oleh pendatang asing dan kadang-kala menyiarkan filem yang mengkritik kerajaan. Tetapi siaran warta berita oleh saluran-saluran berita yang dibiayai oleh kerajaan-kerajaan asing mencetus keraguan.
Lantas akhbar Inggeris memetik kenyataan jurucakap persatuan kebebasan akhbar, Mashallah Shamsolvaezin “Regim Iran bimbang bahawa orang ramai akan bertukar sikap iaitu mengenepikan saluran-saluran berita nasional untuk mengikuti warta-berita televisyen luar negeri pula,”
Dalam konteks menjalin hubungan akrab lain hal dilakukan oleh para menteri atau orang politik. Menteri Luar British, David Milibank bermalam bersama Rahul Ghandhi di sebuah kampung di India. Keduanya makan malam bersama (makan tangan) hidangan India dan tidur atas katil (charpoy).
Milibank, 43 tahun, lulusan Universiti Oxford manakala Rahul, 38 tahun, lulusan Universiti Cambridge telah disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri negara masing-masing. Ayahnya Rahul mati dibunuh oleh pelampau Hindu dalam satu peristiwa dan demikian juga nenek perempuannya, Indira Gandhi.
Lain hal juga dilakukan oleh pihak keagamaan. Sebuah pertubuhan bernama Christian Aid mengadakan bantuan di Timur Tengah sejak 50 tahun lalu “tanpa mengira agama warga yang dibantu.”
Dalam keadaan dewasa ini ia mengutip derma untuk membantu ribuan mangsa perang di Genting Gaza. Wang derma sebanyak 23 pound diberi kepada tiap seorang untuk rawatan doktor dan 41 pound untuk bahan-bahan makanan bagi tiap keluarga lima orang untuk seminggu.
Iklan Christian Aid dalam akhbar-akhbar merayu bantuan wang untuk mangsa perang. Ertinya kutipan derma bukan dilakukan di Malaysia dan lain-lain negara Islam sahaja.
Berupa saluran utama berita-berita perang di Gaza selama tiga minggu ialah Al Jazeera, milik kerajaan Qatar. Ia satu-satunya saluran berita televisyen asing mengirim secara langsung warta berita dari Gaza, dan menewaskan CNN serta BBC.
Seperti berulang dilaporkan oleh semua pihak selama tiga minggu pencerobohan di Gaza pihak berkuasa Israel melarang semua wartawan asing masuk ke Gaza.
Antara yang mengirim berita melalui al Jazeera ialah Ayman Mohyedin, 28 tahun, warga Amerika keturunan Mesir dan Palestin. Menurut laporan akhbar Inggeris mengenainya, Al Jazeera menyalurkan berita dalam 105 buah negara, termasuk Israel. Ertinya laporan beliau berbeza dari laporan televisyen Israel.
Mohyeldin menyatakan rasa kesal kerana tidak dapat menembusi pasaran Amerika. Antara sebab ialah permusuhan pentadbiran bekas Presiden Bush. Akibatnya siaran berita Al Jazeera terbatas kepada beberapa buah wilayah saja di Amerika. “Laporan kami tidak sampai kepada rakyat secara menyeluruh dan berkesan.” beliau memberitahu.
Kerana terus berada di Gaza waktu perang itu Mohyeldin dan rakan-rakannya menyaksikan sendiri kesan-kesan tembakan meriam dan pengeboman ke atas hospital-hospital, rumah-rumah dan sekolah-sekolah tempat perlindungan warga Palestin yang terpaksa pindah dan mencari tempat-tempat yang selamat.
Tiada pun kenyataan maaf dari Israel mengenai serangan bertalu-talu ke atas orang awam dan bangunan-bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Apakah kerana itu wartawan-wartawan asing, termasuk dari negara-negara Barat dulu dilarang masuk wilayah Gaza? Termasuk BBC yang kemudian dikecam oleh kerajaan British dan aktivis kerana berkeras dengan pendiriannya tidak mahu menyiarkan rayuan bantuan kecemasan bagi penduduk Gaza.

ARKIB : 25/01/2009

Sejarah bukan sekadar nostalgia

BAGI para pembaca akhbar Melayu pelancaran wajah baru Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia berupa kesinambungan peranan akhbar-akhbar Melayu keseluruhannya dari zaman penjajah. Perjuangan membela tanah air, bangsa, agama, bahasa berterusan melalui kesilihbergantian para petugas.
Pelbagai keadaan berubah termasuk beradanya dewasa ini internet dan para penulis yang dipanggil bloggers serta wujudnya ciitizen juornalism tanpa berpandu kepada kod etika kewartawanan. Berikutan itu politik negara boleh berkecamuk.
Perubahan juga berlaku pada pihak-pihak lain. Pada tahun 1922, umpamanya, akhbar Straits Times dipanggil “Colonial thunderer” sebagaimana akhbar Times di London diberi gelaran “Thunderer” kerana mewakili pihak atasan yang berkuasa.
Lalu pada awal 1950-an editor-editor warga Inggeris mengkritik kesatuan wartawan Singapura (Singapore Union of Journalists) kerana mengirim memorandum kepada Suruhanjaya Perlembagaan Rendel. Memorandum tersebut dianggap sebagai tindak-tanduk politik yang negatif. Tidak ada perkataan merdeka bagi editor-editor asing itu.
Majlis pelancaran wajah baru Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia minggu lalu mengenangkan kembali sambutan Ulang Tahun ke-40 Kumpulan Utusan Melayu pada 29 Mei 1970. Antara yang dicatat ketika itu:
“Bagi sesebuah akhbar yang mencapai umur itu bererti ia lebih “tua” dari manusia biasa, dan lebih tua dari sesiapa juga yang bertugas dengannya. Ini ialah kerana akhbar itu bukan sekadar mengalami peristiwa individu tetapi juga pengalaman satu bangsa, apatah lagi di Malaysia bangsa Malaysia itu terdiri dari pelbagai kaum, pelbagai agama atau kepercayaan dan pelbagai budaya.
Kalau dulu Utusan Melayu turut di barisan depan memperjuangkan kemerdekaan maka pada ketika ini Utusan Melayu mesti di barisan depan juga untuk mengisi kemerdekaan itu demi kesejahteraan negara dan rakyat. Jelas bahawa para petugas Utusan adalah menjadi “agen perubahan”. Mereka bukan hanya tukang catat instant history tetapi juga mengambil peranan aktif dalam edaran sejarah bangsa dan negara yang meliputi bidang politik, agama, bahasa dan budaya, ekonomi dan sosial.” Demikian catatan waktu umur 40 tahun.
Pilihan raya demi pilihan raya diadakan hingga pada bulan Mac tahun lalu yang membawa beberapa perubahan. Akhbar-akhbar Utusan diboikot di Perak, Selangor dan Pulau Pinang setelah dikuasai oleh pihak opisisi.
Namun, akhbar Mingguan Malaysia masih di tahap pertama pengedaran akhbar apa juga bahasa. Kesetiaan dan simpati para pembaca Utusan dihargai.
Beberapa isu dibicarakan secara bebas dan terbuka oleh akhbar-akhbar pelbagai bahasa, termasuk kemungkinan menubuh parti-parti politik bukan perkauman. Juga dibangkitkan ialah hal-hal bersangkutan dengan kontrak sosial yang dulu telah pun dipersetujui.
Pernah disebut bahawa politik adalah sejarah, dan sejarah adalah politik. Dalam pada itu ada wartawan yang bertindak sebagai gembong politik. Dan ada pula gembong politik menjadi wartawan.
Satu dua kisah dari waktu lampau berupa permulaan dalam hal ini. Pertama, peranan Boestamam yang diterima bekerja oleh akhbar majlis di Kuala Lumpur. Gajinya RM25 sebulan, sama seperti gaji di akhbar Warta Kinta di Ipoh. Sebagaimana diketahui beliau kemudian bergiat dalam dunia politik hingga menjadi pemimpin Parti Rakyat.
Seorang lagi ialah Ibrahim Yaakub yang berkhidmat dengan Utusan Melayu dan kemudian menjadi tuan punya akhbar Warta Malaya, kepunyaan saudagar Arab di Singapura. Ini berlaku sebelum tentera Jepun menyerang dan menakluki Malaya dan Singapura.
Ibrahim Yaakob kemudian menawar gaji RM60 sebulan kepada Boestamam sebagai penulis khas Warta Malaya.
Boestamam dalam bukunya Memoir Seorang Penulis menulis betapa Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pernah berkata padanya dalam bahasa Inggeris: If you fins you cannot work anymore, just tell me, and we will part as friends. Kerana keduanya dari parti-parti politik yang bersaing. Boestmam kemudian berkhidmat dengan Utusan Melayu dengan gaji RM600 ringgit sebulan.
Jelas bahawa sejarah bukan nostalgia dan kepada yang ingin menjadi editor diberi nasihat: Jangan menjadi editor jika tidak boleh ditegur sapa. Apatah lagi jika dalam sesebuah akhbar terdapat para petugas yang berbeza sikap politik mereka.
Ada kalanya juga jaringan konspirasi politik menjadi perangkap. Namun, semua mahu terus jadi wartawan. Kesilihbergantian terus berlaku.

ARKIB : 18/01/2009

Gaza ulangi nasib Lebanon


Sebuah buku yang dikirim pada 24 Mei, 1983 oleh Rosnah Majid, penulis rencana pengarang Utusan Malaysia, ketika dulu berada di San Francisco, dibaca kembali oleh tukang catat ini setelah hari demi hari mengikuti laporan pelbagai tragedi di Genting Gaza. The Longest War: Israel in Lebanon (Vintage Books, New York) demikian tajuk buku bahasa Inggeris itu yang diterjemah dari bahasa Sepanyol. Ia ditulis oleh Jacobo Timerman, yang telah bermastautin di Tel Aviv, Israel. Ia dibaca sekali lagi untuk mengetahui setakat mana pencerobohan di Lebanon berulang kini di Gaza.
Buku tersebut ditujukan kepada Major Giora Harnik dari tentera Israel yang mati dalam minggu pertama pertempuran di Lebanon. Walhal ia aktivis Gerakan Keamanan di Israel dan "ia menentang peperangan dalam mana ia membunuh dan kemudian mati."
Timerman menambah, "saya berharap buku ini akan menolong kita sekalian. Tetapi saya tidak begitu pasti. Kerana kita warga Israel kekeliruan dan berasa takut. Malah ibu Giora Harnik menulis: Kalau kita mahu berperikemanusiaan, adil dan menjadi anggota masyarakat yang tidak berlaku curang, maka kita mesti pastikan bahawa pedang kita bersih dan hanya dihunus untuk mempertahankan diri.
Berikut antara pelbagai catatan Timerman juga wartawan, mengenai mengenai perang yang dilancarkan oleh Israel ke atas Lebanon: "General Ariel Sharon melancarkan serangan mulai jam 11 pagi Ahad 6 Jun, 1982. Bagi saya perang bermula enam belas jam sebelumnya itu kerana anak sulung saya Daniel telah dikerah untuk berkhidmat dalam pasukan tentera.
"Warga Israel tidak berasa sebenarnya bahawa mereka dalam kancah peperangan manakala angkatan udara mengebom pangkalan-pangkalan Arab. Ini kerana kesemua kapal terbang itu selalu, hampir selalu, kembali ke pangkalan.
"Permulaan peperangan itu tidak begitu rumit. Pada hari pertama kami agak bosan dengan berita-berita. Pada hari kedua pula berita-berita kemenangan, pada hari ketiga kami cuba mempastikan apa yang sebenarnya berlaku. Bagi kami warga Israel, tiada kanak-kanak Lebanon yang mati dan rumah-rumah mereka tidakpun dimusnahkan.
"Bau mayat bukan sesuatu yang baru bagi warga Israel. Beribu-ribu askar maut dalam peperangan sejak 35 tahun lalu. Tetapi bau mayat wanita dan kanak-kanak yang mati di jalan raya dan rumah-rumah mereka berbeza. Para wartawan berkata mereka tidak dapat menghilangkan bau itu. Lantas kemudian ketika para keluarga bertemu semula, sementara menunggu anak-anak balik dari taman kanak-kanak, maka orang-orang dewasa yang berbaris di luar bank dan golongan menengah Israel mula berbincang mengenai bau mayat.
"Kebanyakan warga Israel berasa tersinggung bila melihat pelbagai peristiwa Holocaust dieksploitasi oleh mereka yang berhijrah ke negara lain. Mereka berasa malu bahawa tragedi Holocaust telah menjadi seperti agama bagi orang-orang yahudi di Amerika. Ada para penulis, editor, birokrat dan para akademik sering menggunakan perkataan shoa, iaitu istilah Holocaust dalam bahasa Yahudi. Lantas diejek: There's no business like shoa business. (Holocaust oleh Nazi Jerman mengorban enam juta warga Yahudi).
Ditewaskan
"Warga Israel tahu bahawa ia tidak boleh ditewaskan di mana juga di Timur Tengah. Ia tidak bimbang keselamatan dirinya. Ia lebih takut tiada keseimbangan akhlak dan jiwa raga sendiri. Kerana itu ia perlukan kedamaian di rantaunya. Ia tidak mahu dipaksa membunuh sekali lagi sebagaimana ia telah pun membunuh orang-orang awam di Lebanon.
"Banyak hal berlaku bagi kali pertama. Bagi kali pertama Israel menyerang negara jiran tanpa diserang lebih dulu, bagi kali pertama ia melakukan provokasi untuk menghalalkan perang yang dilancar. Bagi kali pertama Israel membinasakan bandar-bandar. Tyre, Sidon, Damur, Beirut.
"Pada malam kelmarin saya menyertai rapat raksasa gerakan Peace Now in Tel Aviv. Seramai 100,000 warga Israel menggesa Israel berundur dari Lebanon dan berunding pada hari itu juga dengan pihak Palestin, walau siapa juga wakil mereka, untuk mewujudkan sebuah negara bebas di Tebing Barat.
"Operasi peperangan sepatutnya hanya antara 48 hingga 72 jam saja, tapi 960 jam telah berlalu. Sepatutnya tidak lebih dari 30 askar Israel mati. Tapi setakat ini hampir 300 askar dan pegawai tentera Israel telah dikebumikan.
"Saya menerima sepucuk surat dari New York, dua mayat berbunyi; Israel mesti insaf bahawa ia tidak akan menikmati keamanan atau menamatkan keganasan tanpa memberi hak menentukan nasib sendiri kepada warga Palestin. Ia mesti mengakui nasionalisme Palestin, iaitu sama sahnya dengan nasionalisme Yahudi.
"Maka kita kini masuk minggu ke-8 perang di Lebanon. Pelbagai hal berlaku kemudiannya pada permulaan bulan ketiga. Hari ini, 5 Ogos, 1982 kerajaan mengumumkan bahawa 19 orang askar telah mati di Barat Beirut dalam peperangan yang dikatakan telah pun tamat.
"Pada hari Ahad 19 September, 1982 tiada akhbar-akhbar terbit di Israel. Sejak semalam manakala tersebar laporan-laporan mengenai pembunuhan beramai-ramai warga Palestin di Beirut, hanya BBC London menyiarkan laporan." Demikian antara catatan Temerman dalam bukunya The Longest War.
Betapa pula pencerobohan Israel di Gaza? Berapa ramai lagi akan menjadi korban, termasuk wanita dan kanak-kanak?
- Penulis ialah konsultan kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS.

ARKIB : 04/01/2009

Menyingkap Intifada pejuang Palestin

Palestin adalah tanah air rakyat Arab Palestin, ia sebahagian dari perpaduan tanah air Arab dan rakyat Palestin adalah sebahagian dari bangsa Arab.
Fasal 1 - Perisytiharan kebangsaan Palestin yang diluluskan oleh PLO (Pertubuhan Pembebasan Palestin) pada tahun 1964 dan dipinda pada tahun 1968.
Setakat manakah nanti Intifada Ketiga sebagai kebangkitan membela pembunuhan lebih 300 warga Palestin akibat serangan-serangan bom dan peluru-peluru berpandu tentera Israel di Genting Gaza sejak sambutan Maal Hijrah?
Pertanyaan timbul kerana tiada perpaduan di antara Hamas dan Fatah. Kembali dalam ingatan ialah pengalaman masa lalu seperti dihuraikan oleh Baruch Kimmerling, Sarjana Hebrew University di Jerusalem. Lalu dicatat olehnya peranan bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon yang kini dalam keadaan koma tidak sedarkan diri selama dua tahun. Hal ini telah dilaporkan oleh akhbar Times London pada 4 Januari 2008. Antara kandungan makalah Kimmerling:
* Intifada pertama bermula pada 9 Disember 1987 manakala berlaku berkali-kali demonstrasi dan peristiwa lempar batu oleh para pemuda Palestin ke arah tentera Israel. Akhirnya tentangan mereka diatasi, tetapi tiada siapa yang mengaku menang sama ada Israel atau rakyat Palestin.
* Intifada kedua menyaksikan pertentangan bersenjata pada bulan September 2000 manakala ternyata kepada rakyat Palestin bahawa Perjanjian Oslo tahun 1993 tidak melahirkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.
* Pada 25 Februari, 1994 seorang pelampau agama Yahudi bernama Baruch Goldstain (dari Amerika Syarikat) melakukan serangan berani mati di suatu tempat di Baitulmaqdis. Seramai 29 orang Islam yang sedang menunaikan solat mati ditembak dan ramai lagi cedera.
Setelah berkabung selama 40 hari, Hamas dan beberapa kumpulan lain melancarkan serangan balas ke atas orang-orang awam Israel. Itu kali pertama berlakunya serangan berani mati atau “mati syahid’ untuk warga Palestin.
Sharon kemudian melancarkan rancangan yang diberi istilah politicide terhadap rakyat Palestin, iaitu proses tindakan berpadu ketenteraan, politik, diplomasi dan psikologi. Tujuannya ialah untuk menghapuskan wujudnya warga Palestin dari segi sosial, politik dan ekonomi.
Antara rancangan ialah menarik keluar 9,500 penduduk Yahudi dari Genting Gaza. Sebagai ganti Sharon meminta Presiden Bush dan Parti Likud Israel supaya mengekalkan perkampungan-perkampungan terbesar di Tebing Barat yang diduduki oleh lebih 300,000 orang Yahudi.
Dalam melaksanakan rancangan itu Sharon terus menguasai Gaza sepenuhnya dari tiga segi iaitu darat, laut dan udara. Kerana hal-hal yang seumpama timbul pertanyaan: Di mana sebenarnya sempadan Israel dan Palestin?
Prof. Kimmerling sebelumnya menulis satu kenyataan berjudul J’Accuse dan antara lain mengenang kembali peristiwa Sabra dan Shatila pada 17 September 1982. Dalam serangan bertubi-tubi selama 24 jam hampir 500 orang Palestin di barat Beirut, Lebanon mati dibunuh. Antara mereka ialah wanita dan kanak-kanak.
peperangan
Kenyataannya itu menuduh pelbagai pihak, termasuk Sharon, pucuk pimpinan tentera, media elektronik, akhbar-akhbar dan para intelektual di Israel serta Amerika. Beliau menambah: “Pembunuhan-pembunuhan di Sabra dan Shatila tiada apa-apa bila dibandingkan dengan apa yang telah berlaku di masa lalu dan apa yang akan berlaku di masa depan kelak kepada kita kaum Yahudi dan Arab dalam peperangan antara kaum kini. Saya menyalahkan diri sendiri kerana mengetahui segalanya, tetapi sedikit pun tidak menangis dan saya terus membisu.”
Akhbar Times London pada 4 Januari 2008 melaporkan harapan beberapa sahabat Ariel Sharon yang masih dalam keadaan koma selama dua tahun. Mereka berharap beliau akan dapat bangun kembali. Antara mereka ialah cerita-cerita mengenai beberapa pesakit tiba-tiba sembuh walhal para doktor mereka telah putus asa.
Lalu disebut bahawa kiranya Sharon pulih nanti, maka dua pertiga rakyat Israel akan mengundi memilihnya walaupun tidak pasti betapa pendirian politik atau kesihatan beliau sebenarnya.
Seorang lagi sarjana, Avnar Cohen, menulis mengenai senjata nuklear: “Semua pihak mengetahui bahawa Israel adalah negara bersenjata nuklear. Ia negara keenam dalam dunia memilikinya dan yang pertama sekali di Timur Tengah setelah hampir 40 tahun, larangan oleh kuasa-kuasa besar bersabit dasar non-proliferation tidak pun menyentuh realiti Israel itu.
Dalam keadaan sekarang Perhatian tertumpu kepada keadaan di Gaza dengan penduduk berjumlah 1.5 juta. Seramai 33 peratus dari mereka menganggur dan 51 peratus hidup dalam kemiskinan. Sementara itu di Tebing Barat dengan 2.5 juta penduduk seramai 19 peratus menganggur dan 24 peratus miskin.
Allahyarham Mahmoud Darwish, pujangga Palestin pernah menulis sajak berjudul I come from there. Antara kandungannya:
Aku berasal dari sana lahir sebagai insan dan aku ada ibu serta rumah banyak jendela aku ada adik-beradik dan kawan-kawan pun pernah menghuni penjara bertingkap dingin aku pelajari segala kata-kata supaya boleh mengingkarinya aku pelajari semua kata-kata untuk memilih yang satu: Tanah airku.
Penulis ialah konsultan kanan ISIS Malaysia. Pandangan
penulis adalah pendapat
peribadi dan tidak ada
kena-mengena dengan ISIS

Ads


Followers